Wednesday 29 January 2014

Sebutan Semula Kes Tuhan Harun Ditetapkan 27 Februari

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan di sini menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat bersama tiga pengikutnya yang dituduh membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abd Malek.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Khamizah Salleh mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk membicarakan serentak kes bunuh dan bersubahat membunuh.
Peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili kesemua tertuduh iaitu Harun, 47, isterinya, Azida Mohd Zol, 30, serta pengikutnya, Sumustapha Suradi, 39, dan Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada pihaknya bagi memudahkan persiapan kes pembelaan.
Pada 16 Disember tahun lepas, Sumustapha, berasal dari Sabah mengaku tidak bersalah membunuh Ahmad Raffli, 49, di hadapan rumah mangsa di Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota di sini pukul 1.50 tengah hari 10 Nov lepas bersama dua lagi yang masih bebas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Harun, Azida dan Shaizral Eddie Nizam juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas, bersetuju melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada waktu dan tempat yang sama yang bertentangan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120B (1) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Dengar Rayuan Kedua Anwar Ketepikan Shafee 11 Februari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 11 Februari rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau untuk mengetepikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Izzudin Mohamad menetapkan tarikh baharu itu di dalam kamarnya hari ini apabila perkara berkenaan dibawa kepadanya bagi tujuan pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata sebelum ini, rayuan itu ditetapkan untuk didengar hari ini, tetapi terpaksa ditunda kerana tarikhnya tidak sesuai dengan peguam Tommy Thomas yang mewakili Anwar.
Katanya berikutan itu, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran.Peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor hadir bagi pihak Anwar pada prosiding pengurusan kes itu.
Pada 20 Disember tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar dan memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang.
Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan liwat dengan menggunakan maklumat daripada perisytiharan berkanun yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim untuk menyokong permohonannya.
Permohonan pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas, dan berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, tetapi turut ditolak.
Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominimum Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pelantikan Muhammad Shafee, seorang peguam terkenal, dibuat melalui kuasa Peguam Negara mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Aturcara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 12 dan 13 Februari untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan itu. - BERNAMA

Tuesday 28 January 2014

Komando VAT69 Terpaksa Balas Tembakan Penceroboh

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin diberitahu bahawa pasukan Komando VAT69, yang ditugaskan untuk melaksanakan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas, terpaksa membalas tembakan penceroboh setelah mereka terlebih dahulu ditembak pihak berkenaan.
Koperal Azman Ampong, 39, yang ditugaskan di Sektor C memutuskan untuk membalas tembakan itu selepas beliau dan rakan-rakannya ditembak oleh penceroboh, walaupun ketua pasukannya tidak memberi arahan.
Ketika ditanya peguam Datuk N.Sivananthan sama ada beliau membuat keputusan sendiri untuk membalas tembakan itu, saksi keempat itu menjawab: "Ya".
Semasa tembakan itu, katanya beliau dan rakannya Koperal Mohd Tarmizi Hashim yang berada di hadapan pasukan itu, telah memulakan tembakan itu Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lepas.
Azman berkata tembakan itu berlaku kira-kira dua minit dan mereka bukan sahaja ditembak oleh dua orang penceroboh, malah beberapa penceroboh lain dari semua arah.
"Sejurus itu, kami terus meminta bantuan dan kami menerimanya daripada anggota Sektor D yang tiba di tempat itu kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian," katanya sambil menambah tembakan itu berterusan sehingga pasukan D tiba.
Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Stephen Chung, Azman berkata keseluruhan pasukan itu berada kira-kira 30 hingga 60 kaki di belakang beliau dan Mohd Tarmizi.
Menurutnya dua letupan juga berlaku kira-kira dua minit di hadapannya dan Mohd Tarmizi.
Ketika ditanya Sivananthan sama ada beliau menerima sebarang arahan daripada ketua pasukannya DSP Anwar Rosli menerusi walkie-talkie semasa tembakan itu bermula, Azman berkata "ya, arahannya ialah supaya berundur".
Sivananthan : Tidak ada arahan langsung untuk membalas tembakan penceroboh sebaliknya hanya berundur. Adakah arahan supaya berundur nampak pelik bagi anda?
Azman : Tidak.
Sivananthan : Adakah anda melapor kepada ketua pasukan bahawa anda telah ditembak?
Azman : Saya tidak sempat membuat laporan (itu).
Azman menjelaskan bahawa arahan itu juga bertujuan mengelakkan pertempuran dalam semua bentuk pada tahap yang maksimum selain untuk memantau dan menilai situasi itu.
Menurutnya DSP Anwar langsung tidak memberi sebarang arahan untuk memulakan tembakan terhadap para penceroboh itu.
Ketika diasak oleh Sivananthan mengenai maksud seorang lelaki (penceroboh) yang memegang sebatang kayu berserta kertas putih bersaiz A4, adakah dalam peperangan ia membawa maksud sebagai mewakili bendera putih, saksi itu menjawab "tidak".
Sivananthan : Apa yang anda faham apabila seorang penceroboh membawa sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4?Azman : Saya tidak tahu niat dia.
Azman berkata ini kerana, seorang daripada penceroboh itu membawa sebilah parang yang diselitkan di pinggangnya manakala dua lagi rakannya membawa senjata api dan menghalakannya ke arah beliau dan Tarmizi.
Azman juga tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa para penceroboh itu sebenarnya mahu menyerah diri kerana seorang daripada mereka memegang sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4 dan mereka tidak memulakan sebarang tembakan pada hari itu.
Semasa menjawab soalan Sivananthan, saksi itu juga berkata beliau tidak tahu bahawa sepanjang tempoh pasukannya berada di Kampung Tanduo, pihak berkuasa Malaysia dan pihak penceroboh sedang berunding untuk menyelesaikan isu itu secara aman.
Azman juga tidak bersetuju bahawac arahan yang diberikan oleh DSP Anuar pada 18 Februari tahun lepas adalah untuk mencari penceroboh dan memulakan serangan ke tas mereka.
Saksi itu turut memberitahu bahawa pasukannya telah dibekalkan dengan peluru5.56mm manakala pasukan sokongan diberikan peluru 7.62 mm semasa tembakan itu, dan beliau dan Mohd Tarmizi membawa 'M16'.
Sebanyak 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan masing-masing antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan itu, yang dikendalikan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok.- BERNAMA

