Wednesday, 14 August 2013

Ekstradisi: Mahkamah Tolak Permohonan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan pejabat Peguam Negara bagi penangguhan perintah pembebasan seorang anak VIP dari Iran, selepas memutuskan bahawa tiada keadaan khas yang dikemukakan di mahkamah untuk memudahkan Jabatan Imigresen menahan lebih lanjut lelaki itu, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Hakim, Datuk Mohd Azman Husin dalam keputusan ringkasnya berkata Seksyen 311Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 57 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang digunakan pejabat Peguam Negara untuk menyokong permohonannya tidak terpakai dalam perkara ini.
Keputusan Mohd Azman dibacakan oleh Penolong Pendaftar Nooraini Yusof di mahkamah terbuka.
Memberi respons segera terhadap keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Mohd Duzuki Mokhtar memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan pejabat Peguam Negara sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan pada Rabu dan mengesahkan bahawa Sajad Farhadi, 34, masih ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Putrajaya.
Beliau juga berkata, tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuanmengenai rayuan oleh Kementerian Dalam Negeri dan tiga lagi terhadap keputusanMahkamah Tinggi pada 2 Ogos yang telah membenarkan writ habeas corpus dalammembebaskan Sajad.
Sementara itu peguam Sajad, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Jabatan Imigresen menahan Sajad kerana pelanggaran syarat visa dan tempoh tahanan remannya dijangka berakhir pada Khamis.
"Kami akan tunggu beberapa hari lagi sama ada Sajad akan ditahan lebih lanjut sebelum kami memutuskan sama ada untuk mengenakan prosiding menghina mahkamah terhadap jabatan itu," kata Shafee.
Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan pendakwaaan untuk memudahkan Kementerian Dalam Negeri mengekstradisi Sajad ke Amerika Syarikat.
Sajad dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat terhadap lebih 30 tuduhan melanggar sekatan perdagangan terhadap Iran, pemalsuan dan penyeludupan barangan di daerah utara California.
Dalam membenarkan permohonan habeas corpus pada 2 Ogos, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah dan waran pemenjaraan di bawah Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992, tidak dilaksanakan dengan undang-undang dan oleh itu Sajad akan dibebaskan segera. - BERNAMA

Perbicaraan Penuh Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kota Marudu 19 Ogos

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Selasa menetapkan 10 hari mulai 19 Ogos untuk mendengar petisyen terhadap keputusan kerusi Parlimen Kota Marudu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas.
Petisyen itu yang difailkan calon PKR Datuk Maijol Mahap, menegaskan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR apabila mereka memintanya daripada pegawai pengurus pilihan raya.
Dalam petisyennya, Mahap menamakan pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga.
Responden pertama, bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu, ditolak sebagai responden terhadap tuduhan memberi dan mengamalkan rasuah yang didakwa oleh pempetisyen.
Hakim Datuk Yew Jen Kee juga memerintahkan Mahap membayar kos RM5,000 kepada Ongkili.
Yew memutuskan pempetisyen tidak mengemukakan fakta mencukupi terhadap dakwaan itu.
Pada PRU13, Ongkili yang mewakili Barisan Nasional memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Mahap memperoleh 14,326 undi manakala calon lain, Majamis Timbong (Star)mendapat 2,228 undi dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi. - BERNAMA