Wednesday 28 December 2016

Mengajar universiti untuk belajar

Beberapa tahun kebelakangan ini beberapa peristiwa yang melibatkan mahasiswa digantung pengajian telah berlaku. Pada kebisaanya mereka yang didapati bersalah akan melakukan semakan undang-undang kepada universiti, dan pada kebisaaanya mereka akan menang di mahkamah awam seperti yang berlaku pada saudara Fahmi Zainal.
Terbaharu 4 orang mahasiswa Universiti Malaya telah didapati bersalah atas pertuduhan masing-masing berkaitan dengan demonstrasi Tangkap Malaysian Offical One yang berlangsung Ogos tahun ini. Tiga daripada mereka digantung satu semester manakala seorang lagi dikenakan denda.
Jika kita meneliti ‘jenayah’ yang dilakukan oleh kebanyakkan mahasiswa yang dikenakan tindakan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sejak akhir-akhir ini, kita akan mendapati apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang berlandaskan rasa tanggungjawab dan kebebasan berakademik.

Wednesday 14 December 2016

Anwar Kembali Ke Penjara


Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 11:17 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan Anwar atas alasan bahawa tidak ada merit dalam permohonannya.
Zulkefli berkata keputusan mereka itu adalah sebulat suara.

Anwar kemudian memberitahu pemberita dari kandang tertuduh bahawa beliau akan berbincang dengan pasukan peguamnya untuk tindakan seterusnya.

"Ia bukan satu pengakhiran," katanya.

Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Anwar diwakili oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N. Surendran, Ramkarpal Singh, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamaruddin.

Pasukan Timbalan Pendakwa Raya diketuai oleh Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dengan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Turut hadir di mahkamah ialah isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak-anak perempuannya Nurul Nuha dan Nurul Ilham serta cucu.

Pada 12 Oktober lalu, lima barisan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas mendengar hujah daripada peguam Gopal dan Ahmad Kamal yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Thursday 8 December 2016

Isu dana Soros: BERSIH akan saman TV3

BERSIH memutuskan akan menyaman TV3 atas dakwaan mereka menerima dana RM3.2 bilion daripada hartawan Amerika Syarikat George Soros.
Pengerusi gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu Maria Chin Abdullah berkata surat tuntutan supaya TV3 menarik balik laporan dan memohon maaf sudah dihantar.

“TV3 kata mereka tidak akan lalukannya.

“Jadi kami teruskan dengan tindakan undang-undang,” kata Maria.

Katanya, kira-kira seminggu sebelum BERSIH5 pada 19 November, TV3 menyiarkan laporan mendakwa meeerka menerima RM3.2 bilion daripada Soros.
Sumber berita itu tidak dinyatakan, kata Maria lagi.

Menurut Maria lagi, stesen televisyen prokerajaan itu juga tidak mendapatkan ulasan BERSIH berkaitan isu itu.

“Kami tidak diberikan hak untuk menjawab,” katanya.

2016 tahun paling teruk hak asasi manusia sejak Ops Lalang - Suaram

Tahun ini merupakan tahun yang paling teruk bagi hak asasi manusia di Malaysia sejak Operasi Lalang pada tahun 1987, kata Penasihat Suaram Kua Kia Soong.
"Penahanan tanpa perbicaraan (Pengerusi BERSIH) Maria Chin Abdullah dan pejuang hak asasi manusia mengheret saya dalam mengenangkan Ops Lalang," kata Kua pada majlis pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2016 oleh Suaram di Kuala Lumpur, hari ini.
Operasi Lalang adalah tindakan keras paling utama pada tahun 1987 kepada golongan yang dilihat sebagai penentang kerajaan dengan lebih 100 ahli politik dan aktivis masyarakat ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

ISA dimansuhkan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kua merupakan salah seorang yang ditahan di bawah ISA semasa Ops Lalang.

Tuesday 6 December 2016

'Ma-Cai, mengapa salahkan Cina DAP?'

Program melibatkan mahasiswa universiti kini bukan lagi sekadar memberi cadangan dan belum boleh dibuktikan bakal dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib Razak.
Almaklumlah, peruntukan universiti banyak dipotong untuk merealisasikan cadangan-cadangan mahasiswa yang mempunyai kos tersendiri.
Kini nampaknya program mahasiswa bersama Najib hanyalah untuk menampakkan kepada umum bahawa mahasiswa seolah-olah menyokong perdana menteri.
Ia dilakukan demi kelangsungan politik Presiden Umno itu. Justeru timbullah label 'Ma-Cai' yang bermaksud 'mahasiswa pencacai'.
Suatu ketika dulu Najib kurang terlibat dalam program bersama mahasiswa apabila kebiasaannya ia hanya dihadiri menteri .

