Tuesday, 7 July 2015

Muhyidin perlu segera ambil alih



Ini adalah kali pertama negara berada dalam keadaan yang sangat kritikal seperti ini. Perdana menteri selaku ketua pengurus negara pada waktu ini dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat.

Namun kemudi negara untuk membetulkan keadaan itu masih di tangan perdana menteri. Maka, tidak mungkin usaha untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang benar dapat dilakukan.

Landasan keluhuran undang-undang adalah kunci perjalanan kerajaan di atas dasar jujur dan amanah serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara.

Kenyataan berani dan terbuka peguam negara pada Sabtu lepas sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri.

Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, PM gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan AG.

AG menyatakan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, maka negara kita sepatutnya telahpun diambil alih oleh seorang PM yang baru atau paling kurang pemangku PM.

Tindakan berdiam diri ke atas kenyataan AG itu hanya akan membuka jalan kepada usaha untuk menyembunyikan jenayah dan pelbagai manipulasi politik.

Kenyataan oleh badan-badan mahasiswa UIA semalam adalah sangat bermakna dalam situasi kritikal sekarang. Saya mengucapkan syabas kepada semua mahasiswa UIA khususnya pemimpin mereka Saudara Hanif Mahpa dan Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan lain-lain.

Sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggung jawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil.

Saya bersetuju TPM mesti mengambil inisiatif utama untuk meluruskan langkah pembetulan negara.
TPM sewajibnya menemui Yang di-Pertuan Agong bersama AG untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan PM.

MP seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari DS Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.


HUSAM MUSA ADUN Salor dan bekas naib presiden PAS.

Najib, Jho Low sekapal dengan bos PetroSaudi



Laman web Sarawak Report (SR) menerbitkan siri gambar menunjukkan perdana menteri dan keluarga menghabiskan masa bercuti dengan Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low - serta ketua PetroSaudi International (PSI), Putera Turki Abdullah Al Saud.

SR mendakwa imej itu dirakam di sebuah kapal layar mewah pada Ogos 2009.

Jika maklumat itu benar, gambar tersebut diambil sebulan sebelum 1MDB mendandatangani perjanjian untuk mengadakan kerjasama dengan PSI yang membabitkan pelaburan AS$1 bilion.

Turut terpapar dalam gambar itu ialah anak Datuk Seri Najib Razak, Nor Ashman dan Nooryana Najwa, selain Ketua Pegawai Eksekutif PSI Tarek Essam Ahmad Obaid yang dinamakan sebagai pengasas bersama syarikat berkenaan.

Pada 29 September 2009, 1MDB dan PSI menandatangani perjanjian kerjasama yang menyaksikan agensi tajaan kerajaan Malaysia itu memperoleh 40 peratus pegangan dalam 1MDB Petrosaudi Ltd.

Siasatan laporan WSJ, 6 akaun bank dibekukan



Pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan penyaluran wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun perdana menteri, mengeluarkan perintah pembekuan enam akaun bank dipercayai terlibat dalam kes itu.

Perintah itu dikeluarkan semalam, menurut kenyataan bersama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“Selain itu, pasukan petugas khas telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

“Pasukan petugas khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit,” kata mereka.

Dalam kenyataan awal petang ini, mereka berkata siasatan masih berjalan dan  menyeru semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

Pasukan petugas khas itu bagaimanapun tidak menyebut dengan jelas akaun yang diarahkan beku itu milik siapa.

The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini menggegarkan negara dengan laporan terdapat sejumlah besar dana daripada badan berkaitan 1MDB berakhir di akaun peribadi Najib di AmBank.
 

Najib, 1MDB memalukan negara, kata Mahathir



Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kembali kritikan bahawa beliau memalukan negara dengan bercakap kepada media antarabangsa berhubung isu 1MDB dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab kritikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman itu, Mahathir berkata pihak yang memalukan Malaysia sebenarnya Najib dan 1MDB, bukan beliau.

“Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Datuk Seri Najib dengan 1MDB-nya.

“Sebelum ini negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang,” katanya.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir berkata, jika “skandal” seperti itu berlaku di luar negara sudah tentu pemimpin itu akan meletakkan jawatan dan memohon maaf.

“Tetapi di Malaysia ada orang yang mempertahankan pemimpin tanpa sebab, hanya kerana keselamatan jawatan,” sindirnya.

Beliau mengulas kritikan Anifah padanya kerana memberikan wawancara kepada akhbar Amerika The New York Times.

“Mungkin Anifah tidak pernah baca suratkhabar Amerika sebelum usaha untuk memburukkan nama saya dijadikan asas mempertahankan perdana menteri Najib.

“Tetapi seluruh dunia tahu berkenaan Datuk Seri Najib, Jho Low dan 1MDB,” katanya.

'Anak tiri berlagak kaya'

Beliau juga berkata akhbar terkenal Washington, New York dan London juga telah menyiarkan rencana panjang berkaitan 1MDB, Najib dan dakwaan hidup mewahnya.

Mahathir juga dengan laporan berkaitan hartawan Jho Low dan anak tiri Najib Riza Aziz.

Selain itu Mahathir turut membangkitkan kajian pakar Barat bahawa Malaysia adalah salah sebuah daripada sepuluh negara tahap rasuahnya tertinggi di dunia.

“Tetapi Anifah tidak berasa malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya.

“Semua laporan yang memburukkan Malaysia dibuat sebelum saya mengkritik Datuk Seri Najib,” katanya lagi.

Mahathir juga berkata Anifah patut menyoal Najib dan menasihatinya “supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya”.
 

KJ: PM tak perlu cuti sementara tunggu siasatan



Tidak ada keperluan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengambil cuti sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan bahawa hampir AS$ 700 juta telah dipindahkan ke dalam akaunnya, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, beliau berkata, Najib perlu mengambil cuti jika beliau didakwa di mahkamah.

Pada masa ini, kata Khairy, penyiasat tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh mengaitkan Najib dan oleh itu tidak timbul soal bercuti itu.

Menurutnya, terdapat kes di mana pemimpin terpaksa bercuti apabila ada kes di mahkamah.

Tetapi dalam kes ini, ia masih dalam siasatan, kata Khairy kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lepas, Wall Street Journal mendakwa penyiasat Malaysia telah mengesan wang itu dalam akaun Najib di AmIslamic Bank Bhd.

Najib telah menafikan laporan itu manakala WSJ mempertahankan laporannya itu.