Thursday, 7 May 2015

Sultan: GST perkhidmatan k'jaan tak masuk akal



Arahan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap kerajaan negeri dan kerajaan tempatan tidak masuk akal, titah sultan Johor.

"Perkara ini adalah tidak masuk akal kerana perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat dan tidak wajar untuk ditambah lagi dengan beban bayaran GST oleh rakyat," titah baginda.

Justeru, sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan mereka.

Baginda juga bertitah supaya pihak itu mendapatkan pengecualian daripada kerajaan persekutuan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

GST dilaksanakan mulai 1 April lalu di tengah-tengah bantahan aktivis dan pembangkang.

Shuhaimi: Ucapan 'barua' khusus untuk IGP



Ungkapan ‘barua’ yang dinyatakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam ceramahnya di Permatang Pauh hanya ditujukan khusus kepada Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bukannya kepada anggota polis secara keseluruhan.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafiei berkata Mohamed Azmin sering mengingatkan supaya penyokongnya tidak bermusuhan dengan anggota polis, terutama yang menjalankan tugas dengan profesional.

“Kami sedar ramai anggota keselamatan dan polis terutama peringkat bawah telah menjalankan tugas dengan dengan baik dan hanya mengikut arahan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas desakan Persatuan Pegawai Kanan Polis yang ditandatangani pengerusinya Datuk Shah Gzali Khan Shahadad hari ini.