'Seriuskah kerajaan membela Rohingya?'

Kesungguhan kerajaan Malaysia mendepani isu Rohingya dipertanyakan lagi apabila usul mengenai nasib etnik tertintas itu pernah gagal dibahaskan parlimen.
Ketua Pejabat Ketua Pembangkang Malaysia, Malek Hussin, hari ini berkata usul tergempar untuk membincangkan penindasan di Myanmar itu pernah dibawa Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kira-kira empat tahun lalu lagi.
Bagaimanapun usul berkenaan ditolak speaker Dewan Rakyat.
"Seawal Nov 2012 MP Lembah Pantai @n_izzah kemukakan usul tergempar isu Rohingya. Patutnya dibahaskan (di) parlimen dulu lagi. Kenapa ditolak?" katanya di Twitter hari ini.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpin kanan Umno menghadiri perhimpunan memprotes kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya di negara itu.
Selain Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perhimpunan itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin utama parti berkenaan.
Menurut Najib pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi - yang pernah menerima Anugerah Keamanan Nobel pada 1991 - enggan bertemu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang ingin membincangkan isu Rohingya.

Monday 21 November 2016

3 MP, ADUN dan aktivis BERSIH ditahan reman 2 hari

Polis telah mendapat perintah tahanan reman selama dua hari untuk menahan empat anggota Parlimen dari pembangkang dan seorang aktivis semasa tindakan keras ke atas BERSIH 5.
Mereka ialah ahli jawatankuasa pemandu BERSIH Hishammuddin Rais, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee.
Chua dan Zuraida dari PKR manakala Loke dan Lee pula dari DAP.
Peguam Melissa Sasidaran yang mewakili Chua, Zuraida dan Hishammudin berkata, ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 145 dan 511 Kanun Keseksaan.
Seksyen 147 berkaitan dengan rusuhan manakala Seksyen 511 pula memperuntukkan hukuman kerana cuba melakukan jenayah tersebut.
"Mereka akan ditahan dalam lokap di Jinjang. Mereka sangat bersemangat dan akan terus berjuang ke atas tangkapan dan tahanan yang tidak adil," katanya ketika dihubungi.

Friday 21 October 2016

Sultan S'gor ingatkan hakim pertahan kebebasan kehakiman


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan para hakim dan pegawai kehakiman supaya sentiasa
mempertahankan integriti dan kebebasan kehakiman.

Baginda bertitah, penghormatan kepada penghakiman dan keputusan mahkamah adalah bergantung kepada keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kebebasan hakim-hakim yang membuat keputusan tanpa takut atau berpihak.
   
Sehubungan itu, titah baginda, hakim-hakim hendaklah membuat keputusan secara profesional berdasarkan perlembagaan dan lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh kepentingan pihak-pihak tertentu, desakan pendapat umum atau takut dikritik.

"Para hakim hanya boleh berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang sahaja dan tidak kepada pihak yang lain.

"Sesungguhnya, kebebasan, keamanan, kemajuan dan kedaulatan undang-undang hanya boleh ditegakkan dan dijamin sekiranya rakyat mempunyai keyakinan penuh terhadap kebebasan dan integriti badan kehakiman," titah baginda ketika
merasmikan bangunan baharu Mahkamah Klang hari ini.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Wednesday 12 October 2016

