Monday 30 September 2013

Ketua Hakim: Pelantikan hakim tak dipengaruhi


 
Pelantikan hakim dibuat secara rahsia tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria.

Dalam ucapannya hari ini, Arifin berkata, pelantikan hakim dibuat melalui undi majoriti yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, melalui akta yang diwartakan pada 2009.

NONE"Setiap pemilihan yang dibuat adalah benar-benar bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Kebebasan dalam pelantikan hakim adalah sangat penting dalam memastikan kebebasan badan kehakiman membuat keputusan terjamin. 

"Kebebasan badan kehakiman merupakan tonggak kepada kedaulatan undang-undang negara ini dan ia perlu sentiasa dimartabatkan dan dipertahankan oleh setiap anggota masyarakat," katanya di Putrajaya.

Justeru, Arifin berkata, hakim mestilah berani membuat keputusan yang bebas dalam menegakkan undang-undang, tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Saturday 28 September 2013

Tiga Pesalah Muda Jalani Sebatan Ringan di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Tiga pesalah muda pada Khamis menjalani hukuman sebatan ringan di hadapan anggota keluarga masing-masing di Mahkamah Sesyen Ampang di sini.
Jurulatih peribadi Firman Shah Marzuki, 21, Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, kedua-duanya mekanik dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik dan hukuman sebatan ringan selepas mengaku bersalah merompak berkumpulan pada 12 Sept lepas.
Masing-masing kelihatan tenang ketika dikenakan dua kali sebatan ringan menggunakan rotan yang dijalankan oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.
Dalam prosiding itu, pelaksanaan hukuman tersebut turut dihadiri beberapa pegawai penjara dan doktor perubatan serta orang awam di galeri awam termasuk wartawan.
Mereka didakwa bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Ali, 24, merompak bersenjatakan pisau dan mengambil kamera digital Sony, kunci kereta Toyota Vios, telefon imbit Nokia, wang tabung RM600 milik Yeo Chai Nee, 32, kesemuanya bernilai RM1,200 di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak dekat sini pada 4.30 pagi, 17 Mei 2012.
Pada 12 Sept lalu, Manira menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat kali sebatan terhadap Mohd Ramdan yang bukan merupakan pesalah muda.
Firman, diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000 dengan seorang penjamin mengikut Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah dan sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) kanun sama.
Muhammad Talip dan Hazmirul, masing-masing diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin dan hukuman sebatan ringan mengikut seksyen yang sama.
Terdahulu, sebelum hukuman sebatan dilaksanakan, mahkamah meminta doktor memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga mereka dengan hukuman dimulakan terhadap Hazmirul disusuli Firman dan Muhammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan anggota keluarga mereka yang diminta berdiri di belakang mereka.
Manira kemudian menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi pada masa hadapan dan bijak memilih rakan.
"Mahkamah berharap agar pihak keluarga sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan jenayah dan mengulanginya, hari ini mahkamah beri peluang kerana mereka pesalah muda. "Ini hanya sebatan ringan, cuba kamu bayangkan sebatan sebenar yang dijalankan di penjara," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie manakala Firman diwakili peguam bela Vasu Dev dan peguam Mohd Riza Zakaria mewakili Hazmirul dan Muhammad Talip. -BERNAMA

Wednesday 25 September 2013

Bekas Pengawal Keselamatan Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Membunuh

GEORGE TOWN: Bekas pengawal keselamatan Mohd Azam Raja Abdullah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu selepas didapati bersalah kerana membunuh seorang wanita berumur 76 tahun pada 2010.
Lelaki berumur 42 tahun itu didapati bersalah kerana membunuh Soh Lian Thye antara pukul 5 pagi dan 9 pagi pada 2 Mac 2010 di rumah kedai wanita itu di Jalan Gurdwara di sini.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Hakim Zamani Abdul Rahim berkata, pembela gagal untuk menunjukkan sebab-sebab yang meragukan.
Zamani berkata dalam penemuannya, kecederaan pada si mati menunjukkan tertuduh telah memukulnya lebih daripada sekali.
"Dia dipukul dengan kuat, kecederaannya serius dan boleh menyebabkan kematian.
"Tertuduh boleh melarikan diri tanpa perlu memukul dia dan tiada bukti yang mengatakan bahawa si mati bertindak melawan balik," katanya, sambil menambah bahawa tertuduh hanya membawa bekas air kencing.
Mohd Azam diwakili oleh P. Latsmanan dan K. Thangesvaran manakala pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa rakyat Amir Hamzah.
Ibu bapa kepada Mohd Azam turut hadir ke mahkamah.
Ibunya kelihatan menangis teresak-esak selepas hukuman ke atas anaknya dijatuhkan.