'Saya Bukan Pemilik Blog Papa Gomo' - Wan Muhammad Azri


MAHKAMAH

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris pada Isnin menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.
Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki.
Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com.
"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar.
Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik.
"Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya.
Beliau berkata meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif.
Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung pada Selasa. - BERNAMA

Monday 27 January 2014

Anwar Nafi Spekulasi Beliau Akan Jadi MB Selangor

Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera menafikan spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Spekulasi...Terdapat cadangan ini sejak 2008 lagi," jawabnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini pada Isnin.
Menurut Anwar, beliau telah menemui Abdul Khalid seperti biasa dan kali terakhir pada Jumaat dan bukan hari Ahad sepertimana yang dilaporkan media.
"Saya bertemu beliau (Abdul Khalid) setiap minggu. Seperti biasa kami bertemu di pejabat atau di rumah," kata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika ditanya berkaitan spekulasi yang dia telah mencapai persetujuan dengan Khalid Ibrahim untuk mengambilalih kerusi menteri besar.
Ditanya adakah perbincangan mereka menyentuh mengenai kedudukan menteri besar Selangor, Anwar berkata, ia hanya melibatkan perkara penting berkenaan parti dan negeri tersebut sahaja.
Selain itu, beliau turut bertanya sekiranya terdapat cadangan mengenai kerusi yang 'selamat' untuk ditandingi bagi melayakkannya menjadi menteri besar.
"Kerusi selamat? Boleh anda cadangkan satu kerusi yang selamat di Selangor?" soalnya sambil sekali lagi menolak spekulasi berkenaan.
Sebelum itu, portal berita The Star Online melaporkan yang Abdul Khalid telah bersetuju untuk meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat ini.
Laporan yang memetik sumber-sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyebut yang Abdul Khalid dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan pada Rabu ini.
Mereka berkata, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Satu pilihan raya kecil dijangka terpaksa diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sebelum mengambil alih kedudukan tersebut.
Abdul Khalid yang kini berhadapan dengan tekanan kuat oleh partinya sendiri berhubung kemelut dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan isu serbuan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Pertubuhan Bible Malaysia dikatakan bersetuju dengan perubahan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan Anwar pada Ahad.

Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Lelaki Rogol Budak Perempuan

Riduan Masmud dikeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pengurus operasi restoran yang gagal hadir untuk prosiding jatuh hukum selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Waran tangkap terhadap Riduan Masmud, 40, dikeluarkan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad yang turut menetapkan 3 Feb ini untuk semakan waran tangkap itu.
Satu sijil perubatan daripada Hosiptal Queen Elizabeth di sini dikemukakan menyatakan pengurus restoran itu tidak sihat untuk hadir di mahkamah.
Bagaimanapun, Ummu Khaltom tidak berpuas hati dengan butiran di dalam sijil itu yang tidak menyatakan penyakit dihidapinya dan bila dia boleh hadir di mahkamah.
Peguam YS Lo menyerahkan perkara itu diputuskan oleh mahkamah selepas beliau gagal menghubungi anak guamnya dan anggota keluarganya untuk menentukan penyakit dihidapinya semasa prosiding ditangguh selama sejam.Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata agak menghairankan apabila Riduan tiba-tiba jatuh sakit dan tidak hadir untuk jatuh hukum sedangkan dia hadir pada hari kes itu diputuskan Jumaat lepas.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol budak sekolah berumur 12 tahun itu antara 9 pagi dan 10 pagi pada 18 Feb tahun lepas di tepi jalan dekat Air Terjun Kionsom di Inanam dekat sini.
Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah yang dia telah menikahi budak perempuan itu.
Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan antara 1 Julai dan 14 Nov tahun lepas, manakala Riduan, yang tidak diwakili peguam semasa diperintah membela diri, mengemukakan tiga saksi termasuk dirinya.
Peguam Mary Lee bertindak sebagai peguam pemerhati Sabah Women's Action Resource Group (SAWO), Women's Centre for Change, Penang (WCC Penang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, manakala peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. BERNAMA

Pengurusan Kes Bunuh Pegawai AmBank Pada 10 Feb

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 Feb depan sebagai tarikh pengurusan kes terakhir bagi kes bunuh pegawai operasi dan rompakan bersenjata di cawangan Ambank Subang Jaya.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya pada Jumaat.
Peguam S.Selvi, yang dilantik Kedutaan Indonesia mewakili La Ode Ardi Rasila, berkata tarikh itu diputuskan bagi membolehkan pihak pembelaan memperoleh dokumen berkaitan laporan kimia, salinan kamera litar tertutup serta memutuskan mahkamah tinggi yang akan mendengar kes berkenaan.
Beliau berkata peguam S.Prakash akan menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
La Ode Ardi, 36, dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 19 Nov lepas atas dua pertuduhan iaitu membunuh Norazita Abu Talib, 37, dan melakukan rompakan serta melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian mangsa di dalam bangunan Ambank di Subang Jaya antara 6 dan 6.30 petang, 23 Okt lepas.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Majistret K.B Elina Hong Tze Lan memerintahkan kedua-dua kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi di sini selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan. BERNAMA

