Wednesday 30 October 2019

Seorang pegawai pendakwa, 14 polis Terengganu antara ditahan terlibat dadah



Seorang pegawai pendakwa dan 14 anggota polis berpangkat rendah adalah antara 8,706 pesalah dadah yang ditahan sejak 1 Jan hingga 28 Okt tahun ini.
Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail berkata pegawai serta anggota polis yang ditahan itu berusia antara 30 dan 40 tahun, dipercayai terlibat dengan gejala dadah disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah keluarga, perasaan ingin tahu serta pergaulan dengan pesalah dadah yang lain.
"Kes melibatkan anggota polis ini ada yang sudah dalam proses pertuduhan di mahkamah dan ada yang dalam peringkat siasatan.
"Kesemua mereka yang positif dadah telah digantung tugas dan pihak polis masih meneruskan ‘Op Blue Devil’ bagi mengesan sekiranya masih terdapat dalam kalangan kami (polis) yang terlibat dengan gejala tidak sihat ini," katanya kepada pemberita selepas program Perasmian Pelupusan Barang Kes Narkotik Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Thursday 3 October 2019

Polis buru 21 peguam pecah amanah

Seramai 21 peguam disenaraikan dalam senarai dikehendaki polis atas dakwaan pecah amanah dan salah guna wang anak guam.
Secara keseluruhan ia melibatkan wang pelanggan sehingga RM30.4 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJ), Bukit Aman, Zakaria Ahmad berkata individu berumur antara 34 dan 69 tahun itu didakwa menipu pelanggan dalam 39 kes sejak 2012.

Wednesday 18 September 2019

Anwar sangkal ada individu lain mahu rebut jawatan PM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menolak laporan bahawa terdapat calon lain sedang dipertimbangkan untuk menggantikan tempat perdana menteri.
"Tiada tanda mana-mana pihak memperkenalkan atau mempromosikan atau melobi nama-nama lain.
"Ini tidak menghalang individu lain yang memiliki cita-cita dengan reka bentuk mereka sendiri.
"Dan ini bagi saya adalah agak tidak relevan. Sama ada ia telah dibincangkan, sama ada ia telah diberikan kesahihan, jawapannya tidak," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bloomberg.

Anwar mengulas laporan bahawa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali atau Mukhriz Mahathir sedang dipertimbangkan sebagai pengganti kepada Dr Mahathir Mohamad.
Azmin yang berselisih pendapat dengan Anwar terpalit dengan skandal video seks yang menunjukkan individu menyerupai dirinya dengan lelaki dalam aksi hubungan sejenis.
Spekulasi bertiup kencang bahawa klip video itu timbul berikutan perebutan jawatan jawatan perdana menteri apabila Mahathir dikatakan cenderung untuk memilih Azmin bagi menggantikan tempatnya.
Bagaimanapun, Mahathir sendiri ketika ditanya mengenai perkara itu pada Julai lalu menegaskan beliau akan berpegang kepada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Sementara itu, pemimpin Umno telah lama menentang sekiranya Mahathir berhasrat melantik anaknya Mukhriz sebagai perdana menteri.
Anwar yakin peralihan kuasa akan berlaku pada tahun 2020, dua tahun selepas Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum 2018.
"Ada satu persefahaman bahawa ia harus berlaku pada masa itu," katanya.

Thursday 12 September 2019

Jual MyKad: 20 termasuk pegawai JPN ditahan



    Polis menahan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) secara penipuan.
    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata suspek yang ditangkap di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu terdiri daripada 17 warga tempatan, dua warga China dan seorang warga India.
    "Kesemua individu berumur antara 32 sehingga 70 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan. Individu-individu ini meliputi ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia 'fraud'," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
    Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk 38 unit telefon bimbit, 34 pasport, lima salinan sijil kelahiran, 58 salinan pasport dan wang tunai.

    Saturday 31 August 2019

    Patriotisme, antirasuah digarap dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019

    Patriotisme, perjuangan, jati diri anak bangsa dan benci rasuah digarapkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.
    Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, acara kemuncak sambutan iaitu perarakan dan perbarisan yang berlangsung di Putrajaya, menampilkan empat komponen bagi mendukung aspirasi itu iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
    Juga istimewa pada sambutan kali ini apabila Yang di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke acara tersebut, yang pertama bagi Seri Paduka mencemar duli ke sambutan hari kebangsaan sejak ditabalkan pada 30 Julai.
    Disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran orang ramai di Dataran Putrajaya serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, kehadiran pengunjung juga diraikan oleh 2,120 pelajar sekolah yang melakukan pergerakan formasi grafik seawal 6.30 pagi.
    BERNAMA

