Wednesday, 18 March 2015

Proses Lahir Hingga Masuk Kubur Dikenakan GST - Sindir Pembangkang


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 1:59 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang dinasihatkan supaya ‘tidak mati’ kerana bimbang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April depan.
Gara-gara membangkitkan kos yang perlu ditanggung jika seseorang itu meninggal dunia termasuk upah untuk menggali kubur, G Manivanan (PKR-Kapar) dicadangkan supaya ‘tidak mati’ buat masa ini.
"Tuan speaker, saya cadangkan supaya YB (Kapar) jangan mati. Sebab kalau nak mati pun banyak kos, jadi kalau boleh jangan mati,” kata Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) ketika mencelah perbahasan Manivanan.
Cadangan Fauzi itu mengundang gelak ketawa wakil rakyat dan kumpulan pemerhati pada sesi persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Terdahulu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, Manivanan menyatakan pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada rakyat sejak bayi hingga seseorang itu meninggal dunia.
"GST akan dikenakan sejak dalam proses kelahiran, alam kanak-kanak, zaman persekolahan, ketika merentasi alam remaja, alam pendidikan tinggi, dunia pekerjaan, ketika meringkuk menunggu hari-hari terakhir dan ketika mahu masuk lubang kubur.
"Setiap peringkat ada GST. Jadi saya sarankan supaya tidak laksanakan GST,” katanya.
Mendengar hujah Manivanan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohd Said turut mencelah bertanya sama ada lubang kubur akan dikenakan GST.
"Keranda tuan Speaker. Kalau (orang) India (meninggal) lagi teruk (kos tinggi). Bunga malai...semua GST,” katanya.

Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) Hanya Terpakai Pada Orang Islam


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 2:30 PM
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, Rabu.- fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai hudud, dibentangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Rabu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan kelak.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu iaitu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

"Berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.

Ahmad berkata rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah (II) dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Anwar Fail Semakan Kehakiman Untuk Hadir Sidang Parlimen


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 12:53 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kommisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang akan berakhir 9 April ini.

Anwar, 67, memfailkan permohonan itu pada Rabu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Daim  and  Gamany.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kommisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang Di-pertuan Agong masih belum diputuskan.

Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.