Wednesday 17 December 2014

Bukit Aman Tumpas 'Macau Scam' Tipu Lebih RM12 Juta


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 1:34 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Bukit Aman menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa 'Macau Scam' melibatkan kerugian mencecah lebih RM12 juta berikutan penahanan 60 warga Taiwan dan China dalam serbuan serentak di dua rumah di ibu negara petang Selasa.
Sindiket itu didapati aktif sejak Julai lepas dan menjadikan rumah yang disewa di Taman Seputeh dan Taman Cheras dekat sini sebagai pusat operasi.
Timbalan Pengarah Bahagian Jenayah Siber, Senior Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din, berkata sindiket ini akan menjadikan mangsa yang mempunyai masalah hutang, kad kredit dan mahkamah sebagai sasaran
"Semua warga Taiwan dan warga China yang ditahan ini  dipercayai direkrut dan dibawa ke negara ini untuk menipu mangsa dari negara masing masing," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, selain pembabitan warga asing, polis juga tidak menolak kemungkinan rakyat tempatan turut membantu sindiket itu untuk menyewa rumah berkenaan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiga Suspek Rompakan Maut Dalam Kejadian Berbalas Tembakan


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 12:33 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Tiga suspek rompakan maut ditembak selepas satu kejadian pecah rumah dilaporkan di Banting awal pagi Rabu.
Pasukan polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 pagi, dan mereka bertembung dengan lima suspek di Jalan Segenting, sebelum memasuki Pulau Carey di Klang.
Kejadian tembakan berlaku pada pukul 6.30 pagi dan ketiga-tiga suspek, berusia 25 hingga 30 tahun ditembak mati, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kelima-lima suspek, kesemuanya warga asing menaiki kereta Toyota Vios yang dilaporkan dicuri di Subang Jaya pada 2013.
Mereka merempuh tiang lampu ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.
Abdul Rahim berkata, kesemua suspek bergegas keluar dari kereta dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah polis.
"Pasukan kita terpaksa membalas tembakan. Tiga perompak maut ditembak.
"Kita sedang memburu dua lagi yang cuba melarikan diri masuk ke kawasan hutan berhampiran," tambahnya.
Polis menemui sepucuk pistol, dua parang dan tiga telefon bimbit di lokasi kejadian.