    Saturday 24 August 2019

    Bicara kes 1MDB-Tanore Najib mula Rabu ini

    KES NAJIB | Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak, akan bermula Rabu ini selepas beberapa kali penangguhan.
    Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’, bermula pukul 9.30 pagi, 28 Ogos.
    Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan SRC masih berjalan pada pagi ini dengan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas saksi terakhir.
    "Muhammad Shafee mungkin memerlukan satu setengah jam untuk menyelesaikan pemeriksaan balas manakala pendakwaan pula memerlukan dua jam lagi untuk pemeriksaan semula," katanya dan menambah bahawa pendakwaan memerlukan setengah hari untuk menyelesaikan kes SRC itu.

    Friday 16 August 2019

    Najib kemuka keterangan baru untuk gugur Sri Ram sebagai DPP kes 1MDB



    Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk mengemukakan keterangan baru dalam rayuan mereka untuk menggugurkan bekas akim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes mereka.
    Muhammad Shafee memberitahu tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa mereka telah memfailkan notis usul semalam untuk memohon kebenaran untuk memasukkan surat pelantikan Sri Ram sebagai keterangan baharu dalam rayuan mereka.
    Beliau berkata beliau diberi surat pelantikan Sri Ram pada 9 Ogos tahun ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Ogos yang membenarkan rayuan Najib supaya pihak pendakwaan mengemukakan surat pelantikan Sri Ram kepada pihak pembelaan.
    Pada 7 Ogos lepas, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

    Kenapa kita bergaduh kerana orang asing, soal Rafidah

    Bekas menteri Rafidah Aziz kecewa kerana rakyat Malaysia saling mengecam antara satu sama lain kerana orang asing.
    Dengan situasi dunia yang menurutnya berkemungkinan menuju ke arah kemelesetan ekonomi, Rafidah berkata rakyat Malaysia mesti bersatu dalam menghadapi cabaran.
    "Saya hanya ingin bertanya - mengapa rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri disebabkan orang asing yang kini dicari oleh (pihak berkuasa) negaranya sendiri?" katanya.
    Rafidah berkata demikian sebagai mengulas pertikaian berhubung pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang membuat kenyataan kontroversi dalam programnya di Kelantan minggu lalu.

    Wednesday 3 July 2019

    Undang-undang isytihar harta tak adil, kata Najib

    Bekas perdana menteri Najib Razak meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan usul mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
    Kata Najib, sebagai anggota parlimen, mereka juga mempunyai pendapatan bukan bersumberkan daripada elaun sebagai wakil rakyat semata-mata.
    "Kita (pembangkang) bukan anggota badan eksekutif. Sebagai ahli parlimen, dan kita ada badan-badan lain yang boleh siasat, sekiranya ada apa-apa kesalahan.

    Thursday 4 April 2019

    Gesaan IPCMC bergema lagi selepas kesimpulan inkuiri Suhakam



    Gesaan ke arah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) timbul lagi selepas polis Cawangan Khas (SB) didakwa bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
    Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dan kumpulan bekas penjawat awam G25 berkata Malaysia harus mempunyai badan bebas yang memantau pihak berkuasa dari salah guna kuasa.
    "Semua pasukan polis di negara-negara maju mempunyai sistem seperti itu yang memantau dan memberi pengesahan untuk mendapat keyakinan orang ramai bahawa hal berkaitan salah guna kuasa pasukan itu terjamin," kata kenyataan itu.

    Thursday 21 March 2019

    Tiada Jalan Singkat Untuk Lulus Peperiksaan Kelayakan PJS

                                   Hebatnya mereka yang telah dilantik sebagai 
                                   Pesuruhjaya Sumpah- 
                                   Anda pun BOLEH ,untuk tahu rahsianya
                                   Watssp 0173076458 Remba

    Tuesday 19 March 2019

    Bangga Pelajar-Pelajar ku yang telah dilantik PJS

    Anda semua boleh juga dilantik seperti mereka. Hubungi saya Remba dgn Wtssp 0173076458

    Monday 18 March 2019

    Dr M: Pembunuhan di Christchurch luar batas kemanusiaan

    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kejam pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand dua hari lepas sebagai tindakan di luar batas kemanusiaan.
    Menyifatkan tragedi berkenaan sebagai peristiwa sedih yang mengguris hati umat Islam, beliau berkata dalam keadaan begini, tindakan yang lebih buruk daripada yang dilakukan oleh pengganas itu ialah umat Islam melakukan balas dendam.
    “Perlu kita tanya diri kita apabila kita membalas perbuatan itu, sudah pasti kita tidak akan dapat melakukan kepada pembunuh-pembunuh tersebut kerana mereka telah ditangkap dan menghadapi tindakan undang-undang.
    “Kemungkinan besar apa yang akan berlaku, kita akan membalas terhadap orang yang sama agamanya, bangsanya, asal usulnya dan lain-lain aspek yang boleh kita kait dengan pengganas,” katanya pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 malam ini.
    Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, serta barisan Exco kerajaan negeri.