Pengurus Restoran Bersalah Rogol Gadis Bawah Umur

Riduan Masmud.
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat mendapati pengurus restoran, Riduan Masmud, bersalah kerana merogol seorang gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Bagaimanapun Hakim Ummu Khaltom Abd Samad menetapkan Isnin depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Riduan.
Ummu Khaltom berkata hukuman ditangguhkan sementara meneliti hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.
Riduan, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Februari tahun lepas.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan  diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan diwakili peguambela Y.S. Lo dan Timothy Daut.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - BERNAMA

Friday 24 January 2014

Bicara Taksiran Ganti Rugi Kes Saman Johan Raja Lawak Ditetap 28 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 28 April untuk perbicaraan taksiran ganti rugi dalam kes saman Johan Raja Lawak dan isterinya terhadap seorang pengarah dan syarikat penerbitan.
Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan atau Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan peguam Baljit Singh bagi pihak Mohd Javed Mohd Nizar serta syarikat penerbitan Juara Filem Production Sdn Bhd.
Pada 7 Januari lalu mahkamah membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya Rozlinawaty Ismail.
Mereka memfailkan saman itu pada 18 Julai 2010 terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.
Mereka menuntut RM1 juta sebagai ganti rugi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 28 April untuk perbicaraan taksiran ganti rugi dalam kes saman Johan Raja Lawak dan isterinya terhadap seorang pengarah dan syarikat penerbitan.
Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan atau Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan peguam Baljit Singh bagi pihak Mohd Javed Mohd Nizar serta syarikat penerbitan Juara Filem Production Sdn Bhd.
Pada 7 Januari lalu mahkamah membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya Rozlinawaty Ismail.
Mereka memfailkan saman itu pada 18 Julai 2010 terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.
Mereka menuntut RM1 juta sebagai ganti rugi. - BERNAMA

Mahkamah Rayuan Akan Melawat Tempat Teoh Beng Hock Terjatuh

PUTRAJAYA: Panel Mahkamah Rayuan tiga anggota yang mengendalikan rayuan berhubung keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, akan melawat tempat dia dikatakan terjatuh di Plaza Masalam.
Tempat itu adalah bekas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Datuk Mohammad Ariff Md Yusof, yang mempengerusikan panel itu, memerintahkan pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan mengatur pemergian mereka ke tempat itu bagi memeriksa tingkap yang dikatakan tempat pembantu politik DAP itu terjatuh daripada bangunan berkenaan.
Satu tarikh sebelum 28 Mac akan ditetapkan bagi tujuan itu.
Dua hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer.
"Ini belum pernah berlaku," kata peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Meng Kee, abang kepada Teoh, sambil menambah bahawa inilah julung kalinya para hakim Mahkamah Rayuan akan melawat tempat kejadian dalam inkues.
Dalam inkues berkenaan, koroner Azmil Muntapha Abas melawat tempat terbabit dua kali dan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan menyiasat punca kematian Teoh, melawatnya sekali.
Terdahulu, panel itu mendengar rayuan yang dikemukakan Meng Kee dan menetapkan 28 Mac untuk menyambung pendengarannya.
Pada prosiding hari ini, Gobind berhujah tentang standard bukti yang perlu diguna pakai Mahkamah Koroner untuk membuat dapatan berhubung homisid dalam sesuatu inkues.
Katanya Mahkamah Koroner, yang mendengar inkues tentang kematian Teoh, terkhilaf apabila menggunakan ujian 'melebihi keraguan munasabah' yang meletakkan syarat ketat dan beban lebih berat di bahu keluarga simati untuk membuktikan teori mereka bahawa kematian itu adalah satu homisid, pada inkues berkenaan.
Gobind berkata ujian sewajarnya yang perlu dilakukan Mahkamah Koroner ialah ujian keseimbangan kemungkinan, yang hanya memerlukan bukti bersifat berkemungkinan apabila membuat keputusan pada akhir inkuesnya.
Beliau berkata inkues diadakan untuk mencari fakta dan tidak perlu seketat prosiding jenayah, yang berdasarkan ujian 'di luar keraguan munasabah' kerana pada akhir perbicaran jenayah, hukuman akan diberi.

Tuesday 21 January 2014

Petisyen: Mahkamah Benar Permohonan Bantahan Awal Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibenar membangkitkan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan PKR untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan untuk menentang permohonan Ahmad Zahid bagi membangkitkan bantahan awal, yang difailkan calon PKR Madhi Hasan dan pengundi Azmi Sulaiman.
Mahkamah menetapkan pada Rabu untuk mendengar bantahan awal Ahmad Zahid itu yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh.
Hakim dalam keputusannya berkata Mahkamah Persekutuan, semasa rayuan berhubung petisyen pilihan raya, tidak menetapkan isu yang dibangkitkan dalam bantahan awal Ahmad Zahid, sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan bantahan awal menteri itu.
Hasnah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Syed Faisal Syed Abdullah yang mewakili Ahmad Zahid manakala Edmund Bon mewakili kedua-dua pempetisyen (Madhi dan Azmi).
Pada 23 Disember 2013, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan kedua-dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR.
PKR memfailkan rayuan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen itu.
Ahmad Zahid calon Barisan Nasional memperoleh majoriti 2,108 undi mengalahkan calon PKR, Madhi pada PRU13 bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh. - BERNAMA

Keputusan Permohonan DAP Batal Saman Asoghan Ditunda 14 Mac

GEORGE TOWN: Keputusan permohonan DAP untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan bekas Ketua Cawangan Bagan Luar DAP, G. Asoghan berhubung isu pemecatannya sebagai anggota parti, ditunda kepada 14 Mac.
Penundaan itu dicadangkan Andy Ooi, peguam yang mewakili Karpal Singh dengan alasan beliau tidak dapat hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Sesyen kerana terpaksa menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Persekutuan.
Menurut Ooi, Karpal Singh ingin mendengar sendiri keputusan mahkamah yang ditetapkan Selasa, namun tidak dapat hadir kerana urusan perbicaraan lain.
Cadangan itu dipersetujui Hakim Mahmud Abdullah dan peguam Asoghan, V. Amareson.
Pada Jun tahun lepas, Asoghan, 56, selaku plaintif memfailkan saman berkenaan dan menamakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai dan Setiausahanya Tai Sing Piau serta anggota jawatankuasa parti itu M.
Kulasegaran, Dr P.Ramasamy dan Lim Hock Seng sebagai defendan.
Asoghan mendakwa pemecatannya tidak sah kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS)tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilantik melalui pemilihan pada 15 Dis 2012. BERNAMA