Mahkamah persekutuan dengar semakan keputusan liwat 2

9.30am:  Prosiding mahkamah bermula dengan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetuai panel lima anggota.
Sri Ram memperkenalkan pihaknya.
9.24am: Apabila Anwar melangkah masuk ke kandang tertuduh, beliau berjenaka "dinaik taraf kelas pertama", merujuk kepada kerusi baru di situ.
Beliau bertanya mengenai Paul Ryan, ahli politik Republikan yang baru-baru ini telah menarik balik sokongannya kepada calon presiden Amerika Donald Trump.
Antara ahli-ahli politik di mahkamah adalah pemimpin PKR Datuk Fauzi Abdul Rahman, Saifuddin Nasution, Datuk Dr Tan Kee Kwong dan Laksamana Pertama (B) Mohd Imran Abdul Hamid.
9:20am: Di luar mahkamah, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata keputusan yang memihak kepada Anwar akan menjadi dorongan kepada "satu lagi gelombang kebangkitan rakyat".
Beliau memberitahu Malaysiakini ini ditambah lagi dengan perdamaian di antara Anwar dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin lain dilihat dengan beliau termasuk Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kapar G Manivanan.
9.00am: Anwar Ibrahim berjalan ke mahkamah diiringi oleh pengawal Jabatan Penjara. Beliau dilihat berunding dengan peguam bela utama Gopal Sri Ram di meja depan di sebelah kiri mahkamah, kawasan yang diperuntukkan untuk peguam.
Dr Wan Azizah Wan Ismail berjalan masuk. Anwar mencium dahi isterinya dan juga anak sulung Nurul Izzah. Beliau berjabat tangan dengan peguam beliau dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley dan seorang wakil dari Kesatuan Antara Parlimen dan Lawasia, Mark Trowell.
Wan Azizah berkata kepada pemberita, yang duduk di belakang meja polis dalam mahkamah bahawa "ini adalah satu-satunya kes mendapat banyak perhatian di Malaysia".
8.35am:  Panel yang akan mendengar semakan terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Tiga hakim lain adalah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Ketua Bahagian Perbicaraan Jabatan Peguam Negara Ahmad Kamal Md Shahid bersama-sama dengan Awang Armadaya Awang Mahmud (timbalan ketua bahagian rayuan), Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Wan Shaharuddin Wan Laden.
Mereka dalam pasukan pembelaan Anwar adalah Sangeet Kaur, N Surendran, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya, Melissa Sasidaran dan Shahid Adli Kamaruddin. Pasukan itu akan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
8.30am:  Di luar kompleks mahkamah, pemimpin PKR bergilir-gilir memimpin beratus-ratus penyokong Anwar. Antara lain, mereka termasuk naib presiden Tian Chua, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Ketua Pemuda, Dr Afif Bahardin.
Afif memberitahu orang ramai untuk tidak membuat sebarang provokasi. Zuraida berkata PKR Selangor juga telah menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk penyokong.

Monday 19 September 2016

Kes Bunuh Sosilawati: Pendengaran Rayuan Bermula 31 Oktober


Diterbitkan: Khamis, 15 September 2016 4:25 PM
Sosilawati.
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran rayuan empat lelaki yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, selama tujuh hari bermula 31 Oktober depan.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili seorang daripada perayu, R. Matan mengesahkan tarikh pendengaran rayuan anak guamnya ditetapkan dari 31 Oktober hingga 8 November, kecuali pada hujung minggu.
Tarikh pendengaran itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes yang lepas  di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pada 9 Jun tahun ini.
Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, Matan, dan R.Kathavarayan dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati,  Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Wednesday 14 September 2016

Penasihat Undang-Undang Mahu Dapatkan Penjelasan KDN Berhubung Pertemuan Dengan Anwar


Diterbitkan: Selasa, 13 September 2016 10:09 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Kimberley Motley, penasihat undang-undang antarabangsa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik, pada Selasa cuba mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa beliau tidak dibenarkan bertemu bekas ketua pembangkang itu di Penjara Sungai Buloh.

Ketika ditemui di perkarangan KDN di sini, Motley berkata beliau diberitahu bahawa pegawai berkenaan tidak berada di pejabat bagi memberi penerangan kepadanya.

Motley, yang berpejabat di Amerika Syarikat dan dijadual meninggalkan Malaysia pada Rabu, berkata beliau akan cuba menemui Anwar pada prosiding mahkamah berikutnya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Friday 9 September 2016

Mahkamah Rayuan Batal Pertuduhan Terhadap Pengerusi Bersih 2.0



Maria Chin Abdullah
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan dikenakan terhadap pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang didakwa gagal memberikan notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan pada tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan itu.

Beliau berkata mana-mana undang-undang termasuk penghakiman mahkamah tidak boleh diguna pakai secara kebelakangan.

