Monday 9 December 2013

Edar Dadah: Warga Nigeria Terlepas Hukuman Gantung

PUTRAJAYA: Seorang warga Nigeria terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan mengedar 707.5 gram dadah jenis methamphetamine.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed sebulat suara membenarkan rayuan Nolose Albert Raleshome untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah.
Panel itu turut dianggotai Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Zakaria Sam.
Dalam penghakimannya, Azahar berkata mahkamah berpendapat keterangan lisan ahli kimia Muzaiyanah Mohd Kaprawi berhubung analisis yang dilakukan terhadap dadah berkenaan adalah bercanggah dengan laporan yang disediakan beliau.
Oleh itu, beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal memberi penilaian maksimum terhadap keterangan saksi berkenaan. Justeru, Azahar berkata pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes terhadap Raleshome, 34, dan Mahkamah Tinggi sepatutnya membebaskan tertuduh.
Raleshome didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Medan Selera 118 di Taman Len Seng, Cheras pada 12 tengah hari 30 Disember 2010.
Penghakiman dalam kes itu dipercayai merupakan satu 'landmark' berhubung keterangan ahli kimia.
Tertuduh diwakili peguam Karpal Singh dan Zaleha Al-Hayat manakala Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustafa bagi pendakwaan.-BERNAMA

Kes Bunuh Pengasas Ambank Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, Isnin memindahkan kes bunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank)Hussain Ahmad Najadi yang ditembak di tempat letak kereta pada Julai lepas, ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin juga memindahkan kes cubaan membunuh isteri pengasas itu, Cheong Mei Kuen, 49, ke mahkamah sama.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.Erry Shahriman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwa raya supaya kedua-dua kes itu dpindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A dan Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memohon kes cubaan bunuh isteri pengasas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, walaupun itu biasanya dibicarakan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.
Pada 3 Oktober lepas, penarik kereta Koong Swee Kwan didakwa terhadap pertuduhan membunuh pengasas itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin No. 4 Lorong Ceylon, Daerah Dang Wangi, di sini pada 1.30 tengah hari hingga 2 petang, 29 Julai lepas.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah. -BERNAMA

Mahkamah Tinggi Tetapkan 24 Januari Pengurusan Kes Bunuh Pegawai AmBank

La Ode dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, selepas mahkamah menetapkan 24 Januari 2014 sebagai tarikh pengurusan kes itu.
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Januari sebagai tarikh pengurusan kes warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila yang didakwa membunuh pegawai AmBank, Norazita Abu Talib.
Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut dihadapannya pagi Isnin.
Pada 19 November lalu, warga Indonesia berusia 36 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Norazita, sekali gus menamatkan buruan terhadap suspek dalam kes tersebut.
Norazita, 37, maut selepas ditembak di muka menggunakan senjata jenis pump gun di AmBank cawangan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober lalu.
Peguam S.Selvi yang mewakili tertuduh ketika ditemui, berkata persetujuan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi telah diperolehi.
Tarikh perbicaraan, bagaimanapun, belum ditetapkan.