Wednesday, 10 September 2014

Abu Backer Sidek Didakwa Kerana Kenyataan Provokasi


Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 10:13 PM
Abu Backer Sidek
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohd Zain didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan berunsur provokasi.

Abu Backer Sidek, 46, yang hadir di mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 12 Mei kira-kira pukul 10.20 pagi di ruang legar Dewan Sri Pinang, Abu Backer Sidek dengan niat menimbulkan kemarahan D Alappah apabila berkata "India pariah, Melayu bangsat dan Cina....Saya pernah dengar perkataan Cina apa tu tapi sudah lupa," walaupun dia tahu kata-katanya itu boleh menggugat keharmonian awam.

Jika bersabit kesalahan, Abu Backer Sidek boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah Batal Rayuan Aktivis Politik Bersabit Tuduhan Menghasut


Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 6:07 PM
Haris Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa membatalkan rayuan yang dikemukakan aktivis politik, Haris Ibrahim bersabit dengan tuduhan menghasut.

Panel tiga anggota yang diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata, Haris tidak boleh membawa perkara itu untuk rayuan ke Mahkamah Rayuan kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukan bersifat muktamad.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi, membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim bahawa Mahkamah Rayuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana ia tidak boleh dirayu.

Bayi Perempuan Baru Lahir Ditinggalkan Dalam Tandas


Diterbitkan: Rabu, 10 September 2014 8:41 AM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan ditinggalkan di atas siling tandas di sebuah hospital di sini, Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Supt Idris Ab Rafar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden berkenaan dari pihak hospital pada pukul 7 pagi.  
"Bayi perempuan yang dilahirkan tidak sampai 24 jam itu ditemui tukang cuci tandas yang melakukan kerja-kerja pembersihan dalam tandas berkenaan selepas terdengar tangisan bayi.  
"Bayi itu ditinggalkan dalam kesejukan di atas siling tandas berkenaan," katanya ketika dihubungi.   
Idris berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya
jika sabit kesalahan.

Ibu Empat Anak Terkejut Dinding Rumah Dipenuhi Kesan Tembakan


Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 9:32 AM
  (Ubah saiz teks)
KEPALA BATAS: Seorang ibu dan empat orang anaknya terkejut apabila mendapati pintu pagar dan dinding rumahnya dipenuhi kesan tembakan.

Pihak polis berkata, jiran mangsa yang berusia 48 tahun terdengar bunyi bising di luar rumahnya di Taman Seri Bertam pada pukul 3 pagi Isnin.

Apabila dia keluar dari rumahnya, dia melihat sebuah kereta meluncur laju meninggalkan kawasan itu.

Dia seterusnya menelefon jirannya (rumah mangsa), yang sedang tidur ketika kejadian tembak itu berlaku.