Saturday, 14 March 2015

Majlis Peguam tarik balik usul kelakuan Shafee



Majlis Peguam menarik balik usul untuk membincangkan kelakuan peguam veteran Tan Sri Shafee Abdullah daripada dibincangkan dalam perhimpunan tahunannya hari ini.

“Kami diberikan injunksi (mahkamah), kami terikat dengannya.

“Usul itu tidak akan dibentangkan,” kata Presiden Majlis Peguam Christopher Leong kepada Malaysiakini sebelum perhimpunan agung tahunan (AGM) badan itu di Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad semalam membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya atau ejen mereka membenarkan usul itu dikemuka, dibincang atau diluluskan semasa AGM.

Injuksi juga melibatkan larangan daripada membincangkan perkara berkaitan kelakuan Shafee dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Shafee dilantik sebagai peguam utama dalam kes Liwat II melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Tekanan darah Anwar rendah, berat turun 3kg'



Keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh membimbangkan selepas tekanan darahnya menurun ketara sejak dipenjarakan, dakwa anaknya keduanya Nurul Nuha.

Nuha (kanan) menjelaskan, bacaan tekanan darah Anwar, 67, kini  87-50.

Bacaan normal tekanan darah orang dewasa sepatutnya antata 120-80 kepada 140-90.

Beliau juga berkata bapanya hilang berat badan 3kg selepas dipenjara kira-kira sebulan.

“Kami sangat bimbang ekoran kesihatannya,” katanya kepada Malaysiakini selepas lawatan kedua ke penjara semalam.

Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Usul kecam presiden Majlis Peguam gagal



Usul untuk mengecam Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dalam perhimpunan agung tahunan (AGM) badan itu oleh sekumpulan peguam 100 peguam, yang digelar G100, gagal.

Usaha itu hanya disokong oleh 161 peguam berbanding jumlah besar 1,194 yang menentangnya.

Usul itu bertujuan menggesa Leong menarik balik kenyataannya dan meminta maaf berhubung ulasannya terhadap sabitan kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbahasan usul itu mengambil masa kira-kira 2 jam, termasuk penjelasan Leong sendiri.

Seorang peguam yang enggan namanya disebut berkata Leong tegas enggan memohon maaf.

“Leong berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap salah faham pengkritiknya.

“Kenyataannya tidak pernah menyerang kehakiman seperti apa difikirkan oleh G100,” katanya.

AGM Majlis Peguam berlangsung tertutup dan hanya untuk peguam sahaja.

Kira-kira 100 peguam pada 21 Februari mendesak Leong menarik balik kenyataan dan memohon maaf terbuka berhubung sabitan kes Liwat II.

Rungutan ahli-ahli berkenaan berhubung kenyataan Leong bertarikh 11 Februari, sehari selepas Anwar disabitkan.

Leong, dalam kenyataan itu berkata Anwar "dianiaya" dan bukannya "didakwa".