Monday 20 January 2014

Saksi Dengar Amah Sebut "Saya Sudah Kasi Mati Orang"

KOTA BHARU: Seorang saksi memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini Ahad bahawa beliau mendengar sendiri seorang amah warga Indonesia, yang didakwa membunuh majikannya, menyebut "saya sudah kasi mati orang" dalam satu insiden pada Disember 2010.
Nik Hamidah Nik Yahya, 54, dari Kampung Tok Uban, Pasir Mas berkata, sebelum itu, beliau nampak wanita berkenaan menangis ketika berjalan di depan rumahnya.
Beliau kemudian diminta suaminya, Mansor Sulaiman, 61, untuk memanggil amah itu masuk ke rumah mereka kerana khuatir dengan keadaan wanita berkenaan.
"Dia tidak banyak cakap dan dia hanya menyebut 'Matilah aku! Matilah aku! Saya sudah kasi mati orang'," katanya ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Wilfrida Soik.
Nik Hamidah berkata demikian pada perbicaraan kes Wilfrida, 23, yang didakwa membunuh warga emas, Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari pada 7 Disember 2010.
Tertuduh yang baru bekerja dua minggu di rumah Yeap, didakwa menggunakan senjata tajam untuk mendatangkan kecederaan parah di muka mangsa sehingga menyebabkan kematian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Nik Hamidah juga berkata ketika di rumahnya, Wilfrida ada memberitahu bahawa'ada orang mahu memukul dan mencekiknya', namun beliau tidak mengetahui apa yangdimaksudkan tertuduh.
"Saya cuma ingat dia mungkin menjadi mangsa rogol dan untuk mententeramkannya, saya bagi kain untuk dia mandi tetapi dia tidak mahu, begitu juga makan dan minum," katanya.
Beliau berkata tidak lama selepas itu, polis tiba dan menahan tertuduh di perkarangan rumah jirannya.
Terdahulu, Mansor memberitahu mahkamah bahawa beliau ternampak Wilfrida menangis dan meminta isterinya memanggil wanita masuk ke rumah kerana ketika itu hujan renyai.
"Selepas itu, saya keluar dengan kenderaan, dan melalui walkie-talkie dengan rakan SRS (Skim Rondaan Sukarela Rukun Tetangga) ada yang menyebut satu kes bunuh telah berlaku dan tertuduh melarikan diri pada masa itu," katanya.
Mansor kemudian berpatah balik dan menghubungi polis untuk memaklumkan tentang individu yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu yang ketika itu dipercayai berada di rumahnya.
"Polis datang dalam tempoh 15 minit sebelum membawa dia dengan kenderaan polis," katanya.
Sementara itu, pemilik agensi pekerjaan SP Master Sdn Bhd, Teh Ying Eng, 52, berkata beliau tidak tahu bahawa Wilfrida, ketika bekerja dengan Yeap, dipaksa membersihkan majikannya yang menghidap penyakit Parkinson.
"Saya tidak tahu perkara itu tetapi kami ada melatihnya selama seminggu sebelum dihantar bekerja bagaimana melakukan kerja rumah, termasuk menjaga orang sakit dan kanak-kanak," katanya.
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 26 Januari ini. - BERNAMA

Wednesday 15 January 2014

Lelaki Dakwa 'Sultan Melaka' Ditahan Reman Empat Hari

MELAKA: Polis pada Rabu mendapat kebenaran mahkamah menahan reman individu bernama Nor Jan Tuah selama empat hari bagi membantu siasatan kes dia mendakwa dirinya sultan Melaka.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah V. Kanasan bagi membolehkan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Hasutan 1948.
Nor Jan, 57, ditahan pada pukul 10.50 pagi semalam di Jeti Anjung Batu Umbai, Jasin sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama 'pengikutnya'. - BERNAMA

Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Utusan Siar Artikel Bersifat Fitnah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan sebelum ini bahawa dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia (M) Sdn Bhd bersifat fitnah, berhubung temu bual pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan BBC, mengenai undang-undang homoseksual dua tahun lepas.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim memerintahkan bahawa tiada merit dalam rayuan perayu selepas meneliti asas penghakiman dan nota prosiding Mahkamah Tinggi.
Panel hakim itu memerintahkan kos sebanyak RM25,000 dibayar kepada responden.
Mahkamah juga menolak permohonan Umno untuk mencelah dalam rayuan itu, bagaimanapun ia tidak menetapkan sebarang kos.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk K. Anantham.
Peguam Abu Bakar As-Sidek memberitahu pemberita kemudian bahawa Umno membuat permohonan itu berikutan isu sama ada parti itu telah mempengaruhi dasar editorial akhbar berkenaan.
Mahkamah Tinggi tahun lepas memutuskan bahawa defendan Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak, gagal mempertahankan semua pembelaan statutori merangkumi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan bersyarat.
Pada 10 Januari 2012, Anwar memfailkan saman fitnah dengan menuntut RM50 juta ganti rugi atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Januari 2012, berhubung temu bualnya dengan BBC.
Beliau menegaskan bahawa kata-kata yang digunakan memberi gambaran beliau tidak layak memegang jawatan dan sebagai pemimpin Islam mempunyai pendapat yang berbeza dengan ajaran Islam.
Dalam rayuan pada Rabu, Anwar diwakili peguam R. Sivarasa, sementara Utusan diwakili Datuk Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin.- BERNAMA

