Wednesday, 6 August 2014

Bunuh Remaja: Rambo Bentong Dihukum Mati


Diterbitkan: Rabu, 6 Ogos 2014 3:19 PM
Rambo Bentong dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan lima tahun lalu.
  (Ubah saiz teks)
TEMERLOH: 'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, antara 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang pada 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Kastam KLIA Rampas 15.56 Kg Dadah Bernilai RM2.97 Juta


Diterbitkan: Rabu, 6 Ogos 2014 4:45 PM
Chik Omar bersama Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah (kiri) dan Pegawai Penguatkuasa, Muhammad Farhan Izhar menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam botol protein seberat 9.85kg bernilai RM1,871,500 pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam KLIA di sini, Rabu.
  (Ubah saiz teks)
SEPANG: Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 15.56 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.97 juta yang cuba diseludup melalui kawasan pintu masuk negara antara Julai hingga 2 Ogos.


Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, tiga warga asing iaitu seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki, masing-masing rakyat Nigeria dan Iran ditahan berkaitan kes rampasan dadah dalam tempoh itu, manakala satu kes melibatkan bungkusan dadah jenis methamphetamine masih disiasat kerana pemiliknya gagal dikesan.

Dalam kes berkaitan bungkusan dadah jenis methamphetamine itu, Chik Omar berkata, dadah itu dikesan dalam kargo berisi 12 tin makanan yang tiba di gudang MAS Kargo KLIA dari Lagos, Nigeria pada 1 Julai lepas.

7 Rakyat Malaysia Dikenal Pasti Dalam Video 'Sukan Bogel' - Polis


Diterbitkan: Rabu, 6 Ogos 2014 12:11 PM
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Polis mengenal pasti tujuh rakyat Malaysia yang merupakan antara peserta pesta 'sukan bogel', yang didakwa diadakan di Teluk Bahang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi pada Rabu berkata, seramai 15 peserta dilihat di dalam video yang bertajuk "Penang Nude Sport Games" (Pesta Sukan Bogel Pulau Pinang) di mana tujuh rakyat Malaysia, manakala empat lagi dari Singapura.
"Mereka yang lain adalah seorang dari Filipina, dua dari Myanmar, dan seorang dari India.
"Sembilan peserta adalah lelaki manakala enam lagi wanita," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini.
Beliau berkata, polis turut merakamkan kenyataan 10 individu bagi membantu siasatan.
Video berkenaan tersebar selepas ia dimuat naik dua bulan lalu di laman perkongsian video Vimeo.

Dipenjara 2 Minggu Kerana Khianat, Rusuh Di Balai Polis


Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 4:35 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa setelah mengaku bersalah melakukan khianat dan merusuh di balai polis pada Sabtu lepas.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman seminggu untuk setiap pertuduhan terhadap M.Jambu Nathan, 39, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos lepas.
Terdahulu dalam rayuannya, Jambu Nathan yang menangis teresak-esak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya atas alasan dia pergi ke rumah tersebut dalam keadaan mabuk untuk berjumpa dengan dua anak perempuan dan isterinya.

Suami Isteri Saman Bank RM1.5 Juta


Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 3:43 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari mulai Isnin depan untuk mendengar kes saman hampir RM1.5 juta yang difailkan seorang ahli perniagaan dan isterinya terhadap United Overseas Bank (M) Bhd berhubung kehilangan barangan berharga daripada peti deposit selamat di sebuah cawangan bank itu susulan kejadian pecah masuk pada 2012.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng akan mendengar saman itu yang difailkan Lee Yaw Lin, 46, dan isterinya Choo Yoke Peng, 40, menerusi Messrs Mahendran & Co pada Disember tahun lepas. Bank berkenaan, defendan tunggal dalam kes saman itu, memfailkan pernyataan pembelaannya pada 24 Jan tahun ini.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, Lee berkata beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai polis pada 22 Okt 2012 bahawa peti deposit selamat mereka di cawangan Leboh Pasar bank itu dipecah masuk dan Lee serta Choo menyatakan mereka terkejut apabila mendapati semua barangan berharga melainkan dokumen hilang daripada peti itu.

Geng Ben Tumpas Ketika Operasi Khas


Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 9:32 PM
Zainuddin (dua kanan) menunjukkan barang-barang rampasan dalam pelbagai kes.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Polis yakin telah menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah dikenali sebagai 'Geng Ben' dengan penahanan dua lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing anggota kumpulan itu pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Senior Asisten Komisioner  (SAC) Zainuddin Ahmad berkata, keempat-empat anggota kumpulan itu ditahan dalam sebuah kereta Volkswagen di sebuah kondominium di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dalam serbuan satu operasi khas.

Katanya hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menjumpai sebuah beg kecil mengandungi sejumlah kunci kereta pelbagai jenis kenderaan mewah.

Tahanan Iraq Lolos Cuba Pecah Masuk Rumah Penduduk


Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 5:42 PM
imigresen
Operasi secara taktikal bagi memburu tahanan warga Iraq yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Seorang warga Iraq yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Lenggeng, Negeri Sembilan dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Jai, Beranang pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, pemilik rumah hanya menyedarinya selepas terdengar bunyi bising dari belakang kediamannya yang terletak kira-kira empat kilometer dari depot tersebut.
Komander Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Mohd Ramlan Che Hassan berkata, pemilik rumah itu kemudiannya menghubungi Balai Polis Lenggeng untuk mendapatkan bantuan.
Tambahnya, pemilik rumah itu kemudiannya ke depot imigresen di Lenggeng pada pukul 7.30 pagi dan memaklumkan mengenai kejadian itu.

Kes Bunuh TKP Kastam Selesai Dalam Tempoh Terdekat


Diterbitkan: Selasa, 5 Ogos 2014 4:08 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Polis yakin akan dapat menyelesaikan dalam masa terdekat, kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim, pada April tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata pihaknya kini mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan operasi untuk mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Pada Julai lepas polis menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
"...dan buat masa sekarang kesemua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bagi membantu dalam siasatan dua kes berlainan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur di sini, Selasa.