Thursday, 14 May 2015

Abdul Azeez Patut Letak Jawatan Pengerusi TH - Syed Mehdhar


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 10:50 PM
Abdul Azeez Abdul Rahim.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sewajarnya meletak jawatan kerana kredibiliti terus dipertikaikan banyak pihak.
Setiausaha Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melucutkan jawatan Abdul Azeez kerana tindakannya mencetuskan kegelisahan dikalangan pedeposit TH.
"Dari segi kredibiliti, ianya sudah tercemar apabila pada mulanya beliau menafikan berhubung pembelian tanah tersebut oleh TH.
"Ini bukan melibatkan urusniaga RM100 atau RM1,000 tetapi mencecah ratusan juta ringgit, agak mustahil Pengerusi TH tidak ambil tahu, apatah lagi pendedahannya tersebar luas menerusi media sosial," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blog umnobahagiancheras pada Rabu.
Beliau berkata, sebarang urusniaga jutaan ringgit atau apa juga keputusan melibatkan kepentingan umum sesebuah syarikat GLC mesti diketahui oleh pengerusi.

Kes Yazid: Membaca Buku Bersifat Radikal Bukan Kesalahan - Saksi


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 12:07 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa membaca buku yang bersifat radikal tidak menjadi satu kesalahan kepada individu yang membacanya.
Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh berkata bagaimanapun kesan pembacaan bahan seperti itu adalah bergantung kepada asas pemikiran dan kemahiran menafsir individu itu sendiri.
"Dalam sesetengah keadaan, konteks seseorang menerima sesuatu bergantung kepada individu itu sendiri. Tidak salah untuk membaca tetapi perlu memahami dasar dan mempunyai kefahaman dalam agama," katanya semasa pemeriksaan balas peguam Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan Yazid Sufaat, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.
Yazid, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Pemerdagangan Manusia: Dua Polis Antara 38 Ditahan - Khalid


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 4:42 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Dua anggota polis antara 38 individu yang ditahan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia di utara Malaysia dan selatan Thailand.
Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tujuh sindiket pemerdagangan manusia dilumpuhkan hasil kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia dan Thailand.
"Suspek membabitkan 21 warga Myanmar, 16 rakyat Malaysia dan seorang dari Indonesia ditahan antara Mac dan April tahun ini.
"Mereka merangkumi ejen, ketua sindiket, pihak yang bertanggungjawab membawa mangsa dan dua anggota polis," katanya sambil menambah semua terbabit ditahan mengikut Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Khalid mendedahkan, mangsa sindiket itu lebih kepada warga Myanmar dan Bangladesh.
"Mereka juga dipercayai terbabit memalsukan dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
Khalid menambah, antara Ahad dan Isnin pula, polis menahan 1,018 Pati di pesisir pantai Langkawi.
"Mereka membabitkan 555 Bangladesh, 463 warga Myanmar. Dua kapal yang digunakan juga dirampas," katanya.
Semua Pati masih ditahan di Langkawi untuk membantu siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.

Pati Di Langkawi & Aceh Dipercayai Guna Sindiket Sama


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 7:00 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar (etnik Rohingya) dan Bangladesh di Langkawi dan Aceh, Indonesia hujung minggu lalu dipercayai didalangi oleh sindiket yang sama.
Sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu mStar Online pada Rabu, sindiket yang sama dipercayai mendalangi ketibaan pendatang asing tanpa izin ini melalui jalan yang berbeza.
“Kita mengesyaki Pati yang tiba di Langkawi dan Aceh melibatkan sindiket yang sama. Mereka cuma menggunakan laluan yang berbeza,” katanya.
KDN katanya, menyifatkan warga Bangladesh yang ditahan merupakan migran ekonomi yang meninggalkan negara mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan di negara asing manakala warga etnik Rohingya pula lari untuk menyelamatkan diri daripada konflik di wilayah Rakhine, Myanmar selain mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat di negara itu.
Seramai 1,158 Pati yang terdiri daripada 486 orang dari Myanmar manakala 672 lagi dari Bangladesh tiba di Langkawi pada Ahad lalu dan ditahan pada awal pagi Isnin.

JAWI tarik balik kes terhadap Borders



Tiga tahun selepas pengurus kedai Borders Nik Raina Nik Abdul Aziz didakwa, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) menarik balik kes itu ekoran ancaman berdepan dengan prosiding menghina mahkamah.

JAWI, dalam sepucuk surat bertarikh hari Isnin, bersetuju untuk menarik balik tindakannya dan rayuannya terhadap pembebasan Nik Raina di Mahkamah Rayuan Syariah.

Surat Jawi ditandatangani oleh ketua pendakwanya,  Mohamad Adib Husain dan salinan surat itu dihantar kepada Mahkamah Syariah semalam. Malaysiakini melihat salinan surat yang dihantar itu.

Dilaporkan bahawa pada hari Sabtu, Borders, melalui peguamnya dari firma Lee, Hishammuddin Allen Gledhill, telah mengancam untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua pengarah JAWI dan ketua pendakwanya.

Peguam Borders menegaskan ia ekoran tindakan JAWI yang tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi sivil dan Mahkamah Rayuan yang meminta mereka menghentikan tindakan undang-undang mereka dan menggugurkan pertuduhan terhadap Nik Raina.

Lagi kem Rohingya di sempadan M'sia-Thai


Pihak berkuasa Thailand menemui sebuah lagi kem tahanan pelarian Rohingya di sempadan Thailand-Malaysia yang dikatakan terbesar setakat ini.
  
Kem dipercayai dibina setahun lepas itu, ditemui di atas Bukit Khao Kaew yang bersempadan dengan Malaysia semalam, menurut wartawan Bernama yang berada di kawasan berkenaan.

Ia terletak hanya tiga kilometer daripada kem pertama yang mana 26 mayat pelarian Rohingya ditemui baru-baru ini, sehingga menyebabkan pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
  
Kem itu dibina dengan lebih lengkap dan kukuh serta boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
  
Ia dilengkapi 21 bilik tidur, lapan tandas, dua menara pemerhati, empat dapur memasak dan sebuah balai besar yang sedang dibina.
  
Turut dijumpai barang-barang keperluan seperti makanan dan pakaian, dipercayai ditinggalkan oleh penghuninya yang baru dipindahkan menyeberangi sempadan ke Malaysia.

Selain kem di bukit tersebut, terdapat tiga kem kecil ditemui tidak jauh dengan kem tersebut dan dibina dalam wilayah Malaysia di negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand.
  
Pihak berkuasa juga menemui tiga lagi mayat di atas Bukit Khao Keaw, Sadao, Songkhla, iaitu mayat seorang wanita dan dua lelaki.
  
Penemuan tiga mayat itu menjadikan secara keseluruhannya 36 mayat dijumpai di wilayah Songkhla, setakat ini.
  
- Bernama