Monday 13 January 2014

Mohamad Salleh & NFCorp Fail Saman Fitnah Terhadap Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya pada Isnin menfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkaitan satu kenyataan mengenai pembelian lapan unit kondominimum yang disiarkan oleh sebuah portal televisyen propembangkang.
Beliau dan syarikatnya menamakan Nurul Izzah sebagai defendan pertama dan turut menfailkan saman sama terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution sebagai defendan kedua.
Mohamad Salleh menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co pada 24 Disember lepas dan media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu pada Isnin ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng.
Peguam Y. Sheelan yang mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp memberitahu pemberita bahawa Hue menetapkan 27 Februari depan untuk pengurusan kes sementara menunggu kesemua defendan menfailkan pernyataan pembelaan mereka.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah telah membuat satu kenyataan berhubung pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disalurkan kepada NFCorp.
Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan di Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.
Mohamad Salleh turut mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan itu terhadapnya yang membawa maksud bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan wang NFCorp untuk membeli lapan unit kondominium bagi kegunaan peribadinya dan keluarga, bukan untuk syarikat itu.
Beliau mendakwa ekoran kenyataan fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai seorang berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dikritik masyarakat.
Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - BERNAMA

Kong Choy Bebas Tuduhan Menipu Bekas PM Dalam Projek PKFZ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy pada Isnin dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Rahim di dalam kamar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Chan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kesemua pertuduhan yang dihadapi Chan selepas menghalusi representasi yang dikemukakan anak guamnya.
Beliau berkata pihak pendakwaan juga menarik balik pertuduhan itu selepas mempertimbangkan keterangan saksi dalam kes perbicaraan bekas menteri pengangkutan Tun Ling Liong Sik yang menghadapi pertuduhan menipu kerajaan berhubung projek sama.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Chan, 58, supaya wang jaminannya sebanyak RM1 juta dikembalikan kepadanya.
Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Tan mengenai keputusan mahkamah itu, Chan yang berada di galeri awam kelihatan gembira diiringi tepukan gembira penyokongnya sambil mengucapkan tahniah kepada bekas menteri itu.
Selepas keputusan, Chan terus bergegas keluar dari bilik mahkamah.
Pada 25 Oktober tahun lepas, Ling, 70, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada akhir kes pembelaan selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi.
Chan pula didakwa terhadap tiga pertuduhan menipu Abdullah dengan memperdayakannya (Abdullah) untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna bagi menjalankan pembangunan projek hub penghantaraan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4, Blok Utama di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Chan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan. - BERNAMA

Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang Didakwa Kemuka Lima Tuntutan Palsu

JOHOR BARU: Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Penerangan Negeri Johor berhubung penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM6,500, lima tahun lepas.
Zaid Md Amin, 60, yang bersara pada 2 Januari lepas, memohon dibicarakan selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Bagi tuduhan pertama, Zaid didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Penerangan Negeri Johor menerusi satu dokumen pesanan kerajaan yang mengandungi butiran matan yang palsu, yang sebenarnya tidak dilaksanakan, iaitu perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman Program Pemimpin Bersama Rakyat di Komuniti Bestari Kampung Lerek Anjung, Ledang pada 9 Mei 2009, yang berjumlah RM500.
Bagi tuduhan kedua hingga empat, dia didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program yang sama di Kampung Durian Chondong, Kampung Parit Ghani dan Kampung Serom 3, Ledang pada 10, 15 dan 16 Mei 2009, yang masing-masing berjumlah RM500.
Bagi tuduhan kelima, Zaid didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program sama di Dewan Serbaguna Bukit Gambir pada 31 Julai 2009, yang berjumlah RM4,500.
Dia didakwa melakukan empat pertuduhan itu di Pejabat Daerah Ledang, pada 18 Mei 2009 manakala pertuduhan kelima didakwa dilakukan di pejabat sama pada 4 Ogos 2009.
Zaid dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Peguam A.Ashok kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu baru bersara selepas berkhidmat selama 35 tahun, perlu menanggung seorang isteri, dua anak yang sedang belajar dan seorang ibu mentua yang uzur selain tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.
Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 Februari depan untuk pengurusan kes. - BERNAMA

Friday 10 January 2014

Keputusan Kes Hasutan Karpal Singh 21 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Februari depan untuk memutuskan kes peguam Karpal Singh yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari 2009.
Hakim, Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Gobind Singh Deo dan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin di akhir kes pembelaan.
Karpal, 73, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Terdahulu, Gobind berkata, kenyataan Karpal dalam sidang akhbar di firma guamannya pada 6 Feb 2009 dibuat secara ikhlas dan disokong undang-undang kes.
Beliau berkata, Karpal tidak mempersoal kuasa budi bicara atau prerogatif Sultan Azlan Shah tetapi cara pemerintah itu mengendalikan krisis politik di Perak.
"Karpal, dalam kenyataan media beliau menegaskan bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Perkara 16(6) perlembagaan negeri berkenaan sekiranya Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
"Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan itu, tertuduh menegaskan bahawa perkara pertama yang perlu ditentukan ialah kesahihan peletakan jawatan tiga Adun terbabit, iaitu isu yang perlu diputuskan oleh dewan undangan negeri dan bukan Sultan sendiri mengikut Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak," katanya.
Sementara itu, Noorin berkata Karpal melakukan kesalahan dengan melafazkanperkataan yang berkecenderungan menghasut seperti termaktub di bawah Seksyen 3 Akta Hasutan.
"Kami menghujahkan bahawa Karpal bukan memberi pendapat undang-undang tetapi sebaliknya menunjukkan perasaan marah apabila meneliti pernyataannya secara keseluruhan, susulan Sultan melantik seorang menteri besar baharu bukan dari parti komponen pakatan rakyat," katanya.
Beliau berkata, kata-kata Karpal secara ketara melanggar garis pemisah antara kritikan yang sah dengan hasutan, yang mana beliau seharusnya lebih berhati-hati sebagai seorang peguam kanan dan pemimpin pembangkang. - BERNAMA