    Sunday 17 March 2019

    Serangan di NZ: Seorang rakyat Malaysia masih hilang

    Nasib seorang rakyat Malaysia yang hilang selepas serangan pengganas di Christchurch, masih tidak diketahui setakat jam 3 petang tadi.
    Bagaimanapun, menurut Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa.
    “Setakat jam 3 petang, disahkan tiga rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan yang mensasarkan dua masjid di Christchurch semalam. Semua mereka sedang dirawat di hospital.
    “Seorang rakyat Malaysia masih hilang dan usaha untuk mengesannya masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    Tambahnya lagi, kerajaan telah menghantar dua pegawai dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington ke Christchrch bagi membantu mangsa dan keluarga mangsa.
    Sementara itu, timbalan setiausaha agung (Hubungan Multilateral) dari Kementerian Luar Negeri akan turut berangkat ke sana petang ini.
    Saifuddin turut memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, bagi menyampaikan takziah kepada kerajaan dan rakyat New Zealand.

    Wednesday 13 March 2019

    Afidavit salah laku kehakiman: Polis akan panggil 3 hakim

    Polis merancang untuk memanggil tiga hakim - selain individu-individu lain - untuk memberi keterangan berhubung dakwaan hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berhubung salah laku hakim
    Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya mahu menyelesaikan siasatan secepat mungkin.
    "Sebaik sahaja selesai, kertas siasatan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya," katanya seperti dipetik The Star, hari ini.
    Bulan lalu, Hamid membuat afidavit yang mengandungi beberapa dakwaan mengejutkan berkenaan salah laku kehakiman yang dilakukan hakim, antaranya subahat dengan pihak swasta untuk menipu dana awam dan campur tangan dalam perbicaraan.

    Monday 11 March 2019

    Statut Rom, ICC: Perkara yang patut diketahui

    Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.
    Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.
    Apa bidang kuasa ICC?
    Artikel 5 - ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendengar ‘most serious crimes of concern’
    seperti:-
    a) Genocide (penghapusan etnik)
    b) Crimes against humanity (jenayah terhadap kemanusiaan)
    c) War crime (jenayah perang)
    d) Crime of aggression (jenayah pencerobohan)
    Artikel 6, 7, 8 – Setiap empat katagori jenayah antarabangsa diterangkan dengan jelas.
    Artikel 17 - ICC hanya akan terpakai apabila negara pihak tidak berkemahuan atau berkemampuan (unwilling or unable) untuk menyiasat dan mendakwa kes jenayah terkutuk tersebut.
    Adakah kekebalan Yang di-Pertuan Agong terhakis?
    Sungguhpun Malaysia melakukan jenayah terkutuk seperti tertulis di Artikel 5, Yang di-Pertuan Agong tidak akan disentuh oleh ICC kerana:-
    i) Artikel 40, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong adalah seorang Raja Berpelembagaan. Semua tugas-tugasnya di laksanakan atas nasihat perdana menteri / kabinet.
    ii) Artikel 41, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi bagi angkatan tentera persekutuan. Yang di-Pertuan Agong tidak diberi kuasa untuk mengisytihar perang.
    iii) Negara-negara pihak lain yang mempunyai Raja Berperlembagaan: - Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, The Netherlands, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.
    Manfaat Malaysia jadi negara pihak ICC
    i) Penyertaan Malaysia akan meningkatkan lagi martabat negara di kalangan masyarakat dunia sebagai sebuah negara yang komited dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
    ii) Penyertaan Malaysia akan melambangkan kesungguhan negara dalam meningkatkan perpaduan bersama-sama masyarakat antarabangsa dengan membawa pelaku-pelaku jenayah antarabangsa ke muka pengadilan.
    iii) Malaysia kini boleh merujuk kepada pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Rome Statute mengenai jenayah-jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya perlu.
    iv) Malaysia kini boleh bersuara lebih lantang menentang negara-negara yang melakukan penghapusan etnik dan jenayah perang di persidangan tahunan negara-negara pihak.
    v) Malaysia kini layak mencalonkan rakyatnya sebagai hakim, pendakwa dan pendaftar serta jawatan-jawatan lain di pejabat pendakwa dan pejabat pendaftar ICC

