Sunday 3 March 2019

Pasangan Kedah nikah di Thailand meningkat

Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dicatatkan tahun lalu, meningkat 233 kes daripada 566 kes pada 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh berkata jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.
“Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu kesalahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.
“Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lepas, manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran dengan 160 kes poligami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, baru-baru ini.