Anwar Ibrahim, Lima Yang Lain Dilepas Tanpa Bebas Tuduhan Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lima yang lain dilepaskan tanpa dibebaskan berhubung penglibatan dalam Bersih 3.0.
Hakim mahkamah sesyen, Ahmad Bache, yang mendapati bahawa tuduhan itu adalah cacat, yang mengetepikan permohonan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan.
Ini selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari untuk mengetepikan arahan Majistret Zaki Asyraf yang mengeluarkan perintah melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei 2012.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh tiga panel yang diketuai oleh Hakim Linton Albert yang mempersoalkan mengenai asas dakwaan terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam perhimpunan bersih, kerana dakwaan dibuat dalam arahan majistret.
Pada 22 Mei 2012, Anwar, 65, dituduh secara bersama-sama dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, 49, dan Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham, 35, menyertai protes jalanan di lokasi itu pada 28 April tahun yang sama, yang didakwa telah mencetuskan huru-hara di ibu negara.
Ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim dengan cara menghasut mereka untuk mengalih penghadang besi di Jalan Raja pada hari yang sama.

Keputusan Bantahan Awal Petisyen DUN Lubok Merbau 16 Januari Ini

IPOH: Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 16 Januari bagi keputusan bantahan awal petisyen yang difailkan seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau untuk membatalkan keputusan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Hakim Abdul Rahman Sebli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak responden.
"Saya memerlukan masa untuk menimbang hujahan responden dan bantahan oleh pempetisyen mengenai isu Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili responden kedua iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.
Pada prosiding hari ini, pempetisyen, Mohd Ridzuan Asit, yang duduk di galeri awam bangun membangkitkan isu berhubung notis pelantikan Alice kerana didakwa tidak mematuhi peruntukan Kaedah 34, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
"Mengikut kaedah 34, Alice tidak layak mewakili SPR kerana notis pelantikan bagi SPR ditandatangani oleh individu lain (Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan) bukan Alice," kata Mohd Ridzuan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Norazmi Narawi yang mewakili SPR berkata merujuk kepada Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang berkuasa untuk mengadakan pilihan raya umum ke atas Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
"Kaedah 34 tidak terpakai untuk peguam persekutuan sebaliknya hanya terpakai untuk peguam bela bagi suatu firma guaman kerana peguam persekutuan terikat dengan Akta Prosiding Kerajaan," katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Lubok Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak selaku responden pertama diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad dan Abu Bakar As Sidiq, manakala SPR selaku responden kedua diwakili Norazmi dan Alice.
Pada 23 Disember lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dan DUN Lubok Merbau diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.
Pada PRU-13, Siti Salmah, calon Barisan Nasional, mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi bagi kerusi itu. - BERNAMA

Dua Pegawai Wisma Putra Didakwa Perdaya Duta Besar Malaysia Ke AS RM378,000

Shahril Effendi (kiri) dan Mohd Hadtamizi (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke AS, tiga tahun lepas di Mahkamah Jalan Duta pada Jumaat. - FotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua pegawai Wisma Putra didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan memperdayakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) membabitkan RM378,000 tiga tahun lalu.
Sharil Effendi Abdul Ghany, 47, didakwa dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dia didakwa menggunakan dua dokumen mengandungi maklumat palsu melibatkan perbelanjaan semasa mesyuarat Apec di Honolulu, Hawaii pada 2011.
Rakannya, Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 46, didakwa bersubahat dengan Sharil Effendi.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Rosbiahanin membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan kes.

Thursday 9 January 2014

Pejabat AG arah siasatan lanjut kes editor Herald



Beberapa jam selepas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata siasatan terhadap Editor mingguan Katolik, The Herald, Lawrence Andrew telah siap, Pejabat Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan itu kepada pihak polis.

Timbalan Peguam Cara Negara II Tun Abdul Majid Tun Hamzah (kanan)
berkata, polis telah diminta menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara itu.

"Pejabat (AG) mahu siasatan lanjut dan terperinci dijalankan terhadap perkara itu. Oleh itu, kertas (siasatan) telah dikembalikan kepada pihak polis," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada wajar bagi pihak polis menyiasat Lawrence mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Tun Majid Curtly menjawab: "Tiada komen".

Hari ini, beberapa media memetik Mohd Shukri sebagai berkata pihak polis telah menyiapkan siasatan terhadap Lawrence selepas merakamkan kenyataannya petang semalam.

Ketua Polis Selangor berkata sejumlah 99 kenyataan telah direkodkan mengenai perkara itu.

Ini berikutan kenyataan editor The Herald itu, seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita, bahawa beberapa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan perkataan "Allah" dalam perhimpunan mingguannya.

Wednesday 8 January 2014

Komander Taktikal Diberitahu Insiden Serangan Di Kampung Tanduo Melalui Walkie-Talkie

