Tuesday 18 June 2013

Mahkamah Rayuan Ketepi Keputusan Bebaskan Yazid, Muhammad Hilmi

PUTRAJAYA: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafetaria Muhammad Hilmi Hasim akan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk berdepan pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
Ini berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin pada Selasa yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan mereka daripada pertuduhan itu.
"Pertuduhan terhadap responden (Yazid dan Muhammad Hilmi) adalah dalam ruang lingkup atau skop Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan," kata Abu Samah.
Beliau berkata pertuduhan terhadap Yazid dan Muhammad Hilmi tidak merujuk kepada aktiviti keganasan di luar Malaysia.
Abu Samah berkata peguam tertuduh iaitu Amer Hamzah Arshad juga mengakui bahawa kesalahan itu dilakukan di Malaysia, dan ancaman terhadap keselamatan negara boleh datang sama ada dari dalam atau luar negara.
"Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam menyalahtafsirkan pertuduhan terhadap responden," katanya.
Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, juga memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar oleh hakim lain.
Mahkamah turut mengarahkan kes itu disebut di Mahkamah Tinggi Isnin depan (24 Jun).
Abu Samah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria untuk menahan reman kedua-dua tertuduh di Penjara Sungai Buloh.
Beliau turut mengeluarkan perintah menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi yang dipohon Amer Hamzah sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan pada Selasa.
Panel itu turut membenarkan permohonan Amer Hamzah agar anggota keluarga serta beliau diberi akses untuk berkomunikasi dengan kedua-dua tertuduh selama 15 hingga 20 minit berkaitan keputusan mahkamah hari ini dan bagi mendapatkan arahan untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Amer Hamzah memaklumkan mahkamah beliau tidak dapat bertemu Yazid dan Muhammad Hilmi.
Abu Samah juga menetapkan 5 Ogos sebagai sebutan bagi kes seorang ustazah Halimah Hussein, yang turut dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan bersubahat dengan Yazid menggalakkan aktiviti keganasan di Syria.
Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita itu pada 31 Mei lepas kerana gagal hadir ke mahkamah.
Pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas serta membebaskan Yazid, Muhammad Hilmi dan Halimah selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
Dalam penghakimannya, Hakim Kamardin Hashim memutuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) tidak boleh dipakai terhadap ketiga-tiga tertuduh kerana ia adalah ultra vires terhadap Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata pertuduhan adalah berkaitan dengan keganasan yang berlaku di Syria dan oleh itu, ia tidak tertakluk dalam ruang lingkup atau skop pemakaian di bawah Perkara 149, dan Sosma tidak boleh dipakai sebagai prosedur untuk membuktikan pertuduhan terhadap Yazid, 49, Muhammad Hilmi, 33, dan Halimah, 52.
Yazid, seorang pengusaha kafetaria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, didakwa memajukan satu ideologi bertujuan menghasut orang ramai di Syria agar melakukan keganasan manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 1 Ogos dan 20 Oktober 20 tahun lepas.
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Act 574) manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, DPP Hanafiah berhujah Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang ketika membebaskan Yazid dan Muhammad Hilmi.
Beliau berkata adalah mandatori untuk mengguna pakai prosedur di bawah Sosma yang merupakan satu undang-undang prosedur spesifik digubal bagi menangani kesalahan keselamatan.
Amer Hamzah bagaimanapun berkata pendakwaan harus mengguna pakai Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi membuktikan kesnya dan tidak bergantung kepada Sosma yang sangat terhad. - BERNAMA