Thursday, 2 January 2014

Mahkamah Batal Saman Lelaki Warga Bosnia Berhubung Penggunaan Sperma

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita berjaya membatalkan saman yang difail bekas teman lelakinya, yang merupakan warga Bosnia, berhubung dakwaan penggunaan sperma bagi menghasilkan anak baka Eropah.
Hakim Mahkamah Sesyen Timothy Finlayson Joel membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan Chung Shun Yee untuk membatalkan saman Ervin Ahbabovic.
Chung diwakili peguam James Ee Kah manakala peguam Nasser Yusof mewakili Ahbabovic.
Mahkamah turut memerintahkan Ahbabovic membayar kos RM6,500 kepada bekas teman wanitanya itu selain menolak tuntutan balas yang difail Chung.
Dalam penghakiman bertulis, Timothy berkata tuntutan Ahbabovic tidak berasas dan tiada kenyataan persetujuan yang nyata bahawa bekas teman wanitanya terikat untuk membayar atau membeli sperma plaintif atau bersetuju membayar sperma itu apabila mereka melakukan persetubuhan.
"Tiada pembelian sperma ataupun kontrak dinyatakan dalam afidavit dan kenyataan tuntutan itu adalah tidak berasas kerana apa yang berlaku di sini adalah mereka cuma bersekedudukan sebagai pasangan dan menikmati perhubungan seksual atas persetujuan bersama," katanya.
Beliau berkata kenyataan Ahbabovic berkaitan nafsu seksual Chung adalah keterlaluan kerana tiada asas untuk plaintif mendedahkannya kerana perhubungan mereka adalah bersifat peribadi.
"Jika tuntutan sebegini diterima mahkamah, keadaan kebanjiran kes seumpamanya akan wujud dan ia adalah satu kes yang bertentangan dengan polisi awam," katanya.
Menyentuh isu agar nama Ahbabovic diletak sebagai nama bapa dalam sijil lahir, Timothy berkata mahkamah mendapati tiada perkahwinan dalam kes ini dan anak yang dilahirkan adalah di luar nikah.
Pada 3 Sept lepas, Ahbabovic, 41, memfailkan saman terhadap Chung, 29, menuntut ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa diperguna bagi mendapatkan spermanya untuk menghasilkan anak baka Eropah.
Dalam penyataan tuntutannya, Ahbabovic, pengarah komersial dalam industri pembangunan perniagaan di sebuah syarikat, mendakwa beliau mula menjalin hubungan dengan Chung pada 2008 dan hasil perhubungan itu, mereka memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun lebih.
Lelaki itu mendakwa Chung telah menghalaunya keluar dari rumah serta menghalang beliau daripada melihat anaknya, dan selepas itu, dia ada menghubungi wanita berkenaan untuk berbaik semula demi kepentingan anak mereka.
Beliau mendakwa niatnya itu dibalas dengan kata-kata yang mengejutkan apabila Chung menyatakan bahawa plaintif sebenarnya diperguna sebagai alat pemuas seks selain bagi mendapatkan sperma miliknya yang membolehkan defendan memperoleh anak genetik orang Eropah.
Ahbabovic menuntut ganti rugi itu kerana penggunaan spermanya dalam usaha mendapatkan anak dengan cara yang salah, dan memohon agar beliau disah dan didaftar sebagai bapa di dalam sijil kelahiran anak lelakinya, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Chung dalam penyataan pembelaan yang difailkan 30 Sept lepas, mendakwa Ahbabovic beberapa kali mengugut mahu membunuhnya jika dia tidak mengikut arahan lelaki itu.
Chung mendakwa Ahbabovic turut mengugut untuk mendedahkan gambar serta video peribadi yang diambil tanpa disedarinya kepada rakan dan memusnahkan kerjaya beliau sebagai ahli perniagaan.
Wanita itu menfailkan tuntutan balas menuntut ganti rugi kehilangan perniagaan sebanyak RM200,000, wang pampasan RM120,000, ganti rugi am, teladan dan ganti rugi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Nasser memaklumkan pemberita anak guamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Bekas Sultanah Johor Fail Permohonan Ketepi Cerai Bekas Sultan

Peguam Syariah, Kamar Ainiah Kamaruzaman (kiri), melihat dokumen afidavid bersama anak-anak bekas Sultanah Johor, Tuanku Zanariah Tunku Ahmad iaitu Tunku Masera (dua dari kiri), Tunku Noraini (tiga dari kiri) dan Tunku Muna di luar Mahkamah SYariah Johor Baru di sini. foto TheStar ABDUL RAHMAN EMBONG
JOHOR BARU: Bekas Sultanah Johor, Tuanku Zanariah Tunku Ahmad pada Rabu memfailkan permohonan ke Mahkamah Syariah di sini bagi mengenapikan perintah sebelum ini bahawa bekas suaminya Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail telah menceraikannya.
Menerusi afidavid permohonannya itu, Tuanku Zanariah berkata keputusan mahkamah bahawa beliau diceraikan pada 23 Januari 2009 adalah tidak sah.
Tuanku Zanariah selaku pemohon memfailkan afidavidnya melalui firma guaman, Tetuan Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi di sini.
Beliau diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman.
Kamar Ainiah Kamaruzaman
Menurut Tuanku Zanariah, Sultan Iskandar tidak pernah membuat permohonan cerai ke atasnya sehingga bekas sultan itu mangkat pada 22 Januari 2010.
Bagaimanapun menurut Tuanku Zanariah, beliau hanya dimaklumkan telah diceraikan oleh Sultan Iskandar menerusi surat yang dihantar Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Syamsuddin pada 22 Ogos 2013.
"Saya menerima tiga dokumen berkaitan diri saya yang sungguh mengaibkan iaitu surat Menteri Besar Johor bertarikh 9 Disember 2010 yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah bersidang pada 6 Ogos 2010 untuk mengesahkan lafaz tiga talak Almarhum.
"Saya juga menerima Perintah dan Penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Johor Baru bertarikh 30 September 2010 yang memutuskan bahawa Almarhum telah menceraikan saya dengan talak tiga dan oleh itu lafaz rujuk Almarhum adalah tidak sah.
"selain itu saya menerima Sijil Perceraian bertarikh 8 Oktober 2010 yang mendakwa bahawa Almarhum dan saya telah bercerai pada 23 Januari 2009 dengan dua talak yang berjumlah tiga talak," katanya menerusi afidavid tersebut.
Selain itu menurut Tuanku Zanariah, kes saman asal ke atasnya berhubung perceraiannya itu bertarikh 30 September 2010 adalah salah, cacat, defektif dan tidak sah.
"Saya mengatakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah telah berlaku apabila mahkamah yang menyiasat kes ini bertindak di atas laporan 'plaintif' sedangkan plaintif telah lama meninggal dunia.
"Selain ianya tidak mematuhi kehendak undang-undang terutamanya bahawa seseorang yang telah meninggal sejak 22 Januari 2010 tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memulakan sebarang prosiding di mana-mana mahkamah kecuali bagi prosiding yang dibuat oleh wasi atau pentadbir bagi harta pusaka Almarhum," katanya.
Selain itu tegas Tuaku Zanariah, semasa Sultan Iskandar masih hidup, baginda tidak pernah memfailkan apa-apa prosiding permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Negeri Johor dan Almarhum juga tidak pernah bertitah atau mewakilkan kepada sesiapapun untuk bertindak bagi pihak baginda dalam mana-mana prosiding perceraian di Mahkamah.