    Saturday 9 March 2019

    Hina Islam, Nabi: Individu dipenjara 10 tahun 10 bulan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menfailkan pertuduhan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad, dengan seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara.
    Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
    "Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.
    "Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Friday 8 March 2019

    Najib rayu keputusan mahkamah tinggi tolak permohonan singkir Sri Ram

    Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes beliau melibatkan 1MDB.
    Najib juga membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan sementara perbicaraan yang dijadualkan bermula 15 April hingga 3 Mei ini sementara menunggu rayuannya untuk menggugurkan Sri Ram, seorang peguam terkemuka dan juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, didengar.
    Kedua-dua rayuan difailkan pada Jumaat lalu selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan Najib.
    Dalam pengurusan kes berkenaan di sini hari ini, Pendaftar Mahkamah Rayuan Datuk Norsharidah Awang menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh seterusnya untuk pengurusan kes itu.
    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang mewakili pihak pendakwaan memberitahu pemberita mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes itu disebabkan penghakiman serta rekod rayuan belum siap.
    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib turut hadir pada pengurusan kes itu.
    Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib selepas mendapati tiada bukti untuk menunjukkan Sri Ram akan berat sebelah selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes itu.

    Thursday 7 March 2019

    Peguam tetap kata polis terlibat kehilangan Amri, Koh

          Raymond Koh                                                            Amri Che Mat
     SUHAKAM | Di hari terahkhir inkuiri Suhakam berkenaan kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh hari ini, peguam yang mewakili keluarga mereka bertegas bahawa polis terlibat dalam kedua-dua kes itu.
    Mewakili keluarga Koh, Jerald Gomez membangkitkan beberapa kejanggalan dalam kenyataan polis berkenaan penculikan Koh pada 13 Feb 2017.
    Ia termasuk satu peristiwa tembakan di Kedah pada Jun 2017, yang menurut ketua polis negara pada waktu itu Khalid Abu Bakar berkaitan dengan penculikan paderi itu.
    Kenyataan awal oleh polis Kedah berhubung perkara itu menyatakan suspek yang disyaki penyeludup dadah dan senjata telah dibunuh dan tidak menyebut tentang Koh.
    Gomez berkata "pertentangan" itu menimbulkan keraguan berkenaan kaitan dua perkara itu, dan mempersoalkan sama ad ia digunakan untuk mengalih perhatian terhadap polis.
    Peguam itu juga menyatakan satu lagi perkara yang didakwa sebagai "pengalihan perhatian" itu - pendakwaan Lam Chang Nam atas penculikan Koh sebaik inkuiri mula berjalan, menyebabkan ia digantung buat sementara.
    Lam sebelum ini disyaki mengugut wang daripada keluarga Koh.

    "Lam adalah satu lagi red herring (untuk alihkan perhatian), kerana Khalid...telah membebaskannya daripada sebarang kaitan daripada penculikan.
    "Semua ini memberi kesimpulan bahawa mereka (polis) tidak mahu semua bukti dibangkitkan dalam inkuiri ini.
    "Kami berpandangan satu-satunya sebab mereka tidak mahu kebenaran diketahui adalah kerana mereka sendiri terlibat," kata Gomez.
    Menjawab Gomez, Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri menegaskan bukti mengaitkan insiden tembakan di Kedah dengan penculikan Koh memang telah ditemui.
    Azman bagaimanapun tidak mengulas tentang pendakwaan Lam.
    'Amri dipantau sebelum diculik'
    Dalam kes Amri, peguam keluarga David Morais mendakwa penglibatan polis dapat dilihat selepas mengambil kira rentetan peristiwa.
    "Amri diculik pada 24 Nov 2016.
    "Pantauan di luar rumahnya berjalan selama tiga hari sebelum dia hilang - pada 21, 22 dan 23 Nov," katanya.
    Amri Che Mat
    Morais membangkitkan bagaimana bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman, Ekstremis Sosial Bukit Aman Awaludin Jadid sebelum ini ketika inkuiri memberitahu bahawa polis memantau Amri sebelum kehilangannya, kerana merasakan NGO Amri - Perlis Hope - terlibat dalam kegiatan penyebaran Syiah.
    Awaludin bertemu dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebulan sebelum kehilangan Amri.
    Morais berkata lagi, pada 6 Nov polis telah memberi amaran tentang ancaman oleh pengikut mazhab Syiah.
    Beliau juga bersetuju dengan keterangan isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, yang mengatakan dia diberitahu oleh seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Mohd Shamzaini Mohd Daud bahawa polis terlibat dalam kehilangan suaminya dan juga Koh.
    Sebagai respons, Ketua Jabatan Perundangan Bukit Aman Mokhtar Mohd Nor menegaskan Shamzaini telah menafikan ada berkata demikian dan membuat laporan polis terhadap Norhayati.
    Shamzaini juga membuat penafian sama ketika dipanggil inkuiri untuk memberi keterangan.
    Mokhtar juga berkata beberapa soalan Morais melangkaui apa yang disediakan pasukan perundangan dan bersetuju untuk menghantar jawapan bertulis sebelum 11 Mac ini.

