Tuesday 13 August 2013

BN Kekal Kemenangan DUN Selama, Tolak Petisyen PAS

IPOH: Mahkamah Pilihan Raya di sini mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Selama selepas menolak petisyen yang difailkan calon PAS Mohd Akmal Kamaruddin.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam keputusannya berkata pempetisyen gagalmengemukakan permohonan petisyen yang lengkap dan tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954.
"Peraturan 4(1)(b) EPR memerlukan pempetisyen menyatakan fakta dan alasanberhubung petisyen itu," katanya.
Hakim memerintahkan Mohd Akmal membayar kos masing-masing RM50,000 kepada responden pertama, anggota DUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff daripada BN dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohd Akmal diwakili tiga peguam diketuai N.P. Ramachandran manakala responden pertama diwakili barisan peguam diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Peguam Kanan Persekutuan Norinna Bahadun dan Hanim Abd Rahman mewakili responden kedua.
Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, Mohamad Daud menewaskan Mohd Akmal dengan majoriti 619 undi. - BERNAMA