Tuesday 24 September 2013

Hukuman Mati Penganggur Bunuh Dua Wanita Warga Thailand Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati seorang pengganggur yang didapati bersalah membunuh dua wanita warga Thailand, tujuh tahun lepas.
Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak rayuan Leong Heng Kuang.
Dalam penghakimannya, Zulkefli berkata terdapat bukti yang mencukupi untuk mensabitkan Leong dengan kesalahan berkenaan.
"Sabitan terhadap tertuduh adalah selamat," katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali.
Pada 25 Januari 2011, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Leong, 44, bersalah atas dua pertuduhan iaitu membunuh kekasihnya, Kaemika Pusuvan, 40, dan seorang jiran Phordee Seemuang, 43, masing-masing pada 5 pagi dan 9.50 pagi 26 Oktober 2006.
Mengikut pertuduhan, Leong membunuh Kaemika di sebuah rumah di Kampung Kelibang, Langkawi, Kedah manakala Phordee dibunuh di padang berhampiran.
Terdahulu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid berhujah pertuduhan terhadap Leong sepatutnya dikurangkan kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhujah Leong mempunyai niat untuk membunuh kerana terdapat tujuh kesan tikaman pada badan Kaemika manakala mayat Phordee mempunyai 19 kesan tikaman.
Menurut fakta kes, Leong menggunakan sebilah pisau untuk menikam Kaemika selepas mangsa tidak menjawab soalan tertuduh mengapa dia pulang ke rumah pada kira-kira 5 pagi.
Pada malam sebelumnya (25 Okt 2006), Leong tidak membenarkan Kaemika keluar namun selepas mereka bergaduh, mangsa bertindak meninggalkan rumah.
Kira-Kira empat jam kemudian, tertuduh menikam Phordee yang mengambil upah membersihkan kediaman Leong apabila mangsa ternampak banyak darah di bahagian belakang rumah berkenaan. - BERNAMA

Kaedah 20, Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah, 1993

Kaedah 20, Bukti Sumpah

Tiada sumpah boleh disifatkan telah dikendalikan dengan sempurna melainkan jika meterai Pesuruhjaya telah dicapkan pada, dan Pesuruhjaya telah menandatangani, dokumen, surat ikatan atau suratcara yang berkenaan dengan sumpah itu dikendalikan.


Pemuda Dihukum Penjara Seumur Hidup Kerana Membunuh, Cuba Membunuh

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang pemuda kerana mendapatinya bersalah bagi empat tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 dan satu cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pemuda berusia 19 thun itu didapati bersalah membunuh ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibu Ling yang berusia 76 tahun Leong Nyuk Lan, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuannya Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan memukul mereka hingga mati menggunakan tukul besi.
Dia juga didapati bersalah bagi tuduhan cuba membunuh seorang lagi anak lelaki Ling bernama Kelvin Ling Chei You di rumah mereka di Jalan RTM di sini pada kira-kira pukul 7 pagi 3 Januari 2012.
Ketika mengumumkan keputusan penghakimannya, Hakim Supang Lian berkata ketika kesalahan itu dilakukan, pemuda berkenaan berusia 17 tahun tujuh bulan dan dengan itu ditakrifkan sebagai 'kanak-kanak' mengikut Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2011.
"Berdasarkan hakikat ini, bagi keempat-empat tuduhan membunuh itu, mengikut Seksyen 97 (1) Akta Kanak-kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dikenakan atau direkod terhadap tertuduh.
"Mengikut Seksyen 97(2) Akta sama, hanya terdapat satu hukuman bagi menggantikan hukuman bunuh. Mahkamah akan memerintahkan seseorang yang disabitkan kesalahan membunuh ditahan di dalam penjara atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata bagi tuduhan cuba membunuh pula, hukuman maksimum yang diperuntukkan undang-undang ialah 20 tahun penjara.
Katanya laporan yang disediakan Dr Zul Imran Malek Abdul Hamid menunjukkan mangsa (Kelvin Ling) mengalami luka teruk, mungkin akibat dipukul berkali-kali dengan objek tajam seperti kepala tukul yang bersegi.
"Pada saya, ia merupakan satu serangan menggila dan adalah sesuatu yang melampaui keajaiban sekiranya mangsa bukan sahaja boleh terselamat daripada kejadian dahsyat itu, tetapi akan kembali sembuh.
"Bagaimanapun, ia tetap merupakan jenayah yang amat dahsyat dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, sama ada terhadap fizikal atau emosi dan psikologi seperti yang dinyatakan dalam kenyataan impak mangsa," katanya.
Supang berkata laporan pegawai kebajikan Ali Taha Ayang "menggambarkan tertuduh adalah seorang anak muda yang lebih suka menyepikan diri dan melakukan sesuatu aktiviti secara bersendirian daripada berinteraksi dengan orang lain dan amat tidak matang dari segi berfikir".
"Hasil pemerhatian ini adalah sejajar dengan laporan pemerhatian psikiatrik daripada pengarah Hospital Sentosa Dr Lau Kim Kah di Kuching, yang menyebut bahawa tertuduh mengalami 'Asperger's Disorder', berdasarkan gangguan yang dialaminya dari segi interaksi sosial, tingkah laku terhad dan streotaip hingga menyebabkannya mengalami gangguan teruk dari segi fungsi sosial, pekerjaan dan psikologi," katanya.
Beliau berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan dan pemeriksaan latar belakang yang dilakukan Ali Taha, keluarga tertuduh "besar kemungkinan merupakan sebuah keluarga disfungsi".
"Saya berpendapat tertuduh boleh membahayakan orang lain jika tidak ditempatkan di dalam kurungan," katanya.
Beliau berkata walaupun pemuda itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, undang-undang tetap menuntut hukuman bagi tuduhan kelima dan oleh itu dia dikenakan hukuman lapan tahun penjara, yang berjalan serentak dengan hukuman bagi tuduhan membunuh.
Timbalan pendakwa raya Franklin Ganggan Bennet mewakili timbalan pendakwa raya Ab Hamid pada penghakiman itu, manakala Daren Ling mewakili pihak pendakwa. -BERNAMA

