Tuesday 30 April 2013

Kes Hasutan: Waran Tangkap Terhadap Pemimpin Hindraf Uthayakumar



P.Uthayakumar
KLANG: Mahkamah Sesyen di sini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar kerana tidak hadir pada pendengaran kes hasutan yang dikenakan terhadapnya.
Ketika dihubungi, Uthayakumar, yang juga calon bagi kerusi Parlimen Kota Raja dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas berkata waran berkata masih dikeluarkan walaupun beliau telah mengemukakan sijil cuti sakit (MC) daripada 2 April hingga 17 May yang memberi pengecualian kepadanya supaya tidak perlu hadir ke mahkamah.
"Saya mempunyai sijil cuti sakit daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang dikeluarkan oleh pakar bedah saraf kerana ketumbuhan kecil pada tulang belakang saya," kata Uthayakumar.
Beliau berkata timbalan pendakwa raya telah memohon waran tangkap dikeluarkan pada Isnin dan hakim telah membenarkan permohonan berkenaan.
"Timbalan pendakwa raya berkata saya telah hadir pada hari penamaan calon dan aktif berkempen," katanya ketika menanti ditahan oleh pihak polis di bilik gerakannya di Taman Sentosa di sini.
Beliau berkata kempennya akan terus berjalan walaupun beliau ditahan dan dia akan tetap bertanding pada hari pengundian.
"Penyokong saya akan tetap menjalankan kerja-kerja kempen dan sayak akan tetap bertanding walaupun saya ditahan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasidi berkata Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain telah mengeluarkan perintah berkenaan di hadapan beliau dan penjamin Uthayakumar.
Azlina berkata hakim telah bertanya kepada penjamin mengapa sijil cuti sakit Uthayakumar tidak diserahkan antara 2 April dan 17 Mei.
Beliau berkata penjamin berkenaan menjawab sijil cuti sakit itu diterimanya pada 4 April dan dia diminta menghantar sijil berkenan pada Isnin.
Azlina berkata beliau turut memohon sepina kepada doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit berkenaan kerana pihak pendakwaan mahu mendapatkan penjelasan mengenainya.
Uthayakumar, 49, yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Disember 2011 atas kesalahan menyiarkan surat berbaur hasutan dalam sebuah laman web.
Surat itu, bertarikh 15 November, 2007 adalah daripada Hindraf dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain Gordon Brown di No 10, Downing Street, London.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.