Kelihatan seorang anggota VAT 69 berkawal di pintu pagar utama Penjara Kota Kinabalu pada Selasa. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Komander Taktikal dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo Datuk Abdul Rashid Harun dimaklumkan bahawa satu serangan berlaku di kampung itu pada 11 Mac tahun lepas, yang meragut dua nyawa anggota keselamatan Malaysia.
Maklumat itu disalur menerusi walkie-talkie daripada tiga ketua lima sektor di mana penembak tepat VAT69 ditempatkan.
Abdul Rashid, bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, berkata seorang daripada ketua sektor itu memaklumkan bahawa lokasi mereka diserang dan beliau mendengar bunyi tembakan menerusi walkie-talkie.
"Ketika itu kira-kira pukul 10 pagi dan saya dimaklumkan oleh seorang daripada ketua sektor, Superintenden Macha, bahawa berlaku serangan.
"Kemudian seorang lagi ketua sektor, DSP Anwar, turut memaklumkan berlaku serangan di tempat beliau dan saya mendengar bunyi tembakan.
"Sejurus kemudian (komunikasi dengan Anwar), saya dimaklumkan oleh ketua sektor ketiga, DSP Rani, bahawa seorang anggota pasukannya terkorban dan selepas itu, saya dimaklumkan seorang lagi maut oleh Superintenden Macha," katanya ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan 30 individu yang didakwa dengan pelbagai pertuduhan berkaitan keganasan di Sabah di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di penjara negeri di sini, Selasa.
Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, juga berkata beliau dimaklumkan bahawa anggota yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud manakala tiga lagi cedera.
Beliau turut dimaklumkan bahawa kumpulan penceroboh itu yang memulakan serangan dan ketika itu, Abdul Rashid berada di Pangkalan Taktikal VAT69 di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Terdahulu, Abdul Rashid memberitahu mahkamah beliau bertemu seorang daripadatertuduh iaitu Datu Amirbahar Hushin Kiram dan dua lelaki yang menyertainya dalam lawatan kedua ke Kampung Tanduo pada pagi 16 Februari.
Katanya, beliau tidak tahu siapa mereka dan tidak mempersoal tujuan kedua-dua individu pada lawatan itu kerana perhatiannya tertumpu pada tugas untuk menilai kawasan berkenaan apabila tiba di kampung tersebut.
Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Februari dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.
Perbicaraan bersambung Rabu. - BERNAMA

NFC: Mohamad Salleh Fail Permohonan Tangguh Prosiding Kes Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk menangguhkan prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan penangguhan prosiding itu sementara menunggu rayuan anak guamnya untuk membatalkan pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang pada Rabu.
Wan Shahrizal turut memaklumkan Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Mac ini untuk pengurusan kes bagi rayuan tersebut.
Tarikh perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen yang dijadualkan pada 20 dan 21 Januari ini dikekalkan.
Pada 22 November tahun lepas, Norsharidah menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pertuduhan tersebut tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan.
Mohamad Salleh memfailkan permohonan untuk menggugurkan dua pertuduhan itu pada 7 Jan tahun lalu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.
Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.BERNAMA

Tuesday 7 January 2014

Kes Saman Fitnah RM10 Juta Anwar Terhadap Dr Chandra Selesai

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah RM10 juta ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Dr Chandra Muzaffar selesai selepas presiden International Movement for Just World (JUST) itu menarik balik perkataan-perkataan berunsur fitnah berhubung artikel yang diterbitkan pada 2008.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad merekodkan persetujuan itu selepas peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes itu.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Dr Chandra memberitahu mahkamah, anak guamnya bersetuju menarik balik keseluruhan perkataan-perkataan berunsur fitnah yang dinyatakan dalam artikel itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kos dan ganti rugi ditetapkan mahkamah.
Dalam saman yang difailkan pada 6 Mac 2008, Anwar mendakwa Dr Chandra mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah terhadapnya melalui forum dianjurkan Star Publication (M) Bhd, di Menara Star, Petaling Jaya, pada 3 Mac 2008.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Anwar mendakwa komen itu diterbitkan akhbar The Star melalui artikel bertajuk 'Disaster if Anwar is PM' dan 'Chandra breaks silence on Anwar' yang diterbitkan akhbar The New Straits Times pada 5 Mac 2008.
Dr Chandra dalam pembelaannya menafikan mengeluarkan komen jahat, palsu atau memfitnah Anwar dan berkata ia disiarkan dengan perlindungan bersyarat.
Anwar, yang ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Chandra hadir pada prosiding, Selasa. - BERNAMA

Monday 6 January 2014

Lelaki OKU Dihukum Penjara 35 Tahun, Enam Sebatan Kerana Rogol, Rompak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) pada Isnin dijatuhi hukuman penjara berjumlah 35 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol, melakukan seks oral dan merompak seorang pegawai bank, September lepas.
Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhi hukuman itu terhadap MohamadAzhan Mohamad Johan, 28, yang bisu dan pekak, selepas membuat pengakuan bersalahterhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.
Mohamad Azhan membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa isyarat oleh jurubahasa isyarat dari Mahkamah Persekutuan, Tan Lee Bee.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan merogol, penjara 13 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan melakukan seks oral dan penjara tujuh tahun kerana merompak.
Bagaimanapun tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 September lepas.
Mohamad Azhan yang bekerja sebagai tukang cuci dan berasal dari Setapak di sini, didakwa merogol wanita berusia 38 tahun itu di dalam sebuah tandas, Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini antara 7 pagi hingga 7.15 pagi, 12 September lepas.
Dia juga didakwa melakukan seks oral dan merompak RM100 daripada mangsa pada tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan merogol dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C bagi pertuduhan seks oral, yang kedua-duanya, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun, denda dan sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman yang lebih berat dengan mengambil kira elemen kekerasan digunakan tertuduh terhadapmangsa serta faktor kepentingan awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana dia perlu menanggung isteri dan dua anak yang berumur tujuh dan sembilan tahun serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Sementara itu, mangsa yang turut hadir dalam prosiding pada Isnin untuk memberi keterangan impak mangsa memberitahu mahkamah bahawa dia berasa sangat tertekan dan hampir mahu membunuh diri kerana insiden itu.
"Saya tidak boleh berjalan di luar seperti biasa. Saya perlu menjalani rawatan perubatan dan psikologi kerana kejadian ini.
"Saya tidak boleh tidur kerana apabila saya bersendirian saya akan teringat apa yang dia lakukan terhadap saya. Saya juga terpaksa mengambil pil tidur," katanya yang mengambil cuti sakit selama tiga bulan. - BERNAMA

Mahkamah Benarkan Permohonan Pasangan Blogger Kontroversi Untuk Tangguh Prosiding

