Wednesday, 18 February 2015

Bukit Aman Kerjasama Dengan SKMM Kesan Lelaki Bertopeng Dalam Video 'Ala IS'


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 9:00 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan empat lelaki bertopeng di dalam video yang mengancam untuk 'meletupkan' mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh  berkata polis telah melancarkan siasatan ke atas video itu yang dikatakan mempunyai bentuk ancaman seperti kumpulan pengganas negara Islam (IS).

"Dalang akan dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes itu telah diklasifikasikan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan (percubaan untuk menjalankan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata Bukit Aman akan menilai keadaan selanjutnya dan membuat 'persiapan keselamatan yang sesuai'.