    Wednesday 6 March 2019

    Khazanah rugi: Azmin ingatkan Najib pasal MAS



    Menjawab gesaan pemimpin BN supaya kerajaan PH bertanggungjawab terhadap kerugian Khazanah Nasional, Menteri Hal Ehwal EKonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerugian tersebut berpunca daripada pelaburan yang telah dibuat sebelum PH mengambil alih kuasa.
    "Masalahnya sesetengah ahli politik hari ini, sering kali menteri-menteri yang telah gagal, bercakap dulu dan kemudian baru periksa apa yang telah dikatakan.
    "Akhirnya meludah ke langit, terkena muka sendiri. Ini sebabnya," kata Azmin.
    Secara khususnya, beliau berkata kerugian paling besar Khazanah kerana pelaburannya dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang gagal memperbaiki prestasi syarikat itu.
    "Meskipun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion yang disebabkan olehimpairment (pengurangan nilai aset syarikat) yang meningkat kepada lebih daripada RM7 bilion, tetapi ini berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang telah dibuat sebelum kerajaan baru mengambil alih. 
    "Jika tahu sikit-sikit janganlah berlagak seperti bijak pandai (a little knowledge being dangerous)?
    "Dan rasa apa? Kerugian tunggal paling besar dalam (penyata keuntungan dan kerugian) lebih RM3 bilion adalah di Malaysia Airlines kerana strategi yang dilaksanakan tidak memperbaiki syarikat itu. 
    "Pelaburan yang dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini ke dalam syarikat penerbangan itu sebelum Pakatan Harapan mengambil alih perlu dikurangkan. Bagaimana pula tentang pertimbangan fikiran yang menjadi semakin lemah (impaired)," katanya dalam satu siri ciapan di Twitter malam tadi bagi memberi maklum balas kepada pengkritik kerajaan.

    Sunday 3 March 2019

    Pasangan Kedah nikah di Thailand meningkat

    Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dicatatkan tahun lalu, meningkat 233 kes daripada 566 kes pada 2017.
    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh berkata jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.
    “Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang iaitu kesalahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008 dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.
    “Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lepas, manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran dengan 160 kes poligami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, baru-baru ini.

    Saturday 2 March 2019

    Dr M: Masih nak percaya Raja Petra?

    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan blogger Raja Petra Kamarudin sebagai pembohong.
    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Raja Petra di lamannya Malaysia Today berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek Terowong Dasar Laut dan projek jalan raya di Pulau Pinang.
    "Raja Petra Kamaruddin seorang pembohong. Dia selalu berbohong dan kamu masih lagi mahu mempercayainya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
    Baru-baru ini, beberapa artikel di Malaysia Today menyiarkan apa yang didakwa sebagai kertas siasatan SPRM berkenaan kes itu yang turut mengaitkan beberapa exco negeri itu.
    Menurut laporan Free Malaysia Today 28 Februari lalu, bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata akan menjawab dakwaan itu hari ini.
    Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy pula dipetik berkata beliau sedia mempertahankan diri di mahkamah jika ada bukti beliau terlibat dalam sebarang salah laku berkenaan projek terowong tersebut.

    Tuesday 26 February 2019

    Polis siasat Nazri di bawah Akta Hasutan - IGP

    PRK SEMENYIH | Polis sedang menyiasat Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Abdul Aziz d bawah Akta Hasutan 1948 susulan ucapannya ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Semenyih.
    Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun mengesahkan hal ini.
    "Saya dah cakap tadi kita akan siasat bawah Akta Hasutan dan kita perlu lengkapkan (siasatan) secepat mungkin.
    "Jadi lengkap nanti kita akan hantar ke DPP (Timbalan Pendakwaraya di Pejabat AG) untuk tindakan lanjut ataupun arahan selanjutnya," katanya.
    Fuzi bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan majlis memperingati penubuhan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ke-63 di Cheras hari ini.
    Menurut Fuzi, MP Umno untuk Padang Rengas itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang menyatakan menjadi satu kesalahan untuk mempunyai kecenderungan menghasut dan menyebut apa-apa perkataan menghasut. 
    Jika sabit pertuduhan, pelaku kesalahan pertama boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.