Friday 26 June 2015

Cuepacs bantah beku ambil k'tangan baru



Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menghantar memorandum bantahan terhadap cadangan pembekuan pengambilan kakitangan dan pewujudan jawatan baru dalam sektor awam dalam masa terdekat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata tindakan itu perlu kerana cadangan kerajaan itu dikhuatiri akan memberi kesan besar terhadap graduan universiti yang baru menamatkan pelajaran selain menambah masalah kekurangan kakitangan yang berkhidmat dalam sesuatu sektor.

"Penjawat awam di negara ini tidak seperti negara-negara lain yang mengkelaskan perkhidmatan wajib iaitu pendidikan, tentera, polis dan kesihatan di luar sektor awam.

"Di negara ini, kita campur semua sekali, sebab itu dilihat ramai. Tetapi (hakikatnya) kalau kita pergi sesuatu tempat (sektor perkhidmatan awam), ada yang mengadu, sana tak cukup kakitangan, sini tak cukup kakitangan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs di ibunegara semalam/

Azih berkata jumlah penjawat awam di negara ini hanya kira-kira 500,000 sahaja.

Kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan arahan pembekuan pengambilan kakitangan dan pewujudan jawatan baru bagi semua kementerian, jabatan dan agensi berkuat kuasa 22 April lepas.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam sebelum ini dilaporkan berkata jawatan kritikal dalam kerajaan masih terbuka kepada pengambilan baru.

Dalam pada itu, Azih turut mengulangi gesaan supaya kerajaan mempercepat penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan awam seperti yang diluluskan dalam Bajet 2015.

Kerajaan katanya diharap segera mempertimbangkan skim itu bagi memastikan ia tidak melewati Bajet 2016 yang dijangka dibentangkan pada Oktober tahun ini.

"Kalau dimasukkan perbentangan bajet akan datang, bermakna ia untuk tahun 2016, sedangkan kami nakkan pelaksanaan penambahbaikan kepada 252 skim ini dikuat kuasa mulai Januari 2015.

"Kami bimbang kerana ramai penjawat awam yang mungkin bersara tanpa merasai perubahan dalam skim perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata antara kandungan 252 skim tersebut adalah berkaitan kemajuan kerjaya dan pembangunan dalam skim perkhidmatan yang antara lain menetapkan bahawa tidak ada lagi gaji di bawah paras kemiskinan.

- Bernama
 

Anwar adu Shafee kepada JAIS



Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan laporan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai perbicaraan tuduhan meliwat ke atas bekas ketua pembangkang itu.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan laporan itu di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi pihak beliau.

"Laporan ini dibuat berdasarkan apa yang didakwa Shafee terhadap Anwar, kerana melakukan liwat tanpa mengemukakan empat saksi seperti dikehendaki undang-undang," kata Wan Azizah  kepada media di Shah Alam.

Mahkamah Persekutuan mahu anak hadir



Mahkamah Persekutuan Putrajaya memerintahkan ibu dan bapa yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan, membawa dua anak mereka ke mahkamah pada hari mahkamah menyampaikan keputusannya berhubung hak penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Anak perempuan pasangan itu yang berumur 10 tahun tinggal bersama ibu S Deepa, penganut Hindu, manakala anak lelaki mereka berumur tujuh tahun tinggal bersama bapa, Izwan Abdullah, yang telah memeluk Islam.

"Kami mahu dua kanak-kanak ini hadir semasa kami menyampaikan keputusan kami," kata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel hakim lima anggota semalam.

"Beritahu mereka (ibu bapa) untuk membawa kanak-kanak berkenaan," katanya selepas peguam mewakili Izwan, Mohamed Haniff Katri Abdulla memaklumkan kepada panel itu tentang kehadiran anak guamnya (Izwan) di mahkamah.

Deepa, 32, dan Izwan, 31, yang dahulunya penganut Hindu bernama N Viran, hadir di mahkamah semalam tetapi dua anak mereka tidak hadir.