Monday, 13 April 2015

Saman Royalti Minyak: Mahkamah Tolak Usaha Kelantan Memasukkan 14 Persoalan


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 10:54 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan gagal dalam percubaannya untuk memasukkan 14 persoalan undang-undang dalam perbicaraan kes saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kerana didakwa melanggar kontrak berhubung royalti minyak.
Semasa menolak permohonan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan memutuskan tiga soalan teras undang-undang yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Satu persoalan ialah sama ada kerajaan Kelantan, sebagai plaintif, mempunyai sebarang hak di bawah undang-undang ke atas petroleum di dalam kawasan 'pelantar benua' sebagai yang ditakrifkan dalam Akta Pelantar Benua 1966 di luar pantai Kelantan dan hanya sebelum enakmen Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan pelaksanaan perjanjian yang bertarikh 22 Mac, 1975, antara plaintif dan yang defendan pertama, Petronas. Kerajaan persekutuan adalah defendan kedua.
Satu lagi soalan ialah berhubung apa hak negeri itu ke atas petroleum di kawasan daratan mahupun di luar pesisir Kelantan sebelum mula berkuatkuasanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 pada 1 Oktober 1974, dan pelaksanaan Perjanjian Kelantan dan Geran Kelantan pada 9 Mei 1975.

Hisham: Tiada gunanya jawab Mahathir



Tiada gunaan menepis setiap dakwaan dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana serangan bekas perdana menteri itu didakwa sering berubah-berubah.

“Di mana penghujungnya? Apa tujuan (dakwaan dibuat)?” soal Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib presiden Umno itu juga meminta Mahathir mengemukakan bukti atas dakwaan dibangkitkan, termasuk dakwaan pemimpin Umno hanya setia kepada wang ringgit.

“Buktikan, dan biar agensi-agensi berkaitan (siasat),” katanya.

Mahathir sejak awal bulan ini menggiatkan asakan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir antaranya mahukan penjelasan berhubung pihak mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan isu sekitar pelaburan 1Malaysia Developement Bhd.

Dalam masa yang sama Mahathir meramalkan BN akan kecundang dalam pilihan raya akan datang jika Najib masih menerajui parti itu dan negara ini.

Dr M: Adakah Jho Low sebahagian dari k'jaan?



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam serangan terbarunya kepada Datuk Seri Najib Razak berkata "satu suruhanjaya bebas" diperlukan untuk menyiasat kontroversi melibatkan firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Secara khususnya, Dr Mahathir ingin mengetahui ke mana wang firma itu digunakan dan siapa usahawan Jho Low dikaitkan dengan skandal tersebut.

"Siapa itu Jho Low, yang secara tiba-tiba menjadi sangat penting?

"Dalam kerajaan dia tak ada jawatan, dia bukan penjawat awam, tiba-tiba dia ada kuasa?

"Dan ada orang beritahu saya... sekalipun saya tidak kata ia terbukti (tapi saya diberitahu) bahawa dia bertindak seolah-olah dia dalam kerajaan," kata Mahathir seperti dipaparkan dalam satu daripada lima video klip Youtube semalam.

Antara isu lain yang dibangkitkan mengenai bantuan kerajaan BR1M, pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan jambatan bengkok yang mana beliau berkata Najib berjanji untuk menyiapkannya.

Dalam satu video klip lain, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno memberi alasan mengapa Najib patut bersara.

Dr M: Tak politikkan, saya suarakan untuk Sirul



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menafikan cuba mempolitikkan isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, sebaliknya beliau hanya cuba bersuara untuk bekas pengawal peribadinya Sirul Azhar Umar.

“Dua orang ini dihukum bunuh. Kamu kena bantu mereka, selamatkan mereka. Sirul pernah jadi pengawal saya. Tak boleh ke saya tolong dia? Dia nak kena gantung.

"Saya dituduh mempolitikkan perkara ini (tetapi) ia bukan mengenai politik. Bila saya membangkitkan mengenai perkara ini, orang berkata saya bersama pembangkang, tapi isu ini melibatkan nyawa orang.

"Cuba andaikan kamu akan dihukum gantung untuk benda yang kamu tak buat dan tidak ada siapapun yang tolong... adakah kamu dapat bayangkan jadi seperti itu?” kata Dr Mahathir dalam satu video klip temubual yang dimuatnaik dalam Youtube semalam.

Dr M: Ramai bakal didakwa kalau BN kalah



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berterus terang apabila mengakui bahawa jika BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang, ramai orang bakal dihadap ke mahkamah.

Beliau mengulas berhubung skandal firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibimbanginya boleh menjatuhkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya fikir, kalau dia (Najib) tak ada, BN menang. Sebab itula ia perlu buat sekarang, sebab kita mempunyai masa untuk bekerja untuk memulihkannya.

"Tapi yang saya takut sekali, apabila parti lawan menang, (dan) kita kalah, parti lawan tak ada simpati.

"Nanti dia cungkil. Bila dia cungkil, mungkin ada yang akan dihadap ke mahkamah, dan mungkin akan didapati bersalah.

"Kalau BN kalah... banyak orang akan berdepan kesan yang lebih besar," kata Dr Mahathir dalam satu video klip temubual yang dimuatnaik dalam Youtube semalam.

Wawancara lima bahagian yang dimuatnaik sejak 10 April lalu oleh seorang penulis blog yang dikenali sebagai Din Turtle, yang mendakwa merakamnya dalam satu majlis melibat blogger pada hari tersebut.