Wednesday, 11 December 2013

Perbicaraan Kes Menyamar Kerabat Raja Kedah 10 Februari

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini Rabu menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang lelaki yang menyamar kerabat Raja Kedah.
Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan tarikh itu selepas tertuduh, Roshidi Fadzil, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Roshidi, 47, dari Taman Bunga Raya, Melaka, dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini pada 23 Okt tahun lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Roshidi juga didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Okt 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - BERNAMA

Rogol Gadis Bawah Umur: Pengurus Restoran Diperintah Bela Diri

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan seorang pengurus restoran membela diri atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad berkata mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Riduan Masmud, 40.
Beliau menetapkan 16 dan 17 Dis untuk kes pembelaan. Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 19 saksi dari 1 Julai hingga 14 Nov.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun ini.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 20 Mei, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan tidak diwakili.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - BERNAMA