Monday, 10 February 2014

Bunuh Anak Teman Wanita: Rakyat Sudan Terlepas Hukuman Mati

PUTRAJAYA: Seorang rakyat Sudan terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh anak perempuan teman wanitanya, empat tahun lepas.
Selepas Presiden Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan itu, anggota keluargabekas pelajar kolej Mohannad Taha Ismail dan rakan-rakannya, yang berada di mahkamah, menitiskan air mata dan kelihatan memeluk satu sama lain.
Di luar mahkamah, kesemua mereka mengucapkan "Alhamdulillah" dan sesetengahdaripada mereka menangis.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan terakhir Mohannad Taha terhadap sabit kesalahan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September, 2011.
Ketika membuat keputusan sebulat suara, Hakim Md Raus berkata selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat bahawa berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati bahawa adalah tidak selamat untuk mengekalkan hukuman itu ke atas perayu (Mohannad Taha).
"Oleh itu, rayuan dibenarkan, mahkamah mengetepikan sabit kesalahan dan hukuman mati ke atas perayu," kata Hakim Md Raus yang mempengerusikan panel hakim lima anggota terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Hasan Lah, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.
Pada 15 Oktober, 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Mohannad Taha selepas mendapatinya bersalah membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3 tahun.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kondominium Venice Hill di Cheras antara 7.30 malam dan 8.30 malam pada 12 Oktober, 2009.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohannad Taha berhujah bahawa tiada bukti jelas menunjukkan bahawa anak guamnya telah menyebabkan pendarahan parah pada bahagian kranium mangsa kerana tiada siapapun dalam rumah nampak Mohannad Taha menggoncang mangsa.
Beliau berhujah bahawa keterangan emak mangsa tidak boleh diterima kerana kenyataannya kepada polis didapati bercanggah dengan keterangannya kepadamahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya berhujah bahawa satu kesimpulan seharusnya dibuat ke atas perayu memandangkan dia tinggal bersama mangsa dan ibunya selama tiga bulan di rumah itu. - BERNAMA

'Saya Tidak Dapat Menyusu Akibat Kecederaan Payudara' - Nirmala

KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak dapat menyusukan anaknya akibat kecederaan pada payudara selepas didera majikannya, sepuluh tahun lepas.
Nirmala, 29, dalam pernyataan saksinya berkata dia tidak dapat menyusukan kedua-dua anak lelakinya, masing-masing berumur empat tahun dan setahun ketika mereka masih bayi akibat kecederaan yang dilakukan Yim Pek Ha selaku defendan pertama, pada kedua-dua belah payudaranya.
Nirmala berkata, kejadian itu berlaku sekitar Mac atau April 2004 selepas diadiminta Yim supaya membuka coli dan baju sebelum meletakkan seterika panas padapayudara di sebelah kiri dan kanannya apabila baju yang digosoknya menggunakanseterika kurang licin.
"Saya mengalami parut akibat daripada kecederaan itu dan disebabkan kejadiantersebut saya mengalami tekanan emosi serta takut untuk bekerja," katanya dalam perbicaraan hari pertama kes saman yang difailkan terhadap Yim dan suaminya, HiiIk Tiing kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas.
Ibu dua anak dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu berkata selaindicederakan dengan seterika panas, defendan pertama juga menyimbah air panas pada paha kanannya dan memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan pada dahi, bibir dan hidungnya.
Dalam pada itu, wanita Indonesia itu berkata, dia diminta oleh defendan pertama untuk menandatangani diari yang telah ditulis olehnya (defendan pertama) mengandungi barang-barang yang dikatakan telah dirosakkan oleh pembantu rumah itu termasuk baju, cawan, pinggan dan mangkuk.
"Defendan pertama yang menulis kandungan dalam diari itu dan saya diminta menandatanganinya," katanya ketika menjawab soalan peguam M. Kavimani, yang mewakilinya.
Namun, Nirmala berkata, barang-barang yang rosak itu tidak disengajakannya dan seingatnya ada baju yang rosak semasa dia menggosok baju berkenaan menggunakan seterika.
Sementara itu, Nirmala tidak bersetuju dengan cadangan peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim dan suaminya bahawa dakwaan dia didera oleh defendan sebenarnya tidak pernah berlaku kerana dia tidak pernah melarikan diri atau menghubungi agensi pekerjaan sekiranya didera, meskipun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
Nirmala juga tidak bersetuju dengan cadangan Chan bahawa kecederaan yangdialaminya adalah akibat perbuatannya sendiri dan bukan orang lain.
Pada 28 Januari 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas didakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya denganmenggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.
Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya kepada dia.
Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Pada 1 Oktober 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yangmenjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.
Yim, yang kini berada di Penjara Kajang turut hadir pada prosiding pada Isnin,diiringi pegawai penjara dalam keadaan tangannya bergari.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung pada Selasa. - BERNAMA

Warga Myanmar Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Isteri Rakyat Indonesia

