Monday 11 March 2019

Statut Rom, ICC: Perkara yang patut diketahui

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.
Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.
Apa bidang kuasa ICC?
Artikel 5 - ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendengar ‘most serious crimes of concern’
seperti:-
a) Genocide (penghapusan etnik)
b) Crimes against humanity (jenayah terhadap kemanusiaan)
c) War crime (jenayah perang)
d) Crime of aggression (jenayah pencerobohan)
Artikel 6, 7, 8 – Setiap empat katagori jenayah antarabangsa diterangkan dengan jelas.
Artikel 17 - ICC hanya akan terpakai apabila negara pihak tidak berkemahuan atau berkemampuan (unwilling or unable) untuk menyiasat dan mendakwa kes jenayah terkutuk tersebut.
Adakah kekebalan Yang di-Pertuan Agong terhakis?
Sungguhpun Malaysia melakukan jenayah terkutuk seperti tertulis di Artikel 5, Yang di-Pertuan Agong tidak akan disentuh oleh ICC kerana:-
i) Artikel 40, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong adalah seorang Raja Berpelembagaan. Semua tugas-tugasnya di laksanakan atas nasihat perdana menteri / kabinet.
ii) Artikel 41, Perlembagaan Persekutuan Malaysia - Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi bagi angkatan tentera persekutuan. Yang di-Pertuan Agong tidak diberi kuasa untuk mengisytihar perang.
iii) Negara-negara pihak lain yang mempunyai Raja Berperlembagaan: - Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, The Netherlands, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.
Manfaat Malaysia jadi negara pihak ICC
i) Penyertaan Malaysia akan meningkatkan lagi martabat negara di kalangan masyarakat dunia sebagai sebuah negara yang komited dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
ii) Penyertaan Malaysia akan melambangkan kesungguhan negara dalam meningkatkan perpaduan bersama-sama masyarakat antarabangsa dengan membawa pelaku-pelaku jenayah antarabangsa ke muka pengadilan.
iii) Malaysia kini boleh merujuk kepada pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Rome Statute mengenai jenayah-jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya perlu.
iv) Malaysia kini boleh bersuara lebih lantang menentang negara-negara yang melakukan penghapusan etnik dan jenayah perang di persidangan tahunan negara-negara pihak.
v) Malaysia kini layak mencalonkan rakyatnya sebagai hakim, pendakwa dan pendaftar serta jawatan-jawatan lain di pejabat pendakwa dan pejabat pendaftar ICC