Afidavit, Eksibit, Jurat dan Sumpah dikendalikan dengan sampurna

    Apakah yang dimaksudkan “Afidavit”?
Jawapan:
Keterangan bersumpah yang dibuat secara bertulis untuk menyokong sesuatu permohonan atau sebagainya didalam sesuatu kes sivil di mahkamah. Afidavit selalunya dibuat oleh pihak-pihak Plantif dan pihak-pihak Defenden. Contohnya affidavit yang dibuat oleh Plantif sendiri atau Peguamcara Plantif. Cara mana afidavit
dibuat mestilah di rujuk kepada Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.



   Apakah yang dimaksudkan dengan eksibit dalam sesuatu afidavit?
 Jawapan
 Bukti dalam bentuk dokumen yang dirujuk dalam keterangan yang terkandung di  dalam affidavit tersebut dengan tujuan untuk menyokong kepada affidavit yang  dibuat itu.  Selalunya didalam sesuatu affidavit terdapat beberapa eksibit yang  dilampirkan.


1.                             Apakah yang maksudkan dengan JURAT?
     Jawapan:
Jurat merupakan satu kenyataan bertulis seperti didalam Borang 6.Kenyataan Jurat  ini diletakan dibawah dokumen asal dengan kenyataan . Fungsi jurat ialah pengakuan oleh seseorang Pesuruhjaya Sumpah dimana dokumen sumpah tersebut telah dibaca dan difahami oleh seseorang yang datang dihadapanya dan tidak memahami kandungan sumpah tersebut akibat dari kecacatan anggota dan sebagainya, contohnya seorang yang buta, buta huruf dan sebagainya.


1.             Apakah yang dimaksudkan“sumpah dikendalikan dengan disempurnakan”         oleh seseorang Pesuruhjaya Sumpah?
   Jawapan:
   Menurut Kaedah 20 KKPS, sesuatu pengendalian sumpah telah sempurna apabila        deponen telah menandatangani Akuan Sumpah, meterai Pesuruhjaya Sumpah telah          dicapkan didokumen dan akhirnya Pesuruhjaya Sumpah telah menanda tangani              dokumen sumpah tersebut. Juga bagi PJS, buku daftar telah diisikan dengan                  sampurna serta deponen telah menanda tangani daftar tersebut dihadapan PJS sendiri.

Monday 23 September 2013

Anjur Himpunan Black 505 : Adun Batu Buruk Mengaku Tidak Bersalah

Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan menganjurkan Perhimpunan Black 505 tanpa mematuhi arahan daripada polis pada 22 Jun di Padang Merbok.
Beliau menghadapi tuduhan alternatif kedua kerana gagal menyertakan salinan kebenaran daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan dua hari bermula 9 Disember sebagai tarikh kes perbicaraan bersama dengan satu kes yang serupa.
Ikat jamin ditetapkan sebanyak RM3,000.
Hakim turut menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes bagi memastikan dokumen lengkap sebelum perbicaraan penuh diadakan.

