Friday, 3 July 2015

WSJ: Dakwaan kaitan ditemui antara 1MDB dan akaun bank PM-MALAYSIAKINI



Dalam satu lagi pendedahan sensasi, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

WSJ memetik dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan, yang telah diperolehi oleh akhbar kewangan antarabangsa itu dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report.


Menurut WSJ, dokumen-dokumen siasatan itu didakwa menunjukkan buat kali pertamanya Najib telah dikaitkan secara langsung dengan siasatan terhadap dana pelaburan negara yang bermasalah itu.

WSJ mendakwa kerajaan menyiasat dokumen-dokumen yang apa pihak penyiasat percaya adalah pergerakan wang tunai di kalangan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB sebelum ia berakhir dalam akaun peribadi Najib.

Dakwanya, dokumen-dokumen yang disemak oleh The Wall Street Journal termasuk borang-borang pemindahan bank dan carta aliran yang diperolehi oleh penyiasat kerajaan yang mencerminkan pemahaman mereka tentang laluan wang tunai itu.

Sementara itu, Sarawak Report melaporkan secara berasingan bahawa sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) didakwa dipindahkan oleh dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.