Friday, 13 March 2015

Amerika amat kesal dengan kes Anwar



Rumah Putih menyatakan kekesalan yang amat sangat dengan sabitan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berjanji akan terus mengetengahkan rasa tidak senangnya berhubung perkara itu.

“Kami sudah jelaskan perkara ini melalui kenyataan-kenyataan dan hubungan dengan kerajaan Malaysia, dan kami akan terus lakukannya,” menurut kenyataan rasmi Rumah Putih.

“Keputusan awal untuk mendakwa Anwar di mahkamah, keputusan merayu keputusan tidak bersalah dan pengubahan hukuman membangkitkan kebimbangan serius terhadap kedaulatan undang-undang dan keadilan sistem kehakiman di Malaysia.”

Shafee cuba sekat bincang isu kelakuan



Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah menghalang Badan Peguam Malaysia membincangkan usul berhubung masalah kelakuan profesionalnya.

Peguam kanan itu, yang mengetuai kumpulan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, menamakan peguam Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, VC George - yang menamakan - sebagai responden.

Shafee juga menamakan presiden badan peguam itu Christopher Leong sebagai responden.

Sewaktu dihubungi, Leong berkata beliau tidak mengetahui tentang permohonan terhadapnya atau Badan Peguam Malaysia itu.

Difahamkan, Shafee memohon agar mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghentikan usul itu.

Permohonan itu dijadualkan didengar oleh Hakim Datuk Asmabi Mohamad di Mahkamah Tinggi, pagi ini.

Peguam Thomas dan bekas hakim George membentangkan usul untuk mengheret Shafee ke lembaga disiplin Badan Peguam berkaitan dengan jelajah yang dilakukannya susulan perbicaraan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Shafee merupakan pendakwa raya yang dilantik kerajaan untuk kes tersebut.

Polis Tembak Mati Anggota Kongsi Gelap Di Sungai Petani


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 11:49 PM
Anggota polis dari Unit Forensik memeriksa kenderaan milik suspek dipercayai anggota kongsi gelap 35 yang ditembak mati oleh sepasukan Polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam kejadian berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Languna Merbok di Sungai Petani kira-kira pukul 5.30 petang Khamis. Suspek dikenali sebagai K. Sujenthiran, 27, mati ditempat kejadian selepas bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan Polis cuba menghampiri kenderaan suspek. -fotoBERNAMA
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, K.Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

MP: Sekat akses laman petisyen Rumah Putih



Laman web petisyen Rumah Putih perlu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia didakwa menjadi ruang untuk "kuasa asing mencetuskan huru-hara" di Malaysia.

Dakwaan mengejutkan itu dibuat di Parlimen hari ini oleh MP BN Simpang Renggam, Liang Teck Meng apabila meminta laman web itu disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Beliau merujuk kepada petisyen White House baru-baru ini yang mengutip 100,000 tandatangan yang diperlukan untuk meminta Amerika Syarikat menjadikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai keutamaan dalam dasar luarnya.

Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, Liang berkata Rumah Putih hilang "kewibawaannya" dengan membenarkan petisyen pro-Anwar itu, dan berkata beliau tidak percaya ianya satu "kesilapan" apabila petisyen itu dikeluarkan dan kemudian dinaikkan semula.

Petisyen itu mengumpul lebih 30,000 tandatangan dalam 48 jam terakhir sebelum tarikh akhir, untuk melepasi sasaran 100,000 tandatangan yang diperlukan. Ia dikeluarkan sementara semasa semakan penipuan dibuat tetapi kemudian dinaikkan semula dengan semua tandatangan utuh.