Friday, 5 September 2014

Rayuan Kerani Wanita Buang Perkataan Islam Dalam Kad Pengenalan Ditolak


Diterbitkan: Rabu, 3 September 2014 9:27 PM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang kerani wanita untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menolak permohonan beliau untuk menukar nama serta membuang perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Linton Albert memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang tepat apabila menolak semakan kehakiman Noraini Soon Mohamed Ivan Soon yang difailkan bagi memohon perintah certiorari untuk tujuan itu.

"Kami mencapai keputusan sebulat suara. Rayuan ditolak. Tiada keraguan perayu (Noraini) adalah seorang Islam dan kami (Mahkamah Rayuan) terikat dengan keputusan kes Lina Joy," katanya yang tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Pecah Amanah: Peguam Hartanah Dipenjara Enam Tahun


Diterbitkan: Rabu, 3 September 2014 9:27 PM
Herlina Khamisiah dikenakan hukuman penjara enam tahun akibat kesalahan pecah amanah.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang peguam hartanah dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM418,500, dua tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlina Khamisiah Sauli, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap, Selasa.

Herlina Khamisiah, yang ketika itu sebagai peguam di Firma Guaman Messrs Herlina & Co didakwa melakukan pecah amanah terhadap baki wang hasil jualan rumah milik seorang pesara tentera, Wan Mohd Husain Wan Ibrahim, yang berjumlah RM418,500 dengan tidak menyerahkan wang itu, sebaliknya menggunakan untuk kegunaan firma guamannya.

207 Akaun RM6 Juta Dibeku, 10 Kereta Mewah Disita - SPRM


Diterbitkan: Khamis, 4 September 2014 5:42 PM
Antara kenderaan mewah milik suspek yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan arak yang disita SPRM.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM6 juta wang simpanan dalam 207 akaun milik 24 individu yang disyaki dalang kegiatan sindiket penyeludupan rokok dan arak dibekukan serta merta.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM4 juta milik 12 pegawai Jabatan kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang pengarah Kastam negeri, manakala selebihnya dikesan dalam akaun pemilik syarikat yang juga anggota sindiket yang terbabit dalam transaksi rasuah untuk mengelak membayar cukai.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, selain membekukan akaun dalang kegiatan itu, harta mereka turut disita.

Love Scam: 1,750 Mangsa Ditipu, Rugi RM68 Juta


Diterbitkan: Jumaat, 5 September 2014 12:28 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seramai 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket penipuan Internet atau 'love scam' sejak Januari 2013 hingga Ogos tahun ini, yang membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM68 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,205 mangsa adalah wanita manakala bakinya ialah lelaki (545 orang).

"Berdasarkan laporan yang diterima polis, sejumlah 1,095 mangsa pada tahun lepas mencatatkan jumlah kerugian RM35.6 juta manakala setakat Ogos tahun ini, sejumlah 655 individu menjadi mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM32 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kompleks Kerajaan, Bukit Perdana di sini, Khamis.

Walaupun jumlah mangsa menurun, nilai kerugian mencatat peningkatan dan ini amat membimbangkan terutama kepada golongan wanita, katanya.