Monday 27 April 2015

Pusingan 2 menanti Mahathir-Najib



Seperti dijangka, Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan fasa kedua kempennya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui siri jelajah.

Bukan lagi di blog, ia sudah bermula Sabtu lalu di sebuah dewan di Hulu Kelang yang menyaksikan 500 orang hadir dan laungan “Undur Najib” dilaungkan.

Berdasarkan latar belakang Mahathir, serangan terhadap Najib kelihatan tidak akan berhenti sehingga tujuannya tercapai.

Asakan itu memaksa Najib menjawab perkara itu dalam wawancara rakaman di kaca televisyen pada 9 April, seminggu selepas Mahathir bersikap lebih lantang dan keras.

Beliau bagaimanapun tidak terus menerus menepis Mahathir secara langsung, tetapi memilih nada lebih lembut seperti berkata beliau tidak keseorangan dan meminta peluang daripada “orang tua”.

Bagaimanapun, kerja-kerja perang saraf itu kelihatan dilakukan oleh laman pro-Umno seperti MYKMU yang mengambil tugas itu.

Esok, Najib dijadual tampil sekali di kaca televisyen untuk bercakap soal Program Transformasi Negara dan Program Transformasi Ekonomi.

Tetapi persoalannya adakah Najib akan mengambil peluang itu untuk sekali lagi menyiku Mahathir, setelah beliau dipersalahkan dalam banyak perkara, seperti pembinaan jambatan bengkok?

Sementara itu dalam sisi yang lain Mahathir kini seolah-olah berada di atas belakang harimau.

Selagi di atas beliau terselamat dan harimau akan membaham pihak lain. Tetapi jika berundur ke bawah, keadaan akan berubah.

Bagi Umno pula, keadaan itu diibaratkan seperti gajah sama gajah berlawan, pelanduk mati di tengah-tengah.

Dr M: Tak boleh sayang sampai bunuh orang pun kata 'ok la'



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata walaupun terhutang budi kepada bekas perdana menteri, Tun Abdul Razak Hussein, namun beliau harus juga mengambil berat terhadap sebarang salah laku yang mungkin telah dilakukan oleh perdana menteri sekarang.

Katanya, walaupun beliau mungkin merasa terhutang kerjaya politiknya kepada Tun Razak dan telah mengangkat kedudukan politik anak bekas perdana menteri itu, namun Mahathir berkata beliau tidak akan tutup mata terhadap sebarang salah laku.

"Hakikatnya ialah saya nak balas budi, kerana Tun Razak angkat saya jadi perdana menteri, (dan) saya cuba angkat anaknya (juga) menjadi perdana menteri.

"Saya sayang, saya sayang tetapi walaupun saya sayang, kita harus juga ambil berat.

"Kita tak boleh sayang satu orang sampai dia bunuh orang pun kita kata ok la," katanya kepada kira-kira 500 hadirin di Kuala hari ini.

Saari: PAS seharusnya keluar Pakatan jika



ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata PAS seharusnya keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya rakyat tidak dapat lagi menerima mereka dalam gabungan pembangkang itu.

Beliau yang kini digantung keahlian selama setahun berkata badan pengkaji Merdeka Centre perlu membuat kajian terhadap rakyat dan pengundi sama ada PAS masih lagi relevan dalam pakatan pembangkang itu ataupun tidak.

"Banyak orang tidak puas hati, dalam parti, luar parti, dalam Keadilan, dalam DAP, dalam Pakatan Rakyat, pengundi, penyokong, pelbagai lagi.

"Dari segi semangat (PAS) yang wujud seperti ambil hati, macam kes Permatang Pauh, (terpaksa) berunding, tapi sampai bila (nak) berunding?

"Kalau keputusannya lebih baik PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat, ada bukti yang kukuh, kajian yang menyeluruh, PAS harus keluar dari Pakatan Rakyat. Dan diganti dengan pakatan yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi menjelaskan lebih lanjut kenyataannya dalam satu forum di Konvensyen PasMa sebelum itu di Perpusatakaan Awam Raja Tun Uda di Shah Alam petang ini.

PasMa umum jadi parti politik lepas muktamar



NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan mengumumkan sama ada badan itu akan menjadi parti politik atau tidak, selepas berakhirnya muktamar PAS Jun ini.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata setakat ini pihaknya "menunggu masa yang sesuai" khususnya "bagi melihat terlebih dahulu keadaan parti Islam itu" selepas muktamar tahunannya di Kuala Selangor.

"Banyak pihak yang nak tunggu saya umumkan jadi parti politik atau tidak. Saya sangat berhati-hati dalam isu ini agar elak kita dari terperangkap dalam cabaran sesetengah pihak.

"Kalau kita nak jadi parti politik, kita tidak boleh jadi parti politik bersendirian. Kita hendaklah jadi satu komponen dari Pakatan Rakyat.

"Kita tunggu masa yang sesuai ingin umumkan dalam satu konvensyen PasMa peringkat nasional. Kita jangka bulan enam.

"Selepas Muktamar (PAS) kita jangka, kita akan buat satu keputusan (tubuh parti atau tidak),” katanya dalam konvensyen NGO itu di Shah Alam.