Monday 9 September 2013

CEO, Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Pengurus Jualan RM150,000

KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat rangkaian peruncitan dan pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menipu seorang pengurus jualan membabitkan wang berjumlah RM150,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Kopais Konsortium (M) Sdn Bhd Mohd Syawaludin Siran, 37, dan pengarahnya, Rosinah Ahad, 25, didakwa bersama-sama menipu Noorzita Baharudin, 47, yang merupakan pengurus jualan Medicoptic Supplies Sdn Bhd dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa mereka boleh menjual premis perniagaan kedai serbaneka 24 jam Station Rakyat di Plaza Usahawan Crystal Ville, Taman Danau Kota, Setapak.
Perbuatan itu mendorong Noorzita menyerahkan deposit membeli premis perniagaan itu melalui tiga keping cek yang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank syarikat Kopais.
Mohd Syawaludin dan Rosinah yang ditangkap pada 5 Sept lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 1A, KLSC 3, Wangsa Maju di sini pada 11 pagi, 7 Jan lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober untuk sebutan kes bagi mereka melantik peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. - BERNAMA