Wednesday 8 July 2015

WSJ disiasat bawah Akta Jenayah Komputer



Polis akan menyiasat The Wall Street Journal (WSJ) susulan kebocoran dokumen berkaitan dakwaan terdapat dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata WSJ akan disiasat bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 kerana capaian tidak dibenarkan dengan niat melakukan kesalahan selanjutnya.

Kita akan siasat Wall Street Journal,” katanya.

Khalid juga berkata pihak polis akan turut mengambil keterangan daripada pegawai bank yang mungkin terlibat.

“Kalau kita biarkan sesiapa pun mendedahkan maklumat perbankan seseorang individu ataupun mana mana syarikat, ini boleh mengancam ekonomi negara dan membawa kepada sabotaj ekonomi,” katanya.

Menurut pemimpin tertinggi polis itu, perkara itu juga akan disiasat bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) atas kesalahan sabotaj ekonomi.

NGO: 14,000 peneroka mangsa 'dendam' Najib



Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) membantah keputusan Felda yang tidak menyenaraikan 13,947 peneroka untuk menerima insentif hari raya seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semalam.

Presidennya Mazlan Aliman berkata tindakan itu didakwanya "zalim dan balas dendam" dan mengulangi langkah"diskriminasi" tahun lalu apabila peneroka dinafikan bonus sebanyak RM947.78 ekoran tindakan mereka menyaman terhadap agensi itu.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata NGO itu berasa dukacita dan kesal dengan tindakan agensi tanah itu.

Untuk rekod, katanya, peneroka yang tidak bersama Felda atau melaksanakan tanam semula secara persendirian adalah sebahagian kecil peneroka yang gigih berdikari mengusahakan kebun seluas 10 ekar milik mereka.

"Namun, sebahagian besar dari kelompok ini masih menghantar Buah Tandan Segar (BTS) ke kilang sawit Felda.

Polis serbu pejabat 1MDB



Polis menyerbu pejabat 1MDB di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail hari ini, dipercayai bagi menyiasat kebocoran dokumen bank syarikat pelaburan itu.

Satu kenyataan 1MDB petang ini mengesahkan bahawa sepasukan anggota polis dengan tiba di pejabat tersebut pagi ini.

"Kami boleh sahkan bahawa sejumlah pegawai daripada Pasukan Bertindak yang membuat siasatan ke atas 1MDB mengunjungi penajat kami hari ini.

"Mereka diberi sejumlah dokumen dan bahan untuk membantu siasatan yang sedang berjalan," kenyataan itu dipetik.

Syarikat pelaburan itu juga menegaskan bahawa mereka sedia memberi kerjasama dalam siasatan tersebut.

"Kami menegaskan semula pendirian kami bahawa jika terdapat apa-apa kesalahan dilakukan, tindakan mesti diambil oleh pihak berkuasa mengikut undang-undang negara."

Polis dilaporkan turut menutup laluan ke tingkat 8 bangunan tersebut, yang menempatkan ibu pejabat 1MDB.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi ini berkata, polis menyiasat akhbar perniagaan Wall Street Journal mengikut Akta Jenayah Komputer berhubung kebocoran dokumen itu.

Kebocoran dokumen itu berhubung dakwaan WSJ bahawa terdapat dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Pasukan tindakan khas melibatkan PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara pada Jumaat lalu menyerbu premis syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tiga syarikat yang diserbu itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, and Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pasukan berkenaan mengumumkan enam akaun bank telah diarah dibekukan.