Friday 7 March 2014

Mayat Warga Afrika Ditemui Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

Anggota polis mengangkat mayat seorang warga Afrika dipercayai pelajar sebuah kolej swasta yang ditemui dengan kesan tembakan di kepala di kawasan parkir di sebuah apartmen di Mantin dekat Nilai, petang Khamis. - fotoBERNAMA
NILAI: Mayat seorang lelaki warga Afrika dipercayai pelajar sebuah kolej swasta ditemui dengan kesan tembakan di kepala di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah apartmen di Mantin dekat sini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdullah Roning berkata mayat mangsa ditemui di bawah pokok di kawasan itu oleh orang awam pada 5.30 petang.
"Siasatan awal mendapati terdapat satu kesan tembakan di kepala mangsa. Pihak polis juga menemui dompet dan telefon bimbit mangsa berhampiran mayatnya," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.- BERNAMA

Saman Fitnah Nizar: TV3 Pohon Keputusan Mahkamah Rayuan Disemak Semula

Mohammad Nizar Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) memfailkan permohonan agar Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusannya yang mendapati stesen televisyen itu bertanggungjawab memfitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membabitkan tweet beliau berkaitan nombor pendaftaran kenderaan WWW1 yang berjaya dibida Sultan Johor.
Notis usul itu, yang disokong afidavit Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Mohd Ashraf Abdullah, difail di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini oleh Tetuan TH Liew & Partners.
Pada 25 Feb lepas, panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan Mohammad Nizar dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi selepas memutuskan TV3 bertanggungjawab memfitnah beliau.

Pertuduhan Liwat: Anwar Seharusnya Didapati Bersalah Kerana Bukti Kukuh - Shafee

Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kerana bukti yang dikemukakan di mahkamah amat kukuh, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Khamis.
Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata oleh itu, mahkamah seharusnya membenarkan rayuan pihaknya berhubung pembebasan Anwar.
Beliau berkata ketika diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Anwar memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh, yang menyaksikan dia tidak boleh disoal balas.
Muhammad Shafee berkata Anwar tidak berani memberi keterangan dari kandang saksi sebaliknya memilih untuk 'bersembunyi' di dalam kandang tertuduh dan menyerang kerajaan, hakim serta timbalan pendakwa raya.

Pemenjaraan Salah: Bekas Pengarah Saman Majistret, Peguam Negara & Tujuh Lagi

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah sebuah syarikat perisian komputer menyaman seorang Majistret, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan tujuh lagi atas dakwaan pemenjaraan salah berkaitan pertuduhan memiliki 106 klip video lucah pada 2011.
Mohamad Izaham Mohamed Yatim, 42, yang memfailkan saman itu melalui Tetuan AS Dhaliwal di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, menamakan tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Norina Zainol Abidin, Mazelan Jamaluddin dan Nurul Ashiqin Zulkifli sebagai defendan.
Turut dinamakan defendan ialah Inspektor Siti Mazira Zakaria, Inspektor Mohd Razif Md Zahid, Pembantu Undang-Undang Nur Wahida Md Khairuddin dan kerajaan Malaysia.