Saturday, 2 March 2019

Dr M: Masih nak percaya Raja Petra?

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan blogger Raja Petra Kamarudin sebagai pembohong.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Raja Petra di lamannya Malaysia Today berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek Terowong Dasar Laut dan projek jalan raya di Pulau Pinang.
"Raja Petra Kamaruddin seorang pembohong. Dia selalu berbohong dan kamu masih lagi mahu mempercayainya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Baru-baru ini, beberapa artikel di Malaysia Today menyiarkan apa yang didakwa sebagai kertas siasatan SPRM berkenaan kes itu yang turut mengaitkan beberapa exco negeri itu.
Menurut laporan Free Malaysia Today 28 Februari lalu, bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata akan menjawab dakwaan itu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy pula dipetik berkata beliau sedia mempertahankan diri di mahkamah jika ada bukti beliau terlibat dalam sebarang salah laku berkenaan projek terowong tersebut.