Friday, 20 March 2015

Polis Buka Semula Siasatan Kes Kematian Teoh Beng Hock


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 8:07 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Polis akan membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia akan dibuka semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara dan siasatan menyeluruh juga masih dijalankan.
"Justeru, tidak timbul isu pihak berkuasa, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam kes ini tidak mengambil sebarang tindakan atau ingkar arahan Mahkamah Rayuan.
"Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mendiang Beng Hock, PDRM memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 
Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya dari semasa ke semasa akan turut memaklumkan kepada pendakwaraya berhubung status hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan baik dan tidak mempolitikkan isu ini.
"Diingatkan juga supaya (semua pihak) tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasa," katanya.

DUN K'tan lulus RUU pindaan hudud



DUN Kelantan hari ini meluluskan sebulat suara rang undang-undang pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah II.

Kesemua 44 orang ADUN menyokong cadangan pindaan tersebut selepas perbahasan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (Umno-Kok Lanas) dan tiga ADUN PAS.

DUN Kelantan dianggotai 45 orang wakil rakyat. Satu daripada kerusi tersebut, Chempaka, kini kosong ekoran kematian penyandangnya allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu, PKR mengarahkan wakilnya, Roslan Puteh (PKR-Guchil) untuk tidak menyertai perbahasan mahupun mengundi dalam persidangan hari ini.

Roslan didapati hadir dalam persidangan dan tidak merakamkan bantahan ke atas rang undang-undang tersebut.

Ketika ditanya, Roslan mengesahkan bahawa beliau tidak mengangkat tangan semasa Speaker Dewan bertanya untuk merakamkan bantahan.

"Saya tidak angkat tangan. Orang lain juga tidak angkat tangan," katanya kepada Malaysiakini.

Kes Kita Lawan: Tian Chua pula ditahan



Naib presiden PKR, Tian Chua menjadi individu ke-11 yang ditahan polis berhubung perhimpunan 7 Mac.

Beliau ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur sekitar tengah malam tadi.

"Saya sangat penat dan baru bersiap untuk tidur, kemudian saya sedar mereka berada di luar.

"Mereka menunjukkan kepada saya waran tangkap dan akan membawa saya ke (ibu pejabat polis daerah) Dang Wangi,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, para anggota polis tersebut berlegar di sekitar kawasan rumahnya selama 15 minit, kata MP Batu itu lagi.