Saturday 21 September 2013

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Puan Hjh Nancy binti Hj Shukri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan
Mahkamah.
(Seorang menteri yang menjaga hal-hal tentang
mahkamah)

Friday 20 September 2013

Mahkamah Tetapkan Perbicaraan Kes Alvivi Pada 5 Dan 6 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan dua hari, bermula 5 Disember ini untuk perbicaraan kes melibatkan blogger seks Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee May Ling, yang menghadapi tiga pertuduhan berhubung ucapan kontroversi di Facebook Ramadan lalu dan gambar lucah di blog mereka.
Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Chong Joo Tian dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiza Jemali.
Chong memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 5 dan 6 Disember untuk perbicaraan.
Katanya, beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapkan 31 Oktober untuk mendengar permohonan mengenepikan tuduhan menghasut pasangan itu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Pertuduhan itu kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
Pada 18 Julai, Tan, 25, dan Lee, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Akta Penapisan Filem, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Thursday 19 September 2013

RCI Sabah: Pasukan Petugas 'Rahsia' Ditugaskan Beri IC Kepada Pendatang Sejak 1970-an - Anwar

KOTA KINABALU: Satu pasukan petugas dibayangkan telah ditugaskan untuk mengeluarkan dokumen pengenalan Malaysia kepada warga asing di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di negeri itu, Khamis.
Ketua pembangkang dan bekas timbalan perdana menteri itu berkata, walaupun beliau tidak terlibat secara langsung dengan pasukan "rahsia" itu ketika berkhidmat dengan kerajaan antara tahun 1982 dan 1998, beliau ada mendengar tentang hal itu.
"Ia adalah sebuah kumpulan yang beroperasi di luar skop yang mempunyai struktur sah," dakwa Anwar, saksi ke-210.
Katanya, beliau sedar sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan bahawa pasukan petugas rahsia telah ditubuhkan pada awal tahun 1970 ketika Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri dan Tun Datu Mustapha Harun menjadi ketua menteri Sabah.
Menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Manoj Kurup, beliau berkata pasukan petugas rahsia itu adalah sebagai tindak balas terhadap kemasukan warga Filipina ke negeri itu yang melarikan diri daripada pemberontakan di selatan Filipina.
Anwar berkata kumpulan rahsia itu bukan merujuk kepada Pasukan Petugas Khas Persekutuan ke atas pendatang haram di Sabah yang telah ditubuhkan pada tahun 1980-an.
Katanya, beliau percaya pasukan petugas rahsia tidak pernah dibubarkan.
"Ia bermula di bawah Tun Razak dan diteruskan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi ia perlu dihentikan," katanya.
Anwar berkata, beliau tidak pernah terlibat atau secara rasmi diberi taklimat tentang pasukan petugas rahsia dan tidak pula dijemput untuk duduk dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
"Saya tidak bersetuju bahawa perdana menteri tidak tahu mengenai operasi ini. Jika ia melibatkan 5,000 dokumen, maka mungkin ya. Tetapi di sini kita bercakap mengenai beratus-ratus ribu," katanya.
Ditanya oleh Pengerusi RCI Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sekiranya beliau bersetuju bahawa sistem Malaysia berhubung pemberian taraf warganegara adalah lemah, Anwar tidak bersetuju.
Kepada soalan Manoj Kurup mengenai cadangannya untuk membetulkan masalah itu, termasuk memanggil balik dan mengeluarkan semula IC atau berdepan risiko dihantar pulang, beliau berkata ia idea yang baik.
Anwar berkata kerajaan mempunyai hak untuk menarik balik IC yang telah diberikan kepada warga asing.
"Kita tidak perlu memberikan mereka kewarganegaraan, tetapi mungkin, meletakkan mereka dalam kategori berbeza (untuk membezakan mereka dengan rakyat Malaysia yang tulen) untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini," katanya.

Tuesday 17 September 2013

Mahkamah Rayuan Benarkan Ikat Jamin Warga Australia, Pasport Ditahan

PUTRAJAYA: Warga Australia Dominic Jude Bird dibebaskan pada Selasa dengan ikat jamin, tetapi hasratnya untuk pulang ke rumah dinafikan, setelah Mahkamah Rayuan memerintahnya menyerahkan pasport sementara menunggu rayuan pendakwa raya terhadap pembebasannya daripada pertuduhan mengedar dadah.
Anggota panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Azhar Mohamad, sebulat suara memberikan kebenaran kepada ahli perniagaan kelahiran Perth itu jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.
Pada 4 September, Bird dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan terhadap Bird mengedar methamphetamine seberat 167.8gm di sebuah cawangan kedai kopi di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 1 Mac tahun lepas.
Bagaimanapun warga Austaralia itu ditahan para pegawai Imigresen pada hari sama kerana visanya tamat tempoh.
Hakim Azhar juga memerintahkan Bird, 34, supaya melapor diri di balai polis berdekatan pada pukul 5 petang setiap Isnin dan mendedahkan alamatnya, sementara menunggu rayuan.
Hakim Azhar berkata mahkamah juga sepakat Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sebagai mengikut perlembagaan.
"Kami tidak bersetuju dengan hujah peguam (Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah) bahawa Seksyen 56A melanggar kebebasan dan kesaksamaan anak guamnya di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Negara," kata Azhar.
Dua lagi anggota dalam panel itu ialah Datuk Dr Hamid Sultan Backer dan Datuk Mokhtaruddin Baki.
Dalam keputusan panel hakim itu, mereka bersetuju mengenai hujah berkaitan integriti pihak pendakwaan dengan memastikan kehadiran seorang warga asing bersama dokumen perjalanan yang sah.
Seksyen 56A Akta itu membenarkan pendakwaan memohon perintah reman sementara menunggu rayuan.
Pasukan pendakwaan diwakili Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache.- BERNAMA

