Thursday 5 December 2013

Mahkamah Persekutuan Tetapkan 24 Februari Dengar Permohonan Gereja Untuk Merayu

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Februari tahun depan untuk mendengar permohonan Gereja Katolik untuk memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang penerbitan mingguan 'Herald' menggunakan kalimah "Allah" bagi merujuk kepada "God".
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziati Jaafar menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan dibawa bagi pengurusan kes kepadanya di dalam kamar Khamis.
Peguam S.Selvarajah, yang mewakili Gereja Katolik, memberitahu pemberita bahawa responden dalam kes ini - Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Malaysia, enam Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Islam Malaysia (MCMA) membantah permohonan gereja itu untuk membuat rayuan.
Katanya mereka (responden) diberi masa dua minggu untuk memfailkan afidavit bagi menentang permohonan kebenaran itu.
Sementara itu, peguam Mohd Tajuddin Abd Razak, yang mewakili MCMA, berkata beliau dimaklumkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bahawa mereka bercadang menjadi pencelah dalam kes ini.
Selvarajah berkata mahkamah memberi masa seminggu kepada DBP untuk mengemukakan permohonan menjadi pencelah dan gereja berkenaan mungkin menentang permohonan mereka (DBP).
Pada 14 Oktober panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara meluluskan rayuan kerajaan untuk menghalang Herald daripada menggunakan kalimah "Allah".
Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah".
Pada 16 Februari 16 2010, Gereja Roman Katolik, yang dipimpin Ketua Biskop Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan semula kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden untuk menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan Herald sebagai tidak sah.
Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah "Allah" bagi merujuk kepada "God" dalam edisi bahasa Melayunya, khusus untuk bacaan penduduk Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" sebagai bercanggah dengan undang-undang, tidak sah dan terbatal.
Gereja berkenaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada 11 November dengan mengemukakan 26 persoalan berkaitan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah yang membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan sesuatu perkataan berkaitan teologi.
Persoalan perlembagaan yang dikemukakan peguam yang mewakili gereja bertujuan membahaskan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan hak mendapatkan pendidikan agama. - BERNAMA

Pengikut Tuhan Harun Rancang Bunuh Lebih Ramai Penguatkuasa - KPN

PETALING JAYA: Pengikut ajaran sesat Tuhan Harun telah merancang untuk membunuh lebih ramai pemimpin penguatkuasa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pengikut ajaran sesat bukan sahaja bertanggungjawab merancang dan menjalankan pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Rafli Abdul Malek bulan lepas, tetapi juga sedang dalam perancangan melakukan pembunuhan lain.
"Kita bernasib baik kerana berjaya menangkap pemimpin dan beberapa pengikut kerana mereka juga merancang untuk membunuh orang lain," katanya pada sidang akhbar di Wakaf Tapai, Kuala Terengganu, Khamis.
"Kita telah menangkap dua daripada 10 mahu pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang dikehendaki...masih mencari lapan lagi."
Ditanya nama-nama yang menjadi sasaran mereka, Khalid enggan mengulas lanjut tetapi menyatakan bahawa pengikut adalah pelampau yang akan mengambil jalan keluar dengan membunuh orang-orang yang menghalang pergerakan mereka.

Dua Wanita Warga Columbia Didakwa Curi 29 Utas Rantai Emas Bernilai RM49,000

KUALA LUMPUR: Dua wanita warganegara Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap pertuduhan mencuri 29 utas rantai emas bernilai RM49,000 dari sebuah pasar raya, bulan lepas.
Aura Maria Flores, 40, dan Blanca Dorris Parra, 49, bersama-sama dua lagi rakan yang masih bebas didakwa mencuri rantai emas itu dari pasar raya Haniffa Sdn Bhd di Jalan Masjid India, Dang Wangi di sini pada 7 malam, 23 November lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Aura dan Blanca turut didakwa terhadap satu lagi pertuduhan iaitu berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA