Thursday, 20 February 2014

Tiga Termasuk Warga Bangladesh Didakwa Rompak RM3.6 Juta

KLANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh pada Khamis didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai RM3.36 juta di Kuala Selangor, akhir bulan lepas.
Kelindan lori, S.Segar, 41, jurukimpal P.Balasegaran, 36, dan ejen pekerja warga Bangladesh, Sumon Miah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar.
Mereka didakwa bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas melakukan rompakan bersenjatakan selaras senjata api jenis Hock No. C49-0041343 ke atas van bernombor pendaftaran WTU 4207 yang membawa wang tunai RM3.6 juta milik Armour Security Systems (M) Sdn Bhd.

BN Kekal Menang Kerusi Parlimen Bagan Datoh

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini membenarkan bantahan awal penyandangnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas membatalkan petisyen yang difailkan calon PKR, Madhi Hassan dan pengundi Azmi Sulaiman yang memohon keputusan pilihan raya umum ke-13 itu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Bekas Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis melepas dan membebaskan bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor Saifulruddin Sulaiman daripada tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan melibatkan RM45,000 berhubung majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, empat tahun lepas.
Hakim M. Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan Saifulruddin, 35, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, M.Bakri berpendapat penjelasan diberikan Saifulruddin dalam pembelaannya merupakan penjelasan yang jujur.

Perhilitan Serbu Restoran Tawar Hidangan Eksotik Untuk Hari Valentine

MELAKA: Rancangan oleh beberapa restoran untuk menawarkan hidangan eksotik bagi meraikan Hari Valentine di bandar yang terkenal dengan tabiat makan seperti itu tidak kesampaian apabila pihak penguatkuasa hidupan liar menyerbu premis-premis yang menyimpan paket-paket daging hidupan liar hampir pupus dan beberapa spesies haiwan yang masih hidup.
Pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu tiga premis di Machap Baru, kira-kira 7km dari Alor Gajah, di antara pukul 5.45 petang hingga 6.35 petang dalam operasi yang dilakukan pada 14 Februari.

Polis Selamatkan Empat Warga Myanmar Dijadikan Tebusan

SUNGAI PETANI: Empat lelaki warga Myanmar ditemui tidak bermaya dengan tangan dirantai di sebuah rumah di belakang sebuah hotel di Jalan Besar di sini malam Rabu.
Kesemua lelaki berusia 30-an itu dipercayai dikurung di dalam rumah itu selepas memasuki negara ini secara haram melalui Thailand sembilan hari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya berkata polis menemui empat lelaki itu kira-kira pukul 10 malam dengan tangan dirantai dan ditempatkan di bahagian dapur rumah usang yang dijaga seorang lelaki warga Myanmar lain.

Pembantu Kolam Ikan Parah Ditetak Sepupu

KOTA BARU: Seorang pembantu kolam ikan parah selepas ditetak dengan pedang oleh dua orang sepupunya di Kampung Paloh, Jalan Pintu Geng di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu, mangsa Ikmal Fadzli Ismail, 23, cedera di leher dan tangan selepas ditetak oleh dua suspek yang masing-masing berusia 20-an.
"Ketika kejadian, kedua-dua sepupu itu telah ke rumah Ikmal dan apabila mangsa melihat salah seorang daripada mereka membuka sarung dari pedang yang dibawa mereka, mangsa terus lari masuk ke dalam rumah dan menyorok di dalam bilik air di tingkat atas rumah.

Suspek Utama Pukul Teman Wanita Hingga Mati Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Suspek utama berkaitan kes seorang wanita mati dipukul di Lagoon Perdana, Bandar Sunway dekat sini Isnin lepas ditahan polis awal pagi Rabu.
Suspek yang berumur 30 tahun yang juga teman lelaki kepada wanita terbabit ditahan di sebuah wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejurus dia mendapatkan rawatan di situ.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata suspek mendapat rawatan kerana mengalami kecederaan di kepala.

Penarik Kereta Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Pengasas Ambank

Koong Swee Kwan ,44, dibawa meninggalkan Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian, Julai tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Penarik kereta, Koong Swee Kwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi di sebuah tempat letak kereta, Julai tahun lalu.
Koong, 45, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Azman Husin di sini terhadap pertuduhan cubaan membunuh isteri pengasas bank itu, Cheong Mei Kuen, 49.
Mahkamah menetapkan dua minggu bermula 9 hingga 20 Jun untuk perbicaraan.

Saya Dipukul Lebih Seribu Kali Setahun - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden

STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan atas dakwaan mendera berkata dia dipukul 'lebih seribu kali' dalam masa setahun.
Menerusi rakaman video yang dibuat oleh polis Sweden pada Disember lalu, Ammar berkata ibunya Shalwati Nurshal sering memukulnya apabila dia menghentak-hentak kakinya atau menonton video di YouTube dan tidak bersama keluarga untuk makan malam.
Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin iaitu pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, dibicarakan pada hari kedua di Mahkamah Daerah Solna di sini atas tuduhan mendera anak-anak mereka.
Ammar yang kelihatan gementar pada permulaan video itu bertanya jika ibu bapanya akan mengetahui mengenai temuduga tersebut.