Wednesday 5 March 2014

Polis P. Pinang Perangi Dadah Dan Ah Long



    Guan Beng Kang (kiri) dan Azmi Adam akan mengetuai JSJN dan JSJK Pulau Pinang.
    GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan memberikan tumpuan memerangi dua jenayah iaitu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen, ah long dan aktiviti pengedaran dadah.
    Ketua polis negeri itu, Datuk Rahim Hanafi berkata, bagi memerangi jenayah berkenaan, dua ketua bagi dua jabatan berasingan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan memulakan tugas mereka.
    Mereka yang dimaksudkan ialah Asisten Komisioner Azmi Adam iaitu ketua JSJK dan Ketua JSJN, Supritendan Guan Beng Kang.

Keputusan Permohonan Rayuan The Herald Ditangguh

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan permohonan rayuan akhbar mingguan Katolik, The Herald untuk mencabar Kementerian Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya edisi Bahasa Melayu.
Pada 14 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.
Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan itu.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Februari lalu permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum dijadualkan pada Rabu.

Peserta himpunan seperti bergaduh sesama sendiri



Keadaan di luar Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini bertukar kecoh apabila kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pelbagai NGO pro-Melayu cuba merempuh barisan anggota polis yang berkawal di pintu utama untuk masuk ke lobi bangunan mahkamah.

Sekitar jam 11.15 pagi, kumpulan tersebut yang menyokong kalimah 'Allah' digunakan secara eksklusif untuk umat Islam, mula melaungkan "La ila Ha Illalah" (Tiada Tuhan Melainkan Allah) dan bertakbir secara keras.

Kumpulan itu pada awalnya mula berkumpul di kawasan dataran terbuka di hadapan Istana Kehakiman seawal jam 8 pagi lagi.

Sebelum kekecohan mula tercetus sekitar jam 11.15 pagi, kumpulan itu dilihat menaiki tangga di hadapan kompleks Istana Kehakiman dan cuba mengasak anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk.

Kumpulan itu bagaimanapun cuba ditenangkan oleh Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris dan Penolong Setiausaha PERKASA, Norlizaizul Ismail, yang berdiri di antara kumpulan penyokong tersebut dan anggota polis.

Isteri Terkejut Suami Ditemui Mati Bersama Kekasih

Keadaan mayat seorang lelaki dan wanita yang dipercayai kekasih ditemui dalam sebuah kereta di Taman Metropolitan, Sentul petang Selasa.
KUALA LUMPUR: Seorang isteri terkejut mendapati suaminya dan seorang wanita lain mati dalam sebuah kereta di Taman Metropolitan, Batu Muda di sini, petang Selasa.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan Sabri Sulaiman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 5.10 petang tadi.
Ketika di tempat kejadian, lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 60-an dan wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu telah pun meninggal dunia.
Tiada pengenalan diri ditemui pada mereka, katanya. BERNAMA

Suspek Rosakkan Al-Quran Ditahan Di Besut

KUALA TERENGGANU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental bagi menyelesaikan kes al-Quran dicampak di dalam masjid dan lubang tandas di dua masjid berasingan di Besut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Besut kira-kira pukul 5 petang Selasa berdasarkan imej yang diambil dari kamera keselamatan dan maklumat orang ramai.
"Dengan penahanan suspek, kami anggap kes ini selesai dan berharap ia akan menghentikan spekulasi tidak berasas yang tersebar di laman sosial bahawa tindakan itu dilakukan oleh sekumpulan individu yang ingin menghasut perasaan kebencian," kata Jamshah pada sidang media di sini Rabu.

Permohonan The Herald Didengar Hari Ini

KUALA LUMPUR: Tujuh hakim akan terlibat dalam pendengaran permohonan kes rayuan akhbar mingguan Katolik, The Herald berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya edisi Bahasa Melayu pada Rabu.
Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria akan mengetuai panel hakim tersebut.
Enam lagi hakim lain adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif , Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan.
Kira-kira 28 persoalan mengenai undang-undang telah dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan untuk didengar dan diputuskan oleh tujuh hakim tersebut.