Monday 24 November 2014

RM200,000 Untuk Wakil Rakyat Pembangkang (BN) - Azmin


Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 7:36 PM
Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias (kiri) bersalaman dengan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali selepas menerima kereta rasmi daripada Speaker, Hannah Yeoh (kanan) di Shah Alam, Isnin.
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor bakal menerima peruntukan sebanyak RM200,000 setahun menerusi Bajet 2015.
Pemberian itu adalah yang pertama dalam sejarah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak mula mentadbir kerajaan negeri pada 2008.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin berkata, pemberian peruntukan itu bertujuan meningkatkan khidmat wakil rakyat dan menjamin prinsip demokrasi walaupun terhadap kawasan yang diwakili pembangkang.
"Mulai 2015, peruntukan wakil rakyat akan turut dipanjangkan kepada Adun pembangkang dengan peruntukan sejumlah RM200,000 setahun.
"Kerajaan negeri juga mencadangkan sejumlah RM100,000 setahun diperuntukkan kepada Penyelaras Parlimen yang dilantik oleh kerajaan negeri," katanya pada persidangan DUN Selangor di sini, Isnin.
Pengumuman Azmin itu kemudian mencetuskan suasana bising di kalangan wakil rakyat daripada kelab penyokong kerajaan dan pembangkang.
"Mahu tak? Kalau tak mahu saya tarik balik," kata Azmin secara berseloroh terhadap tindakan kumpulan wakil rakyat itu.
Selain itu Azmin turut mencadangkan supaya peruntukan Adun kerajaan negeri dinaikkan sebanyak RM100,000 kepada RM700,000 setahun.

Anggota Ketiga Disyaki Militan Didakwa


Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 7:45 AM
Mohamad Fauzee didakwa di Mahkamah Sepang kerana disyaki terlibat dengan IS.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Anggota ketiga militan yang kembali dari Syria didakwa di Mahkamah Sepang kerana menyokong  kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Mohamad Fauzee Ahmad,46, didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada aktiviti kumpulan tersebut serta terlibat dengan senjata api dan bahan letupan pada 29 hingga 18 September.

Tindakannya tersebut dilihat boleh menyemarakkan lagi perjuangan keganasan serta membahayakan nyawa rakyat Syria.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan boleh dihukum sehingga 30 tahun penjara, denda atau merampas apa-apa aset yang disyaki digunakan untuk aktiviti-aktiviti pengganas.

Tiada pengakuan direkodkan. Mohamad Fauzee hanya mengangguk, menunjukkan dia memahami pertuduhan yang dibaca.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Bebas Tuduhan Khalwat


Diterbitkan: Jumaat, 21 November 2014 3:37 PM
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran, 46, dan pasangan Nurul Ezani Mat Isa, 37, (kiri) tersenyum semasa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah selepas mereka dibebaskan daripada tuduhan khalwat pada empat tahun lepas di George Town, Jumaat. -fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan seorang penasihat kewangan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Ini adalah kali kedua Adam Tumiran, 46, dan Nurulezani Mat Isa, 37, dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pasangan itu sebelum ini dibebaskan pada 17 Mei 2012, oleh mahkamah yang memutuskan bahawa sijil perkahwinan yang dikemukakan adalah sah.

Walau bagaimanapun, pada 30 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan Syariah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan semula atas alasan teknikal.

Adam dan Nurulezani didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Masjid Negeri di sini pada 5 Disember 2010 pada pukul 2.05 pagi.

Dalam pembacaan keputusannya, Hakim Zaim Md Yudin berkata mahkamah berpuas hati bahawa tidak ada keraguan pada dokumen perkahwinan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan seperti sijil perkahwinan, dan beban bukti terletak di pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam mendengar keputusan itu, Adam dan Nurulezani kelihatan tenang.

Selepas keputusan itu, Adam yang berlinang air matanya dilihat memeluk peguamnya.

Adam dan Nurulezani diwakili peguam Ahmad Munawir Abdul Aziz, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff dan Rosdee Abdul Razak manakala Mohd Najmuddin Mustafa dan Mohd Fahmi Mohd Idris selaku pendakwa kes itu.

Zaim juga memerintahkan wang ikat jamin RM1,000 dikembalikan kepada Adam dan Nurulezani.

Pencuri Motosikal Maut Dibelasah Ahli Bina Badan


Diterbitkan: Isnin, 24 November 2014 5:22 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah maut setelah dipukul orang ramai, termasuk dua ahli bina badan ketika cuba mencuri sebuah motosikal di Taman Desa Rejang, Setapak pada Isnin.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, lelaki terbabit dikatakan cuba mencuri sebuah motosikal milik seorang ahli bina badan di perkarangan rumahnya.
Bagaimanapun, ketika sedang menghidupkan motosikal tersebut, perbuatannya itu disedari penghuni rumah yang kemudian berjaya menangkap dan membelasah suspek.
Selain penghuni rumah itu, orang ramai dikatakan turut membelasah suspek hingga mati.
Penagih dadah terbabit disahkan maut ditempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Difahamkan dua ahli bina badan terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.