Wednesday 24 December 2014

Air Sungai Kelantan Melimpah, Kota Baharu Sesak


Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 1:31 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Tinjauan di sekitar Jalan Post Office Lama dan Pasar Kubang Pasu mendapati air mula melimpah ke jalan raya dan pemilik premis perniagaan turut menutup operasi.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini setakat pukul 10 pagi ini telah melepasi paras bahaya iaitu pada paras 5.91 meter (paras bahaya 5 meter).
Bandar ini pernah dilanda banjir besar pada 2004 sehingga melumpuhkan seluruh bandar tersebut, dan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.
Sementara itu, peniaga peralatan elektrik Leong Khoon Seng, 52, berkata pada banjir 2004, beliau mengalami kerugian besar apabila sebahagian besar alatan elektrik musnah.
"Masa itu air naik pada waktu malam dan saya tidak sempat menyelamatkan peralatan elektrik di kedai saya ini," katanya.
Leong berkata untuk tidak mahu menanggung risiko seperti dahulu, kali ini beliau melakukan persiapan lebih awal bagi mengelakkan peralatan elektriknya terjejas.

Buruh Binaan Didakwa Jadi Anggota Kumpulan Militan IS


Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 1:26 PM
  (Ubah saiz teks)
SEPANG: Seorang buruh binaan pada Rabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Islamic State (IS) sejak Disember 2013 hingga April lalu.
Muhammad Kasyfullah Kasim, 36, didakwa di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Rozaidi Yaacob dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Dia yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Muhammad Kasyfullah didakwa memasuki Syria dengan menaiki pesawat melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini untuk memberi sokongan dengan menjadi ahli kumpulan IS.
Sementara bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan melibatkan penggunaan senjata api untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi bagi menggugat orang awam di Syria.
Pertuduhan pertama dan pilihan itu didakwa dilakukan antara 28 Dis 2013 hingga 7 April lalu.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup

Sarjan Polis Maut Dilanggar Kenderaan Lain


Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 1:57 PM
  (Ubah saiz teks)
REMBAU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan maut dalam kemalangan di Km 223.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara di sini pagi Rabu.
Jurucakap polis berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi.
Katanya mangsa dikenali sebagai Othman Mohd Yassin, 54, yang bertugas di Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan yang meninggal di tempat kejadian.
Mangsa yang menunggang motosikal dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan lain.
Sementara itu dalam satu lagi kemalangan, seorang warga emas maut dalam kemalangan di Km 225, Lebuhraya Utara-Selatan ke arah utara, juga di sini malam Selasa.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.25 malam ketika Pok Sok Chin, 62, seorang daripada penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna dalam perjalanan dari Johor menuju Seremban.
Kenderaaan itu dilapor terbabas dan terbalik ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif mengesahkan kedua-dua kemalangan berkenaan.