Buruh warga Myanmar Masali Abdul Sukor, 39, (tengah) diiringi anggota polis, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya.Masali didakwa menyebabkan kematian Elna Reti Anfal, 30, pada 26 Januari lepas di sebuah rumah di Kampung Imam, Jitra. -fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Seorang buruh warga Myanmar pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya, seorang rakyat Indonesia hujung bulan lepas.
Masali Abdul Sukor, 39, didakwa menyebabkan kematian Elna Reti Anfal, 30 pada pukul 1.30 pagi, 26 Januari lepas di sebuah rumah di Kampung Imam, Jitra.
Pertuduhan terhadapnya adalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.Timbalan Pendakwa Raya Azlina Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
Bagaimanapun Masali yang tidak diwakili peguam merayu kepada Hakim Azhar Mokhtar supaya dia dibenarkan diikat jamin kerana dia mempunyai tujuh orang anak untuk dijaga menerusi tiga perkahwinan, termasuk empat bersama mangsa.
Di mahkamah yang sama, Masali juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki sebilah pedang samurai tanpa kebenaran, pada pukul 11.30 pagi, 24 Julai tahun lepas di rumah kedai Kyaw Myanmar Store, No. 179B, Tingkat Atas, Jalan PJ 2, pekan Jitra.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Azhar tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan kedua-dua kes. BERNAMA

Edar Kanabis 8kg, Jurujual Penapis Air Dijatuhi Hukuman Mati


MAHKAMAH

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual penapis air dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Jumaat kerana mengedar 8,445 gram kanabis dua tahun lepas.
Hakim, Amelia Tee Hong Geok Abdullah memerintahkan Muhammad Ridzuan Ab Majid,33, menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan rotan selepas dia didapatibersalah terhadap pertuduhan kedua, memiliki 106.9 gram kanabis.
Beliau turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 12 Jun 2012.
Amelia membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkankeraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Ridzuan didakwa mengedar kanabis seberat 8,445 gram di Blok 166-04-04, Rumah Pangsa Sri Pangkor, Sentul Pasar, Sentul di sini pada 5.45 petang 12 Jun 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Ridzuan didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 106.9 gram mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama pada masa dan tempat yang sama.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh memohon mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh bagi kesalahan mengedar dadah dan hukuman berat bagi kesalahan memiliki dadah kerana ia kesalahan serius.
Beliau berkata, mahkamah juga harus mengambil kira usaha kerajaan dalammenangani masalah dadah di negara ini dan mengambil kira berat dadah yang terlibat.
"Mahkamah juga harus menilai fakta kes yang mana tertuduh menyimpan dadah di bawah katil anak perempuannya. Dia bukan sahaja mengedar dadah tetapi turut meletakkan risiko kepada ahli keluarganya," katanya.
Peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dan ibu bapa yang sudah tua selain ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya. - BERNAMA

Pelaksanaan Hukuman Gantung Sampai Mati Terhadap Banduan Dihentikan

PETALING JAYA: Pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap banduan P.Chandran yang dijadualkan pada awal Jumaat dihentikan, selepas mendapat arahan Sultan Johor berikutan rayuan daripada keluarga.
Abang Chandran, Thamotharan berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai di Jabatan Penjara, lewat Khamis.
"Mereka memberitahu saya bahawa hukuman itu telah dihentikan sementara dan pihak berkuasa akan meneliti kes itu.
"Saya juga dimaklumkan bahawa keputusan untuk menangguhkan hukumannya dibuat selepas mendapat arahan daripada Sultan Johor semalam (Khamis) petang," katanya, sambil menambah seluruh keluarga sangat berterima kasih kepada Sultan.
Thamotharan berkata dia difahamkan bahawa Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu itu.
"Kami berterima kasih kepada mereka dan juga setiap organisasi dan orang ramai yang bersama dengan kami yang merayu untuk mendapatkan pengampunan untuk Chandran daripada dikenakan hukuman mati," katanya.
Tahun lepas, anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Semakan Kedua Rekod Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) di Geneva, sebulat suara meminta kerajaan Malaysia mengkaji semula hukuman mati.
Setiausaha Hindraf kebangsaan P. Ramesh berkata, berikutan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membentangkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bulan depan.
"Isu ini telah dibangkitkan tidak kurang daripada empat tahun yang lalu, iaitu apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua hukuman mati," katanya.
Chandran didakwa membunuh dengan niat bersama beberapa orang lelaki yang masih bebas yang menyebabkan kematian K.Muthuraman, 36, di hadapan sebuah rumah di No. 94, Jalan Lading 22, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, pada pukul 8.15 malam, 19 Julai 2003.
Chandran, yang telah dipenjarakan selama 11 tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pegawai TUDM Didakwa Berhubung Isu Dakwat Kekal PRU-13

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dari Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang keluar dari Kompleks Mahkamah Tentera selepas didakwa atas tuduhan memanipulasi dakwat kekal sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini di Kompleks Mahkamah Tentera Pangkalan TUDM, Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, Jumaat. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera pada Jumaat terhadap empat pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera berhubung isu dakwat kekal ketika pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Mejar Zaidi Ahmad, 45, dari Pangkalan Udara Butterworth, turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan iaitu menyiarkan maklumat rasmi kepada media dan menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik.
Dia membuat pengakuan itu di depan enam anggota panel diketuai Yang Dipertua Kolonel Saadon Hasnan.
Anggota panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S.Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zaidi didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera, tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas pada 1 Mei 2013.
Zaidi juga berdepan dua lagi pertuduhan iaitu membuat kenyataan media bagi melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera.
Dia juga didakwa menyiarkan maklumat rasmi iaitu berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera.
Pegawai tentera itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei 2013.
Bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, Zaidi didakwa menghantar SMS berbaur politik atau hasutan semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei 2013.
Dia didakwa mengikut Sekysen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa, TUDM Mejar Ahmad Sanusi Ali manakala Zaidi diwakili peguam, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga hari bermula 8 April ini. - BERNAMA