Sunday 15 September 2013

Penternak Lembu Didakwa Edar Dadah Terlepas Hukuman Gantung

ALOR SETAR: Seorang penternak lembu terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan memiliki dan mengedar dadah dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab mendapati Ahmad Fadzil Hamzah, 34, dari Kulim tidak bersalah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengedar dadah seberat 16,471.5 gram (16,321.9 gram heroin dan 149.6 gram morfin) di dalam kereta Mercedez Benzbernombor SA5880J, di tepi rumah nombor 9, Kampung Baru, Sungai Kob, pada 1 tengah hari, 5 Ogos 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki kanabis seberat 84.8 gram di dalam kenderaan sama pada masa dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mohd Zaki yang membacakan penghakimannya di akhir kes pembelaan berkata, pendakwaan gagal membuktikan dadah yang ditemui di dalam kenderaan itu adalah milik tertuduh.
Beliau berkata, sebuah beg sandang yang dirampas polis mengandungi wang tunai dan didakwa milik tertuduh juga tidak diperiksa sepenuhnya.
"Keraguan timbul apabila polis membawa tertuduh balik ke balai untuk disiasat dan kembali semula ke tempat dia diberkas, mengambil kunci kereta daripada bapa tertuduh dan memeriksa kenderaan itu.
"Dakwaan tertuduh memberitahu polis tempat dadah disorokkan meragukan kerana kenderaan itu bukan miliknya dan kunci kereta juga tidak ada bersamanya. Malah dua saksi pembelaan menyokong keterangan bahawa tertuduh tidak mengetahui mengenai dadah berkenaan.
"Untuk mengaitkan dakwaan bahawa dadah yang ditemui milik tertuduh adalah tidak berasas," kata Mohd Zaki.
Ahmad Fadzil, yang ditemani ibunya, Siti Boyah Ahmad, 65, bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah dan berkata dia akan kembali menjadi penternak lembu untuk menyara keluarga serta dua anak berusia lima dan enam tahun.
Tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh. Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud tidak hadir kerana cuti bersalin. - BERNAMA

Friday 13 September 2013

Saman Fitnah: Penulis Blog Papagomo Diarah Bayar RM500,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan penulis blog Papagomo untuk membayar seorang ahli perniagaan sebanyak RM500,000 sebagai ganti rugi atas saman fitnah.
Keputusan itu dibuat pada Jumaat selepas mahkamah mengenai pasti Papagomo adalah Muhammad Azri Wan Deris.
Ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor telah memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Papagomo, dengan mendakwa bahawa penulis blog secara tersirat mengatakan beliau adalah seorang pembohong yang memperoleh berjuta-juta ringgit dalam Sukan Komanwel.
Dalam keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera mengarahkan Papagomo untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan.
Beliau juga memberikan injunksi untuk menghentikan Papagomo daripada terus memfitnah Abdul Razak.
JC Vazeer mengarahkan Papagomo membayar perniagaan RM50,000 sebagai kos-kos lain.
Dalam keputusannya, JC Vazeer berkata, Papagomo tidak menyesal terhadap tindakan itu dan ia tingkah laku dapat disaksikan apabila memberi keterangan dalam perbicaraan fitnah.
Beliau berharap keputusan itu akan menjadi pengajaran kepada penulis blog yang memuat naik artikel fitnah secara ketanpanamaan.

Thursday 12 September 2013

Hakim bersara boleh hadir di mahkamah sebagai peguam


8:56PM Sep 12 2013 
Hakim yang telah bersara boleh hadir di mahkamah sebagai peguam, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini. 

Panel hakim lima anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif membuat keputusan itu selepas menolak permohonan dua syarikat pembinaan supaya hakim yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam bagi sebuah syarikat pemaju.
"Tiada asas perundangan bagi permohonan ini," katanya.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang turut bersidang dalam panel berkenaan, menegaskan permohonan itu bertentangan dengan hak perlembagaan seseorang warganegara untuk menyara hidup, mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut menerima permohonan maaf daripada peguam Gideon Tan, yang mewakili kedua-dua syarikat berkenaan, berhubung dakwaan mengaibkan mahkamah yang didakwa dibuat anak guamnya dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka supaya Sri Ram tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam.
     
