Jabatan Peguam Negara mengesahkan ia tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kes penipuan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ini disahkan oleh Timbalan Peguamcara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah (kiri) dalam mesej SMS kepada Malaysiakini.
NONETerdahulu, sumber-sumber memaklumkan kepada Malaysiakinibahawa 
sehingga lewat petang tadi, tiada sebarang arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, walaupun hari ini merupakan hari terakhir tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Dengan keputusan untuk tidak merayu itu, kini tinggal Datuk Chan Kong Choy - juga bekas menteri pengangkutan dan bekas timbalan presiden MCA - yang akan dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan dalam projek PKFZ.

Sejurus selepas mahkamah membebaskan Ling, DPP Manoj Kurup yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata mereka akan mengkaji penghakiman itu dan akan membuat keputusan sama ada akan memfailkan rayuan atau tidak.