Turut bersidang bersama-sama Tengku Maimun ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Dengan keputusan itu, Chin, 60, tidak perlu berdepan perbicaraan bagi  pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wednesday 7 September 2016

Tiga Warga Asing Ditembak Mati Di Seremban


Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 3:16 PM
Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof menunjukkan pistol yang dirampas selepas polis menembak mati tiga penjenayah ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan pada Selasa. Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri T Narenasagaran (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad (dua, kanan). Foto Bernama
  (Ubah saiz teks)
SEREMBAN: Tiga penjenayah warga asing ditembak mati di Jalan Jimah Lama di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, mereka yang berusia lingkungan 40-an ditembak selepas mereka terlebih dahulu menembak anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kira-kira 3.30 pagi.
"Anggota D9 yang melakukan rondaan di Jalan Jimah Lama-Mambau pada mulanya terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana dalam keadaan yang mencurigakan.
"Pihak polis telah mengarahkan kenderaan tersebut agar berhenti, namun pemandunya telah memecut kereta itu menyebabkan pihak polis terpaksa memintas kereta tersebut."Ia menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar tebing jalan. Pemandunya lalu keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sementara  dua lagi rakannya juga keluar dari kereta dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.

Permohonan Anwar Tangguh Perlaksanaan MKN Ditetapkan 14 Oktober


Mstar-Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 7:20 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 14 Okt ini untuk mendengar hujahan lanjut bagi permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim  untuk mendapatkan perintah injuksi sementara bagi menangguhkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh bahawa makamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan Anwar.
Amarjeet mewakili kerajaan Malaysia dan MKN.

Monday 5 September 2016

Ustaz Rotan Tiga Pelajar Tahfiz Direman Empat Hari


Mstar-Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 12:27 PM
  (Ubah saiz teks)
SUNGAI PETANI: Seorang ustaz ditahan reman bagi membantu siasatan kes tiga pelajar lelaki cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Parit Buntar, Perak pada 10.10 malam tadi.
"Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya.
Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas. 
Beliau berkata suspek yang merupakan ustaz ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
"Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala," katanya.
Gambar pelajar tahfiz dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.-- Bernama

Mahkamah Perintah Ganti Rugi Diberi Kepada Keluarga Tiga Remaja-Mstar 1.9.2016



Ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, Norhafizah Md Razali menitiskan air mata selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak anaknya dan dua remaja lain pada 2010 dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan, Khamis. -fotoTHESTAR
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Usaha untuk mendapatkan keadilan selama hampir enam tahun bagi membersihkan nama anak-anak mereka yang didakwa ditembak polis, berjaya pada Khamis bagi keluarga tiga remaja.

Mahkamah Rayuan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga  Muhammad Shamil Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22, terhadap polis dan kerajaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan tujuh anggota polis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara serta kerajaan, bertanggungjawab ke atas tindakan tembak itu dan memerintahkan mereka membayar ganti rugi kepada keluarga remaja berkenaan.

Mahkamah membenarkan rayuan keluarga simati untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak tuntutan mereka terhadap polis dan kerajaan.

"Kami berpendapat hakim perbicaraan khilaf dalam mengatakan responden tidak bertanggungjawab," kata Hakim Zawawi yang bersidang dengan Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Mohd Zawawi mengembalikan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi bagi menilai jumlah ganti rugi. Beliau juga memerintahkan polis dan kerajaan supaya membayar kos sebanyak RM40,000 kepada keluarga tiga remaja itu.

Friday 26 August 2016

TAHNIAH KEPADA CALON YANG BERJAYA DILANTIK SEBAGAI PJS

Admin Remba@Pjs, mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada semua calon yang berjaya dilantik
sebagai Pesuruhjaya Sumpah.  Untuk berjaya dilantik
rasanya sangat susah apatah lagi untuk mengekalkan
lesen pjs hingga 65 tahun.  Pesan admin untuk berjaya
praktis anda semua perlu muhasabah diri dengan sentiasa
mengekalkan O kesalahan dan kena ingat apa yang
dilakukan oleh Pjs Alaf Lama itu tidak semestinya
betul. Anda semua adalah PJs Alaf Baru yang akan
sentiasa menjaga nama baik mahkamah yang melantik.

Remba@Pjs

Rogol Pelajar Lembam: Pemandu Van Kekal Dipenjara 12 Tahun, Dua Sebatan


MSTAR_Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2016 4:17 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan ke atas seorang pemandu van sekolah bagi kesalahan merogol seorang pelajar lembam berumur 16 tahun, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ser Kim Joo, 52, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar itu.
Dalam penghakimannya, Azman berkata setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan dapatan dan sabitan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan. 
Beliau berkata hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak adalah tidak terlampau berat, malah Ser selaku perayu bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak merayu supaya pelaksanaan hukuman berjalan secara berasingan.
Azman berkata berdasarkan keterangan pakar psikologi, mangsa telah disahkan seorang yang kurang kecerdikan, namun mengikut Seksyen 375(e) Kanun Keseksaan, walaupun dengan kebenaran dan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun tiga bulan, perbuatan tertuduh tetap menjadi satu kesalahan.