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop serta Datin Paduka Zaleha Zahari, memerintahkan Pasukhas Constructions Sdn Bhd dan I-Innovations Construction Sdn Bhd membayar RM10,000 kos perundangan kepada MTM Millenium Holdings Sdn Bhd.
Pasukhas Constructions dan I-Innovations mengemukakan permohonan supaya Sri Ram, 69, tidak dibenarkan mewakili MTM Millenium sebagai peguam atas alasan beliau seorang pesara hakim.
Di luar mahkamah, peguam Datuk Harpal Singh Grewal, yang mewakili MTM Millenium berkata ini kali pertama Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung isu seorang hakim yang telah bersara kembali semula ke mahkamah sebagai seorang peguam.
Sementara itu, Tan berkata penampilan Sri Ram sebagai peguam akan memberikan tanggapan bahawa undang-undang yang akan dilaksanakan mungkin terjejas.
Harpal Singh pula berhujah Seksyen 35 Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976 tidak menghalang mana-mana peguambela dan peguamcara, mahupun seorang hakim yang bersara, untuk tampil di mana-mana mahkamah di negara ini.
"Seksyen 36 LPA turut memperuntukkan mana-mana orang yang namanya tercatat dalam senarai peguambela dan peguamcara serta memiliki sijil amalan guaman yang sah, berhak untuk tampil di mana-mana mahkamah.
Beliau berkata Sri Ram mempunyai kelayakan mengikut LPA dan permohonan syarikat terbabit supaya beliau tidak dibenarkan tampil sebagai peguam dibuat tanpa sebarang asas perundangan.
MTM Millenium terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan Pasukhas Constructions dan I-Innovations Constructions berhubung sebuah projek pembinaan di Cherating, Pahang.
MTM Millenium memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada syarikat itu.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran permohonan kebenaran untuk merayu itu kepada 30 Oktober.
Laporan sebelum ini menyebut Sri Ram akan mewakili pakatan pembangkang Perak dalam kes petisyen pilihan raya tetapi timbul perdebatan tentang keputusannya untuk menjadi pengamal undang-undang selepas bersara.
Pengerusi Majlis Peguam Christopher Leong berkata bekas hakim kanan seharusnya bertindak sebagai konsultan dan bukannya tampil di mahkamah sebagai peguam tetapi Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, sebaliknya berkata hakim yang telah bersara tidak seharusnya dinafikan hak mereka untuk hadir di mahkamah sebagai peguam.
Bernama

Wednesday 11 September 2013

Warga Australia bebas tuduhan edar dadah ditahan semula



Warga Australia Dominic Jude Bird, yang dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah oleh mahkamah tinggi minggu lepas, belum dapat menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan semalam menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan inter-parte berhubung perintah penahanannya yang diperoleh pihak pendakwaan.

Bird, 34, dari Perth, ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 1.55 tengah hari semalam, kira-kira 10 minit sebelum menaiki pesawat untuk ke Australia.

Pegawai polis menyerahkan kepadanya perintah mahkamah ex-parte yang diperoleh pihak pendakwaan daripada Mahkamah Rayuan pada 12.45 tengah hari semalam.

Dalam prosiding semalam di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azhar Mohamad, peguam yang mewakili Bird, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan singkat untuk membolehkan responden menyediakan afidavit balasan berhubung alasan pihak pendakwaan bagi penahanan semula itu.

Dua lagi anggota panel ialah Datuk Dr Hamid Sultan Backer dan Datuk Mokhtaruddin Baki.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, Bird ditahan mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1954 dan beliau bercadang mencabar peruntukan dalam seksyen itu yang dianggap bercanggah dengan kebebasan asasi yang termaktub di bawah Perkara 4, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Semasa dia ditahan, responden mempunyai visa yang sah dengannya dan pihak pendakwaan telah mengabaikan peringatan kami sebanyak empat kali di mahkamah berhubung keperluan memperbaharui visa anak guam saya.

"Seksyen 56A melibatkan isu perlembagaan dan jarang sekali dicabar di mahkamah. Pihak pendakwaan dan saya sendiri perlukan masa untuk menyediakan aspek undang-undang mengenai perkara ini dan menyediakan afidavit balasan masing-masing," katanya.

Hakim Azhar membenarkan permohonan Muhammad Shafee selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache memberitahu mahkamah yang beliau juga memerlukan masa untuk menyediakan afidavit lanjutan.

Beberapa wartawan dari Australia turut hadir di mahkamah semalam.

Kemudiannya, Shafee memberitahu pemberita, pasukan pembelaan tidak mempersoalkan hak pihak pendakwaan memfailkan rayuan tetapi mereka sepatutnya menghormati keputusan mahkamah.

Pada 4 Okt, Bird dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munsabah terhadap kes pendakwaan terhadap pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 167.8 gram di sebuah kedai kopi di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 1 Mac tahun lepas.

