Friday 31 July 2015

Majlis Peguam persoal penyingkiran Abdul Gani



Presiden Majlis Peguam Malaysia berpendapat pengguguran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara bercanggah dengan perlembagaan.

Kata Steven Thiru, jika penamatan khidmat Abdul Gani dibuat atas alasan kesihatan, beliau perlu dirujuk kepada lembaga perubatan untuk penilaian dan bukannya diketepikan begitu saja.

Katanya, proses itu perlu dibuiat kerana Abdul Gani adalah kakitangan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

"Kedudukan Abdul Gani berbeza daripada lantian politik atau ahli parlimen. Disebabkan Abdul Gani adalah peguam negara, beliau berkhidmat dengan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," katanya.

Kelmarin peguam negara yang baru Tan Sri Mohamed Apandi Alimempertahankan langkah kerajaan menamatkan perkhidmatan Abdul Gani dan menganggapnya tidak melanggar perlembagaan.

'Najib rasa kabinetnya baik, rakyat tidak'



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menganggap kabinet terkini yang dibentuknya baik untuk kerajaan, namun rakyat tidak berkongsi pendapat itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditemui media di Kuala Lumpur hari ini veteran Umno yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu berkata pandangan itu dibuat berdasarkan pembacaan beliau di blog serta komen umum di Facebook.

"Saya rasa perdana menteri berfikir ia adalah kabinet yang lebih baik.

"Tapi saya baca blog-blog, komen Facebook dan saya tak nampak (rakyat berfikir) begitu. Kalau kamu baca semua ini kamu akan tahu apa yang rakyat fikir," katanya.

Tony Pua: Apa maksud 'bocor' tu, AG?



Peguam negara yang baru dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan maksud kenyataannya mengenai 'kebocoran jenayah' membabitkan kertas pertuduhan didakwa untuk Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Publisiti DAP Tony Pua hari ini berkata, walaupun Mohamed Apandi mendakwa dokumen berkenaan palsu, beliau juga berkata ada 'kebocoran jenayah' terbabit.

"Anda tidak boleh kata berlaku jenayah kebocoran jika tiada kebocoran. Jika tiada kebocoran maka tiada dokumen yang bocor.

"Persoalannya ialah, adakah dokumen itu memang kertas pertuduhan yang mungkin digunakan ke atas perdana menteri?" katanya di sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Justeru Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, peguam negara perlu membuat penjelasan mengenai kenyataannya.

Semalam Mohamed Apandi berkata "kertas pertuduhan itu menandakan ada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dengan mengaitkannya dengan jenayah".

Antara kaedah digunakan, kata Mohamed Apandi, mengubah suai dokumen dan kebocoran jenayah.

Jabatan AG nafi 'kertas pertuduhan' terhadap PM


Jabatan Peguam Negara telah menafikan membuat atau mengeluarkan apa yang didakwa kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ketua bahagian pendakwaan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, melalui twitter, berkata draf kertas pertuduhan yang diterbitkan oleh Sarawak Report tidak dibuat atau dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara.




Tun Abd Majid @TAMajid
@bernamadotcom draft pertuduhan yg diterbitkn oleh Sarawak Report tidak dibuat atau dikeluarkn oleh Jab Peguam Negara. Harap maklum.

Sebelum itu, Peguam Negara (AG) yang baru dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak tahu menahu mengenai perkara itu."Saya tidak tahu apa-apa mengenai laporan itu, jadi saya tidak boleh komen, okay?" katanya kepada Malaysiakini.Ditanya sama ada beliau menganggap ini satu perkara yang serius, beliau menjawab: "Saya tidak tahu, bukan untuk saya komen."Menjawab satu lagi soalan sama ada beliau akan meneliti perkara itu, Apandi, yang memegang jawatan peguam negara sejak hari Isnin, berkata: "Saya penat sangat. Jadi boleh saya berehat? Terima kasih."

Beberapa orang, seperti ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya dan peguam Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas, telah tweet dokumen yang muncul di Sarawak Report.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, melalui twitter, meminta orang ramai menghentikan sebarang penyebaran khabar angin.

Peguam ragu AG baru boleh bertindak pada PM



Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak patut menganggotai pasukan petugas khas siasatan1 1MDB, begitu pandangan seorang peguam kanan.

Pengamal undang-undang yang enggan namanya disebut itu berkata terdapat percanggahan kepentingan kepada Apandi kerana beliau menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menurutnya berlaku secara misteri.

Beliau membangkitkan pelantikan Apandi yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – yang terpalit sama dalam kontroversi sekitar syarikat pelaburan negara itu.

Peguam kanan itu berpendapat tugas itu patut diserahkan kepada orang nombor dua dalam Jabatan Peguam Negara, iaitu Peguam Cara Negara Datuk Azailiza Mohd Ahad.

“Oleh itu, bagaimana Apandi akan menyiasat atau memulakan pendakwaan terhadap kes yang ditemui terhadap Najib kerana pelantikannya dan pengguguran Gani berlaku atas sokongan PM,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Pendapat sama dikongsi oleh pengarah eksekutif kumpulan peguam Lawyers for Liberty Eric Paulsen. 
 

PM Britain bimbangkan Anwar, kata Azmin



Perdana Menteri Britain David Cameron menyatakan kebimbangan terhadap keadaan bekas ketua pembangkang yang dipenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata Cameron juga menyatakan perkara itu dan kebimbangan lain kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Cameron beritahu saya bahawa beliau telah bangkitkan beberapa isu kepada Najib dalam pertemuan mereka hari ini.

“Ini termasuk kebimbangan berkaitan Anwar, dan Cemeron berkata beliau (Anwar) harus diberikan rawatan perubatan, capaian kepada buku-buku dan rawatan sesuai,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke sebuah acara di Kuala Lumpur malam ini.

Cameron juga mengadakan pertemuan peribadi dengan Azmin.