Saturday, 31 August 2019

Patriotisme, antirasuah digarap dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019

Patriotisme, perjuangan, jati diri anak bangsa dan benci rasuah digarapkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.
Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, acara kemuncak sambutan iaitu perarakan dan perbarisan yang berlangsung di Putrajaya, menampilkan empat komponen bagi mendukung aspirasi itu iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
Juga istimewa pada sambutan kali ini apabila Yang di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke acara tersebut, yang pertama bagi Seri Paduka mencemar duli ke sambutan hari kebangsaan sejak ditabalkan pada 30 Julai.
Disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran orang ramai di Dataran Putrajaya serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, kehadiran pengunjung juga diraikan oleh 2,120 pelajar sekolah yang melakukan pergerakan formasi grafik seawal 6.30 pagi.
BERNAMA