Isnin Ogos 12, 2013
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas kilang pada Isnin dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri komponen motosikal.
Hakim Yasmin Abdul Razak memerintahkan A.Nagaratnam, 36, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap 10 Ogos lepas.
Nagaratnam didakwa mencuri komponen motosikal iaitu penutup meter di bawah Blok A, Taman Sri Manja, di sini pada 4.30 pagi, Sabtu lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap oleh penduduk kawasan berkenaan ketika dia sedang mencuri komponen motosikal itu berserta beg berisi peralatan mencuri komponen berkenaan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya memohon mahkamah mengambil kira kesalahan lampau tertuduh yang pernah didakwa atas kesalahan menyamun tiga tahun lepas.
Bagaimanapun, Nagaratnam yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringankerana dia sudah insaf dan mempunyai tanggungan termasuk seorang bayi yang barulahir. - BERNAMA