Tuesday 23 February 2016

Rafizi ikrar dedah rugi besar tiga lagi pelaburan Tabung Haji


 MALAYSIAKINI       
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan terus mendedahkan tiga lagi pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada minggu ini.
Katanya, sidang akhbar mengenai tiga lagi pelaburan Tabung Haji itu akan dibuat pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.
Melalui satu kenyataan akhbar, beliau juga terus mendesak Datuk Seri Azeez Abdul Rahim meletak jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu badan kewangan itu dipolitikkan.
“Sebagai Ahli Parlimen yang selalu memberi perhatian kepada kedudukan kewangan institusi milik kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menyemak kedudukan kewangan dan pelaburan besar Tabung Haji.
“Apatah lagi rekod Datuk Seri Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi bukanlah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rafizi merujuk kepada kenyataan Azeez dalam laporanBernama, Sabtu lalu supaya pihak tertentu tidak mempolitikkan Tabung Haji dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah.

Friday 19 February 2016

NGO, parti politik minta Amerika bantu bebaskan Anwar


MALAYSIAKINI Anne Muhammad            
Kedutaan AS menerima memorandum daripada gabungan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk dihantar kepada lima anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meminta bantuan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara.
Memorandum itu diterima oleh wakil Duta AS di Kuala Lumpur hari ini setelah menerima kunjungan 12 wakil gabungan berkenaan.
Seorang daripada mereka ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.
Ketika dihubungiMalaysiakiniSaari berkata, mereka mengadakan berbincang panjang berkaitan pembebasan Anwar dan hak perubatan bekas ketua pembangkang di parlimen itu.

WSJ sangkal alasan derma dari Arab versi Peguam Negara


 MALAYSIAKINI       
Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) menafikan dakwaan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali bahawa wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan ‘derma’ daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Editor kewangannya, Ken Brown berkata demikian ketika ditemu bual oleh rangkaian televisyen ABC News Australia pada 12 Februari lalu.
"Laporan kami telah berbulan-bulan menunjukkan bahawa wang itu bukannya dari Arab Saudi, tetapi melalui sekumpulan syarikat dan akaun-akaun bank yang berkaitan dengan 1MDB.
"Dan awak juga tahu, sehingga kini, laporan kami belum dipersoalkan lagi dan kami mempunyai banyak bukti untuk menyokongnya," katanya kepada wartawan ABC, Beverley O'Connor
Brown yang juga adalah Ketua Biro Hong Kong WSJ, mengulangi pendirian akhbar itu bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib memang berasal daripada 1MDB.
Mengulas cadangan Apandi baru-baru ini untuk meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara, Brown percaya tindakan itu adalah berkaitan dengan cubaan oleh kerajaan Malaysia untuk menutup segala skandal itu.
"Ini tidak mengejutkan dan ia dibuat selepas cubaan oleh kerajaan untuk mengatakan wang yang dimasukkan ke akaun bank perdana menteri adalah dari Arab Saudi.
“Hakikatnya, tiada siapa yang mempercayainya, mereka dibidas teruk kerana berbuat demikian.
Jadi sekarang mereka tampil dan berkata semua orang tidak boleh bercakap mengenainya," katanya.

Tuesday 2 February 2016

Bekas menteri mohon semakan kehakiman terhadap AG

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak meneruskan prosiding ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan medianya hari ini Zaid berkata: "Saya memohon Mahkamah Tinggi untuk memberi kebenaran berdasarkan semakan kehakiman kepada perkara berikut:
"Keputusan peguam negara tidak mendakwa Najib di bawah peruntukan sesuai Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; dan
"Keputusan peguam negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail siasatan terhadap kemungkinan berlaku kesalahan oleh Najib."
Menurut bekas pemimpin Umno itu, asas substantif bagi permohonannya itu adalah tindakan AG dibuat tanpa sebab dan merupakan satu usaha yang wajar mengikut budi bicara.
Kata Zaid beliau terpaksa mengambil tindakan itu atas dua sebab.
"Saya berhak berasa bimbang mengenai kesan buruk terhadap kedaulatan undang-undang negara ini jika keputusan seorang individu tidak boleh dipertikaikan tanpa mengambil kira fakta serta akibat sesuatu kes.
"Setakat yang saya tahu tiada undang-undang mengikut konsep budi bicara mutlak.
"Tanggapan budi tidak terbatas itu sebenarnya bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, dan atas sebab ini saya terpaksa bertindak," katanya.

Peguam: Tiada bukti baju BERSIH jejas ketenteraman awam


Tiada bukti baju BERSIH boleh menyebabkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, kata peguam Edmund Bon.
Peguam BERSIH itu berkata demikian dalam penghujahan untuk semakan kehakiman untuk mencabar pengharaman baju kuning BERSIH sebelum ini.
“Tiada orang yang waras akan kata begitu,” katanya, mengulas larangan Kementerian Dalam Negeri pada 27 Disember lalu, dua hari sebelum perhimpunan besar BERSIH.
Memetik afidavit Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, yang menyebut perhimpunan BERSIH tidak mendapat kebenaran diadakan, Bon (gambar) berkata perkara itu hal yang berlainan.
Katanya, perhimpunan itu mematuhi Akta Perhimpunan Aman yang hanya meletakkan syarat memberitahu polis dan “tidak perlu meminta kebenaran”.
Bercakap di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, beliau menimbulkan larangan yang dibuat pada 27 Ogos itu, sedangkan perhimpunan sebenar berlangsung dua hari selepas itu.
“Jadi adakah wajar untuk kata kemeja T boleh ganggu ketenteraman awam? Harus ada lebih bukti daripada itu,” katanya.