Badan Peguam: Najib, Apandi sama di sisi undang-undang

MALAYSIAKINI 26.8.16
Semua individu adalah sama di sisi undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Sehubungan itu mereka harus bertanggungjawab di bawah undang-undang.
Perkara itu diberitahu oleh Badan Peguam Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara membersihkan perdana menteri daripada kes 1MDB.
Di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah,  Badan Peguam juga menyatakan bahawa 1MDB melibatkan wang pembayar cukai dan disokong oleh jaminan kerajaan.
Atas sebab ini, Badan Peguam berkata ia mempunyai kepentingan untuk mencabar keputusan yang dibuat oleh peguam negara kerana skandal 1MDB "melibatkan dana awam yang hebat dan tidak pernah didengar di negara ini".

Wednesday 24 August 2016

Mahkamah Tolak Rayuan Kerajaan Berhubung Kerosakan Harta Benda Perhimpunan Bersih 3


MSTAR-Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2016 8:16 PM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa menolak rayuan kerajaan dalam saman sivil difailkannya terhadap jawatankuasa pemandu Bersih berhubung kerosakan ke atas harta benda awam dalam perhimpunan Bersih 3 pada 2012.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Rohana Yusuf mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jan tahun lepas yang menolak saman kerajaan bagi menuntut ganti rugi.

Beliau berkata mahkamah mendapati tiada peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA) yang secara jelas menetapkan hak kerajaan untuk membuat tuntutan.

Katanya Seksyen 6(2) PAA tidak mewujudkan satu hak tuntutan sivil oleh kerajaan" dan kerajaan persekutuan pada masa sama juga tidak diberikan hak untuk menyaman bagi kecuaian di bawah undang-undang lain.

26 Okt Dengar Permohonan Najib Dan Isteri Untuk Gantung Prosiding


MSTAR,Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2016 3:35 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (Selasa) menetapkan 26 Okt untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggantung prosiding kes saman mereka terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan satu pihak lagi berhubung isu subsidi minyak.
Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Nik Alia Nik Hanafi yang mewakili perdana menteri dan isteri selaku plaintif.
Dalam saman fitnah tersebut, pasangan itu menamakan Mohd Rafizi dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong sebagai defendan.
Peguam Joanne Leong mewakili Chan manakala Ng Siau Sun bertindak bagi pihak Mohd Rafizi.
Joanne ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua plaintif memohon untuk menggantung prosiding kes saman itu sehingga rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini didengar di Mahkamah Rayuan pada 28 Nov.

Friday 19 August 2016

Suspek kes bunuh Bill Kayong serah diri

Image result for Foto Bill Kayong

Seorang daripada tiga suspek yang dikehendaki berhubung pembunuhan Setiausaha PKR cawangan Miri Bill Kayong pada Jun telah menyerah diri di balai polis Miri semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar berkata lelaki berusia 50 tahun itu diiringi oleh peguamnya semasa menyerah diri kira-kira pukul 4.50 petang.

Menurut polis, suspek ialah pembantu peribadi kepada seorang yang berpangkat "datuk", dipercayai perancang pembunuhan Kayong.

Polis telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan seorang "datuk" berusia 45 tahun yang telah melarikan diri ke Singapura dan kemudian ke Melbourne, Australia.

Dalam satu kenyataan di Miri, Dev berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri esok untuk mendapatkan perintah reman dan sebelum didakwa.
Beliau berkata polis juga sedang berusaha untuk mengesan suspek ketiga, berusia 35 tahun yang memiliki sebuah pusat karaoke KTV.

Beliau berkata bahawa pada 9 Julai, Mahkamah Majistret Miri telah mengeluarkan waran tangkap bagi ketiga-tiga mereka.

Kayong, 43 ditembak mati dalam kenderaan Toyota Hilux kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun, di persimpangan lampu isyarat di Lutong dekat pasaraya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu.

