Tuesday 5 August 2014

Mahkamah Tinggi Diarah Dengar Isu Bidang Kuasa, Status Mastautin Kes Cerai


Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 6:59 PM

Tan Sri Khoo Kay Peng (kiri) dan Pauline Chai Siew Phin.
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar dengan kadar segera isu bidang kuasa dan status mastautin dalam kes perceraian antara bekas Ratu Cantik Malaysia dan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar tidak membenarkan permohonan Khoo, 74, untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk penentuan dua isu itu.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Tinggi kini akan mendengar dan memutuskan status mastautin isteri Khoo, Pauline Chai Siew Phin dan berhubung bidang kuasa mahkamah sama ada mahkamah di Malaysia atau di England akan mendengar kes perceraian mereka.

Rogol: Penganggur Dipenjara 10 tahun, 5 Sebatan


Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 5:57 PM
  (Ubah saiz teks)
KOTA BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap seorang penganggur kerana merogol seorang gadis bawah umur pada Mac tahun lepas.
Hakim Mohd Yusoff Yunus memerintahkan Mohd Azlan Shah Mohamed Johnson, 26, dari Kampung Dusun Ban, Kuala Krai supaya menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Tertuduh didakwa merogol gadis berusia 13 tahun enam bulan itu di tepi sungai di Kampung Kebun Pisang, Kuala Krai, pada 9 malam, 22 Mac 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara lima hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh telah melalui perbicaraan penuh tanpa menggunakan khidmat peguam bela.

Polis Miri Tahan Lima Remaja, Rampas Dua Bilah Samurai


Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 11:38 PM
-Gambar hiasan
  (Ubah saiz teks)
MIRI: Polis Miri menahan lima remaja termasuk seorang gadis bawah umur berikutan penemuan dua bilah samurai dalam rondaan cegah jenayah di Jalan Dato Permaisuri Isnin.

Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata kesemua remaja tempatan berusia 17 hingga 19 tahun itu ditahan susulan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu gadis berkenaan pada 4.30 petang tadi.

"Selain dua bilah samurai, polis turut dirampas dua batang besi dan kereta Perodua Kelisa itu," katanya Isnin.

Gan berkata polis juga merampas dua buah topi termasuk yang mempunyai lambang Polis DiRaja Malaysia.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Polis Selangor Tumpas Kumpulan Samun Bersenjata


Diterbitkan: Isnin, 4 Ogos 2014 9:20 PM
Datuk Mohd Adnan Abdullah
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Polis Selangor percaya dapat menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata di sekitar Lembah Klang apabila seorang lelaki ditahan manakala seorang rakannya ditembak mati dalam satu kejadian awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, susulan laporan kes samun sebuah kereta jenis Toyota Alphard di hadapan sebuah sekolah di Bandar Wawasan Puchong, dekat sini pada Jumaat lepas, polis membuat serbuan di sebuah rumah berhampiran pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.