Thursday, 7 November 2013

Bunuh: Mahkamah Kekalkan Sabitan, Hukuman Mati Pasangan Kekasih

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang wanita dan teman lelakinya kerana membunuh pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Juliana Md Fuzi, enam tahun lepas.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan terakhir Noralina Ahmad Dasuki, 26 dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 31, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada 14 Julai 2009, Noralina, bekas pelajar Pusat Pengurusan dan Teknologi Lanjutan di Shah Alam, dan Muhammad Khairul, bekas pekerja Astro, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pasangan itu didakwa membunuh Juliana, 20, di sebuah unit Pangsapuri Sunrise, Wisma Indah, Jalan Tun Razak di sini antara pukul 10 malam 23 Mac 2007, dan pukul 8 malam hari berikutnya.
"Kami sebulat suara mendapati bahawa terdapat bukti kukuh untuk menyokong sabitan mereka," kata Arifin yang bersidang bersama-sama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali.
Pada 30 April 2012, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka.
Dalam kejadian itu, Juliana yang merupakan pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Perniagaan kolej berkenaan ditemui mati dijerut menggunakan wayar.
Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur Deo manakala Muhammad Khairul oleh peguam Geethan Ram Vincent.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Noraini Mohamed Noor bertindak untuk pihak pendakwaan. - BERNAMA

Amuk Di Stesen LRT: Pemandu Van Didakwa Bunuh Dua Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis terhadap pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian amuk di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati di sini, dua minggu lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Zamri Yusof, 26, didakwa membunuh penjual peralatan tulis, Lee Kah Ghee, 44 di hadapan stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju di sini, antara kira-kira pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari, 24 Oktober lalu.
Muhammad Zamri juga didakwa membunuh seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P 24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju di sini, pada waktu dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.Tertuduh yang kelihatan tenang mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.Majistret turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian itu, media melaporkan kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh tertuduh yang dipercayai penuntut ekstrem ajaran sesat. - BERNAMA

Bekas Banduan Bunuh Isteri Didakwa

Bekas banduan, M. Pugumeswaran, 35, (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, atas tuduhan membunuh isterinya K. Murugammal, 36, bulan lepas. Dia yang baru dibebaskan dari penjara 12 Oktober lalu, menikam isteri selepas menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain di Ladang Bukit Darah Kundang, Sungai Buloh, 27 Oktober lepas. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bulan lepas, pada Rabu dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang di sini atas tuduhan membunuh isterinya.
M. Pugumeswaran, 35, didakwa membunuh K. Murugammal, 36, di rumah mereka di Ladang Bukit Darah, Sungai Buloh di sini pada 9.20 malam 27 Oktober lepas.
Kelindan lori itu hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 Disember untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat.
Pada 27 Oktober lepas, wanita itu ditemui mati dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan di hadapan rumah jirannya yang terletak selang tiga rumah dari rumahnya.
Pugumeswaran dibebaskan pada 12 Oktober lepas selepas dipenjara lima bulan 10 hari kerana menyebabkan kecederaan terhadap isterinya. - BERNAMA