Tuesday, 23 December 2014

Fenomena 'Full Moon', Monsun Timur Laut Cetus Banjir Luar Biasa


Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 9:59 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Fenomena 'full moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.

Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'full moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pembantu Rumah Warga Thailand Ke Tali Gantung Edar Methamphetamine


Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2014 2:21 PM
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Thailand dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2.81kg, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada Mac tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Miss Duangchit Khonthokhonbari, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut mendapati pembelaan wanita itu lebih bersifat penafian semata-mata.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Pemeriksaan, Balai Ketibaan KLIA, kira-kira 9 pagi pada 6 Mac tahun lepas.

Sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amin Johari manakala tertuduh diwakili peguam Chong Joo Tian.

Operasi Mencari dan Menyelamat Tujuh Mangsa Gunung Noring Diteruskan


Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 6:06 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Pasukan penyelamat hari ini meneruskan operasi mencari dan menyelamat tujuh pemandu pelancong - lima lelaki dan dua wanita - yang terperangkap di Gunung Noring dalam Taman Negeri Gunung Stong, Kuala Krai.

Pasukan 52 orang itu dianggotai Polis Diraja Malaysia, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm), Unit Multi Skill Team (MUSTeam), Bomba dan Penyelamat Jeli dan penduduk kampung.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Abdullah Mamat berkata pasukan penyelamat bergerak dalam kumpulan kecil sejak 9 pagi dan sedang memantau kawasan-kawasan yang terlibat.

"Sehingga kini belum ada sebarang maklumat terkini mengenai pencarian itu dan kita akan teruskan operasi sehingga semua mangsa yang terperangkap ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.