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan pasangan blogger kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee untuk menangguhkan prosiding mahkamah.
Panel hakim tiga anggota yang diketuai Datuk Linton Albert membenarkan permohonan itu sementara menunggu rayuan pasangan itu diputuskan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda Islam dan bulan Ramadan.
Panel itu, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili pasangan itu Chong Joo Tian danTimbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Hakim Linton yang bersidang bersama-sama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Seri Zakaria Sam, juga membenarkan permohonan Chong supaya tarikh antara 8 hingga 10 Januari di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikosongkan untuk perbicaraan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Chong berkata, tiada tarikh ditetapkanoleh Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November lepas itu.
Pasangan itu menghadapi pertuduhan memuat naik gambar mereka sedang makan "bak kut teh" (sup babi) dan kapsyen "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.
Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingersiaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.
Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002. - BERNAMA

Friday 3 January 2014

Bapa Dituduh Dera Anak Lelaki Hingga Mati Bersama Teman Wanita

JOHOR BARU: Seorang bapa bersama teman wanitanya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh anak lelakinya, berusia tiga tahun, dalam kejadian di sebuah apartmen di Kulaijaya, pada Disember tahun lepas.
Tertuduh Mohd Imran Mohd Ramly, 31 tahun, dan pasangannya Norhidayah Mamid 27, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu antara jam 12 tengah malam 16 Disember sehingga 6.45 petang 19 Disember, di sebuah apartmen di Bandar Putra, Kulaijaya.
Kanak-kanak malang itu, Muhammad Aqeef Adam Mohd Imran dipercayai didera oleh pasangan itu dalam tempoh berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya pada 19 Disember.
Mohd Imran dari Kampung Paya Renggoh, Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat, dan Norhidayah dari Taman Lagenda Putra, Kulaijaya, Johor yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.
Tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada pasangan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kulai sementara menunggu keputusan bedah siasat dan laporan Jabatan Kimia.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. BERNAMA

Thursday 2 January 2014

Mahkamah Batal Saman Lelaki Warga Bosnia Berhubung Penggunaan Sperma

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita berjaya membatalkan saman yang difail bekas teman lelakinya, yang merupakan warga Bosnia, berhubung dakwaan penggunaan sperma bagi menghasilkan anak baka Eropah.
Hakim Mahkamah Sesyen Timothy Finlayson Joel membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan Chung Shun Yee untuk membatalkan saman Ervin Ahbabovic.
Chung diwakili peguam James Ee Kah manakala peguam Nasser Yusof mewakili Ahbabovic.
Mahkamah turut memerintahkan Ahbabovic membayar kos RM6,500 kepada bekas teman wanitanya itu selain menolak tuntutan balas yang difail Chung.
Dalam penghakiman bertulis, Timothy berkata tuntutan Ahbabovic tidak berasas dan tiada kenyataan persetujuan yang nyata bahawa bekas teman wanitanya terikat untuk membayar atau membeli sperma plaintif atau bersetuju membayar sperma itu apabila mereka melakukan persetubuhan.
"Tiada pembelian sperma ataupun kontrak dinyatakan dalam afidavit dan kenyataan tuntutan itu adalah tidak berasas kerana apa yang berlaku di sini adalah mereka cuma bersekedudukan sebagai pasangan dan menikmati perhubungan seksual atas persetujuan bersama," katanya.
Beliau berkata kenyataan Ahbabovic berkaitan nafsu seksual Chung adalah keterlaluan kerana tiada asas untuk plaintif mendedahkannya kerana perhubungan mereka adalah bersifat peribadi.
"Jika tuntutan sebegini diterima mahkamah, keadaan kebanjiran kes seumpamanya akan wujud dan ia adalah satu kes yang bertentangan dengan polisi awam," katanya.
Menyentuh isu agar nama Ahbabovic diletak sebagai nama bapa dalam sijil lahir, Timothy berkata mahkamah mendapati tiada perkahwinan dalam kes ini dan anak yang dilahirkan adalah di luar nikah.
Pada 3 Sept lepas, Ahbabovic, 41, memfailkan saman terhadap Chung, 29, menuntut ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa diperguna bagi mendapatkan spermanya untuk menghasilkan anak baka Eropah.
Dalam penyataan tuntutannya, Ahbabovic, pengarah komersial dalam industri pembangunan perniagaan di sebuah syarikat, mendakwa beliau mula menjalin hubungan dengan Chung pada 2008 dan hasil perhubungan itu, mereka memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun lebih.
Lelaki itu mendakwa Chung telah menghalaunya keluar dari rumah serta menghalang beliau daripada melihat anaknya, dan selepas itu, dia ada menghubungi wanita berkenaan untuk berbaik semula demi kepentingan anak mereka.
Beliau mendakwa niatnya itu dibalas dengan kata-kata yang mengejutkan apabila Chung menyatakan bahawa plaintif sebenarnya diperguna sebagai alat pemuas seks selain bagi mendapatkan sperma miliknya yang membolehkan defendan memperoleh anak genetik orang Eropah.
Ahbabovic menuntut ganti rugi itu kerana penggunaan spermanya dalam usaha mendapatkan anak dengan cara yang salah, dan memohon agar beliau disah dan didaftar sebagai bapa di dalam sijil kelahiran anak lelakinya, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Chung dalam penyataan pembelaan yang difailkan 30 Sept lepas, mendakwa Ahbabovic beberapa kali mengugut mahu membunuhnya jika dia tidak mengikut arahan lelaki itu.
Chung mendakwa Ahbabovic turut mengugut untuk mendedahkan gambar serta video peribadi yang diambil tanpa disedarinya kepada rakan dan memusnahkan kerjaya beliau sebagai ahli perniagaan.
Wanita itu menfailkan tuntutan balas menuntut ganti rugi kehilangan perniagaan sebanyak RM200,000, wang pampasan RM120,000, ganti rugi am, teladan dan ganti rugi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Nasser memaklumkan pemberita anak guamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA