Monday 6 April 2015

Peguam: Persoal motif bukan hina mahkamah



Peguam veteran Americk Sidhu berkata, ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya boleh membezakan tindakan mempersoalkan motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perbuatan menghina mahkamah

Americk yang merupakan peguam kepada seorang saksi utama dalam kes pembunuhan itu berkata, Khalid perlu faham bahawa tiada siapapun yang mempersoalkan keputusan mahkamah.

“Persoalan (motif) ini masuk akal. Ini adalah persoalan sama yang ditanya oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sejak lapan tahun lalu.

“Apa yang Khalid gagal sedari ialah, tiada siapa yang mempersoalkan keputusan tersebut. Semua orang setuju bahawa keputusan (mahkamah) adalah betul.

“Bagaimanapun, soal motif itu tidak pernah ditangani dalam tiga mahkamah yang dilalui kes ini. Malah, bukti berhubung motif tidak pernah dikemukakan oleh pendakwaan,” kata Americk dalam kenyataannya.

Peguam kepada mendiang P Balasubramaniam itu berkata, oleh itu, Khalid perlu meningkatkan tumpuan dalam siasatan semula kes berkenaan dan bukannya menyiasat kenyataan di Twitter.