Bagaimanapun, warga Australia itu ditahan pegawai Imigresen pada hari sama kerana visanya sudah tamat.

-Bernama

Tuesday 10 September 2013

Selasa September 10, 2013 Kumpulan Penunjuk Perasaan Berhimpun Di Luar Mahkamah Ketika Perbicaraan Isu Kalimah Allah Bermula

PUTRAJAYA: Kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai oleh Ketua Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkumpul di luar Istana Kehakiman ketika perbicaraan rayuan kerajaan dalam kes kalimah Allah bermula.
Mahkamah Rayuan mula mendengar hujah peguam masing-masing mengenai kes itu pada pukul 9.30 pagi Selasa.
Ramai pnunjuk perasaan termasuk ahli Perkasa dan ahli Perkid, memakai baju-T merah, yang tertulis: Allah Hanya Untuk Islam. Fight No Fear.
Mereka menyanyikan lagu-lagu agama dan mengibarkan sepanduk dengan slogan-slogan dan juga laungan 'hormat Islam' dan 'Takbir Allah'.
Naib Presiden Perkasa Zul Noordin dan calon BN Shah Alam yang tumpas, juga membuat penampilan, di mana beliau menggesa umat Islam untuk mempertahankan agama mereka.
Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan dan majlis agama Islam berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguan Katolik, Herald.
Pada 16 Februari 2009, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja serta menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.
Gereja itu menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan berkenaan adalah tidak sah, dankalimah 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.
Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja

Monday 9 September 2013

CEO, Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Pengurus Jualan RM150,000

KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat rangkaian peruncitan dan pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menipu seorang pengurus jualan membabitkan wang berjumlah RM150,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Kopais Konsortium (M) Sdn Bhd Mohd Syawaludin Siran, 37, dan pengarahnya, Rosinah Ahad, 25, didakwa bersama-sama menipu Noorzita Baharudin, 47, yang merupakan pengurus jualan Medicoptic Supplies Sdn Bhd dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa mereka boleh menjual premis perniagaan kedai serbaneka 24 jam Station Rakyat di Plaza Usahawan Crystal Ville, Taman Danau Kota, Setapak.
Perbuatan itu mendorong Noorzita menyerahkan deposit membeli premis perniagaan itu melalui tiga keping cek yang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank syarikat Kopais.
Mohd Syawaludin dan Rosinah yang ditangkap pada 5 Sept lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 1A, KLSC 3, Wangsa Maju di sini pada 11 pagi, 7 Jan lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober untuk sebutan kes bagi mereka melantik peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. - BERNAMA

Friday 6 September 2013

Warga Australia Bebas Tuduhan Edar Dadah Berada Di Bawah Jagaan Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Rakyat Australia, Dominic Jude Bird, 34, yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas tuduhan mengedar dadah, masih berada di bawah jagaan Jabatan Imigresen.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, ketika dihubungi pada Khamis, mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji laporan yang dikemukakan oleh beliau sebelum tindakan susulan diambil sama ada akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.
Sementara itu, salah seorang pembantu kepada peguam utama Bird, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pejabat guaman itu sedang berurus dengan Kedutaan Australia untuk membantu anak guamnya memperbaharui visa bagi membolehkan beliau pulang ke negaranya.
Tempoh visa Bird telah luput ketika dia dalam tahanan reman sementara menunggu perbicaraan kes itu.
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Bird, dari Perth, Australia, selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pada 25 Mac lepas, Bird diperintah membela diri terhadap tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 167.8 gram di outlet Old Town White Coffee di Jalan Yap Kwan Seng di sini, pada pukul 7.15 malam, 1 Mac tahun lepas. - BERNAMA

Thursday 5 September 2013

Kes Saman Fitnah Husam Dan Penulis Blog Kickdefella Selesai

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah antara Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan penulis blog 'Kickdefella' atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz selesai pada Khamis berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Persetujuan penyelesaian itu direkod Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong (male) semasa kes disebut di hadapan beliau.Berdasarkan terma yang dipersetujui, Syed Azidi perlu menyiarkan kenyataan maaf menerusi akhbar Sinar Harian dan blog 'Kicdefella' miliknya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Menerusi terma tersebut, beliau menyatakan kekesalan di atas penyiaran sebuah artikel di akhbar itu pada 25 Julai 2012, dan memohon maaf sekiranya kenyataannya telah menimbulkan kekeliruan.
Kedua-dua pihak hadir ke mahkamah dan tiada sebarang kos ditetapkan.
Husam memfailkan saman itu pada 21 Februari lalu.
Beliau diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala peguam Datuk Jahaberdeen Mohd Yunos mewakili Syed Azidi. -BERNAMA