Kematian Noor Amila Edrus Kini Disiasat Sebagai Kes Bunuh


MSTAR,Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2016 12:22 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Susulan penemuan mayat Noor Amila Edrus Norsham, 5, di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada Khamis, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang di Jinjang pada 11 Ogos lepas dan ia disiasat sebagai kes kehilangan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada Isnin lepas di sekitar Jinjang dan suspek direman empat hari sehingga Jumaat.
"Esok kita akan buat permohonan untuk lanjutkan reman dan setakat ini siasatan hanya melibatkan seorang individu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Thursday 11 August 2016

Selamat hari jadi Anwar: Perjalanan kami bukan ke Putrajaya

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata perjalanan dan destinasi parti itu tidak pernah untuk ke Putrajaya tetapi sebaliknya adalah untuk menaikkan semangat masyarakat dan menjadikan mereka berpegang kepada integriti, kejujuran dan keadilan
Kata beliau, ini difahami oleh kebanyakan generasinya dalam PKR, walaupun mengakui parti itu pernah terjerumus untuk tempoh yang singkat.
Menurut Rafizi, mereka kini memahami apa yang perlu dilakukan dan mahu masyarakat tidak lagi akan berpaling setiap kali ketidakadilan dilakukan di kalangan mereka.
“Kita hanya boleh membentuk masyarakat sedemikian jika kita merungkai setiap undang-undang, setiap amalan, setiap kecenderungan feudal dan setiap ketidakadilan yang wujud dalam sistem yang digunakan untuk mentadbir kita.
“Ini adalah perjalanan yang panjang - mungkin di luar jangka hayat yang diberikan kepada kamu dan saya. Kita hanya boleh melakukan apa yang terdaya dengan ruang dan masa yang diberikan kepada kita,” katanya.
Rafizi berkata demikian dalam perutusan ulang tahun ke-69, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang meringkuk di penjara Sunga Buloh menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada tempoh masa yang terhad itu merujuk kepada Anwar mahupun kepada pemimpin pembangkang lain.

FBI, cari Malaysian Official 1

Pada 20 Julai 2016 yang lalu satu dunia telah heboh. Semua akhbar dunia buat laporan. Semua TV dalam dunia ada berita ada tentang sidang akhbar Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch. Hanya di Korea Utara, Malaysia dan Johor berita ini tidak ada laporan media dan liputan TV.
Ini sidang akhbar bersejarah. Orang Putih kata unprecedented. Orang Melayu kata tak pernah terjadi. Ini sidang akhbar nak rampas harta Riza Aziz AKA anak Rosmah dan Jho Low AKA tembam. Peguam negara Amerika nak rampas harta anak Rosmah dan tembam yang berjumlah satu bilion dolar. Ini kiraan awal. Mungkin jika semua terkumpul jumlah boleh menjadi tiga bilion dolar.
Tapi gua sudah buat silap. Gua silap besar. Dalam tulisan gua yang lalu gua kata Puan Loretta Lynch telah diapit oleh tiga pegawai. Ini tidak tepat. Ini tidak betul. Ini satu kesilapan besar.
Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch telah diapit oleh empat sosok, bukan tiga. Aduh, silap besar kerana gua tulis tiga pengapit. Empat sosok ini bukan 'kecil anak'. Bukan pegawai kerajaan. Mereka ini tiang negara Amerika.
Biar gua tulis siapa ada di sidang akhbar itu. Bersama peguam negara Amerika ialah: Timbalan Peguam Negara Puan Leslie Caught Weld yang juga pendakwa raya California; Encik Richard Weber, kepala Siasatan Jenayah Kastam/Perbendaharan; Puan Eileen Decker, Pendakwa Raya California dan Encik Andrew Mccabe.

Sunday 7 August 2016

Lelaki Bawa Anjing Dihalang Masuk Lobi Mahkamah


MSTAR<Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 8:43 PM
- Gambar hiasan
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki lingkungan 60-an dihalang memasuki perkarangan mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kerana membawa binatang peliharaannya bersama.

Lelaki itu yang sedang memeluk anjingnya diminta oleh seorang pegawai wanita di kaunter pertanyaan, membawa keluar haiwan berkenaan dari lobi mahkamah.

Lelaki itu yang kelihatan tidak berpuas hati dengan arahan pegawai mahkamah itu kemudiannya keluar dari bangunan mahkamah dan mengunci tali anjingnya pada pokok bunga di hadapan pintu masuk mahkamah.

Kejadian pukul 3.30 petang itu turut menarik perhatian orang ramai yang  lalu-lalang di situ apabila anjing itu menyalak selepas tuannya masuk ke dalam bangunan mahkamah itu.