Monday 22 October 2018

Kes saman fitnah: TV3, Utusan bayar Anwar kos RM130,000


Syarikat Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Malaysia) bersetuju menyelesaikan kes saman fitnah mereka dengan bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan yang mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara, lima tahun lalu.
Hal ini selepas Anwar mencapai penyelesaian serupa pada bulan lalu dalam kes saman yang sama dengan bekas calon BN di parlimen Permatang Pauh, Datuk Mazlan Ismail.
Penyelesaian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu termasuklah, kedua-dua syarikat media berkenaan  sebagai defendan membayar kos berjumlah RM130,000.
Penyelesaian ini direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaluddin hari ini.

Saturday 20 October 2018

Syarikat terlibat dalam pendakwaan Zahid akan disiasat - SPRM



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat syarikat-syarikat yang terlibat dalam pendakwaan salah guna kuasa dan rasuah terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata mana-mana syarikat dan pihak terlibat dengan kegiatan rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan.
“Kami akan siasat siapa juga yang terlibat dalam perbuatan rasuah, setakat ini sebuah syarikat menyatakan mereka tidak terlibat… terpulang kepada mereka untuk menyatakan.
“Penjelasan akan dibuat oleh MACC, hanya jika siasatan kami menunjukkan syarikat itu tidak terlibat dalam sebarang perbuatan rasuah, mereka tiada melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Semalam, MyEG Services Bhd dan Lembaga Pengarahnya memaklumkan tidak disiasat SPRM atau menjadi pihak yang terlibat dalam siasatan yang membawa kepada dakwaan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.
Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 semalam.

Tuesday 9 October 2018

Mahkamah: Dr M teruskan cabaran lantikan Raus, Zulkifli

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tetap meneruskan cabarannya mengenai isu isu lantikan bekas ketua hakim negara (CJ) Tun Md Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudun, walaupun Mahkamah Persekutuan enggan menjawab isu berkenaan pada awal bulan ini.
Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tarikh pendengaran permohonan Mahathir itu pada 14 Januari tahun hadapan susulan pengurusan kes dibuat.
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mahathir berkata anak guamnya meneruskan prosiding rayuan kerana beliau memerlukan mahkamah tertinggi negara untuk mentafsirkan peruntukan yang diperlukan dalam perlembagaan.
Beliau berkata seorang peguam dari firmanya Nur Dalila Husna Azmi telah pergi ke Mahkamah Rayuan untuk pengurusan kes hari ini manakala peguam persekutuan Shaiful Nizam Shahrin juga hadir sama.