Wednesday 4 September 2013

Kes Hasutan Tian Chua Ditetapkan Pada 16,17 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 16 dan 17 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan kes Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang, yang didakwa atas tuduhan hasutan ekoran kenyataannya mendakwa kerajaan terlibat dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu.
Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh berkenaan dalam kamar pada Rabu selepas mengadakan mesyuarat dengan timbalan pendakwa raya, Mohd Farizul Hassan and peguam bela Latheefa Koya, yang mewakili Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.
Latheefa berkata kepada pemberita bahawa mahkamah menetapkan dua tarikh bermula 16 Oktober untuk perbicaraan sementara menunggu kes mengetepikan tuduhan terhadap Tian Chua di Mahkamah Tinggi.
Pada 14 Mac, Tian Chua minta dibicarakan selepas membuat kenyataan yang mendakwa pencerobohan oleh pengganas bersenjata dari Sulu, di Lahad Datu merupakan satu konspirasi terancang oleh Umno untuk mengubah perhatian dan menakut-nakutkan orang ramai.
Beliau berkata ia merupakan satu 'drama' oleh kerajaan untuk menakutkan rakyat dan mengalihkan perhatian terhadap Sabah, berbanding inkuiri Suruhanjaya Diraja mengenai isu projek IC.
Tian Chua, yang juga Ahli Parlimen Batu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Fraser Business Park di sini pada 1 Mac pukul 11 pagi.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Artikel 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama dan lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya.
On Apr 12, Tian Chua, 50, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan tuduhan terhadapnya.
Mahkamah akan membuat keputusan berhubung permohonan tersebut pada 26 September ini.

Inkues Insiden Penebat Kilat Runtuh Bermula

GEORGE TOWN: Inkues bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini, bermula Isnin.
Isteri mangsa, Lee Chai Song, 48, berkata, Lim tidak pernah keluar rumah tanpa memaklumkannya terlebih dahulu dan pada hari kejadian, suaminya keluar dengan memandu kereta Honda City untuk mengambil anak bongsu mereka kerana cuaca kurang elok dan mungkin hujan.
Beliau berkata pada kebiasaannya, kedua-dua beranak itu akan tiba di rumah sekitar 7.30 malam, bagaimanapun, pada hari kejadian, Lim langsung tidak pulang manakala anak mereka dihantar oleh guru sekolah pukul 9.30 malam.
"Sebanyak dua kali anak saya buat panggilan dari sekolah memberitahu bahawa ayah belum tiba lagi untuk mengambilnya, saya hanya meminta dia bersabar kerana mungkin ayah tersekat dalam kesesakan lalu lintas sebab hujan lebat," kata saksi pertama prosiding inkues berkenaan di depan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.
Lee berkata, selepas suaminya tidak pulang semalaman, beliau dan anggota keluarga lain mencari mangsa di semua hospital swasta dan kerajaan apabila gagal menemui Lim di Jalan Macallum dan Jalan Macalister, iaitu laluan yang sering digunakan lelaki itu ketika mengambil anaknya pulang dari sekolah.
Lim dikhuatiri tertimbus dalam kejadian ribut pada 13 Jun setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa cebisan sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang terbenam di kawasan runtuhan itu dua hari selepas kejadian.
Lee membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya sehari selepaskejadian dan susulan itu, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari serta mengesan mangsa namun terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 17 Jun bagi mengelak struktur bangunan warisan di kawasan runtuhan terjejas.
Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh.
Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.
Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali. - BERNAMA

Sunday 1 September 2013

Sesi Temuduga Pesuruhjaya Sumpah 17-27 Spt 2013

Kepada Semua Calon-Calon Sesi Temuduga PJS:
(Pegawai Awam, Peguambela dan Peguamcara,
Persendirian)

5 Bidang yang perlu dipelajari untuk menghadapi
sesi temuduga tersebut tanpa gagal.  Setakat membaca
Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993, tidak
mencukupi dan anda akan gagal.  Bidang-bidang
tersebut seperti di bawah:

1.  Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993.
2.  Sistem Undang-Undang Malaysia (Malaysian Legal
     System)
3.  Pengetahuan Am tentang Malaysia dan sejarahnya.
4.  Istilah-istilah undang-undang, dan
5.  Akta atau undang-undang yang berkaitan dengan
     Pesuruhjaya Sumpah.

Terdapat dua buah ebook yang boleh membantu anda
seperti di bawah:

EBOOK: PERSEDIAAN LENGKAP PEPERIKSAAN DAN 
TEMUDUGA
PESURUHJAYA SUMPAH 2013
DAN
TIPS  SESI TEMUDUGA  PESURUHJAYA SUMPAH 2013

EBOOK TIPS TEMUDUGA PJS




e-book tersebut boleh didapati dari admin remba@pjs dengan menulis ke email
remba_ebook@yahoo.com








Admin remba@pjs