Tuesday 11 March 2014

Kertas Siasatan Kes Twitter Dr Afif Hampir Siap - Polis


Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 6:10 PM
Dr Afif.
GEORGE TOWN: Kertas siasatan berhubung kenyataan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin melalui akaun Twitter miliknya 4 Mac lepas yang didakwa menghina pasukan polis, hampir siap dan dijangka diserah kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada tiga individu iaitu Dr Afif dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan status twitter itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Jumaat lepas polis merakam keterangan Dr Afif di pejabatnya di Komtar dan turut mengambil telefon bimbit milik beliau yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan.

Dr Afif, anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri.

Dua Anggota Polis Ditahan Suspek Kes Dadah, Cuba Rasuah Polis


Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 8:32 PM
Kamaruddin Mohd Zakaria.
BESUT: Dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Besut ditahan kerana dipercayai suspek kes dadah, didakwa menawarkan sogokan RM500 kepada anggota polis yang menahan mereka awal pagi, Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata kedua-dua suspek ditahan dalam Op Tapis Bersepadu bersama 15 suspek lain berumur 20 hingga 40 tahun, di tiga kampung sekitar kawasan Hulu Besut dan Jerteh.

"Dalam perjalanan pulang ke BSJND, kedua-dua suspek merayu supaya mereka dibebaskan sambil mengeluarkan RM500 sebagai wang pendahuluan untuk anggota yang menahan mereka," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Anwar Fail Rayuan Tuduhan Liwat


Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 11:08 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meninggalkan perkarangan mahkamah selepas dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10 ribu setelah hakim membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya, Jumaat lalu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tuduhan liwatnya.

Beliau bersama peguam Ramkarpal Singh memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan jam 10.30 pagi Isnin.

Ramkarpal berkata Anwar akan berada di pejabat pendaftar mahkamah sebelum pukul 1 tengahari untuk menandatangani kertas ikat jamin beliau.

Pembantu Anwar Ibrahim Yaacob muncul sebagai penjamin datang pada pukul 10.30 pagi untuk proses pentadbiran.

Anwar Hadir Bayar Ikat Jamin RM10,000


Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 3:59 PM
Anwar ketika menjawab pertanyaan media selepas hadir membayar ikat jamin sebanyak RM10,000 selepas hakim membenarkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara selama lima tahun pada 7 Mac 2014 atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman di Putrajaya, Isnin. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir 90 minit lewat di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk menandatangani borang ikat jamin beliau.

Anwar, 67, juga memfailkan rayuan terhadap sabitan liwatnya oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat dan hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan terhadapnya.

Anwar datang di pejabat pendaftar mahkamah pada pukul 12.30 tengah hari selepas menghadiri mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-13 di Kuala Lumpur.

Timbalan Pendaftar (bahagian jenayah) Darmafikri Abu Adam menyelesaikan proses ikat jamin itu di dalam kamarnya.